Khamis, 22 Disember 2016

Ketentuan Allah.. Dialah Maha Mengetahui

أسلام عليكم 

~Bila mana hati bermonolog, semuanya akan terkeluar dalam skrin pemikiran kita. Seolah-olah apa yang akan berlaku dalam kehidupan ini akan menyebabkan kita akan kehilangan segala-galanya. Sedangkan kita tidak pula terfikir bahawa Allah telah mengatur kehidupan kita sesuai dengan amal ibadah kita. Allah hadirkan ujian dan dugaan bagi menguji tahap keimanan. Di sini terletaknya tingkatan keimanan kita, sama ada lemah atau kuat. Kadang-kadang kita berfikir tanpa meletakan asas pemikiran sepatutnya. Sehingga adakalanya kita mengeluh kerana ujian yang datang bak badai yang datang melanda. Merosakkan hasil usaha kita yang bertahun lamanya.

~Macam kita bertanam cili. Apa yang kita harapkan adalah supaya tanaman yang kita tanam akan membuahkan hasil yang banyak dan lumayan. Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa setiap yang banyak dan lumayan perlu pengorbanan yang banyak. Modal, tempat dan pelbagai kekangan yang perlu di atasi bagi memulakan tanaman ini. Main campak je cili, lagi banyak tumbuh. Itu lah nilai manusia. Suka sembarangan dan sentiasa mengharapkan supaya memperolehi hasilan yang lumayan. Semua nak dalam kadaran cepat dan tergesa. Sesuailah dengan sikap kita yang suka tunggu dan lihat.

~Tapi kalau hendak hasilan yang lumayan dan berkualiti, kita mesti letak usaha supaya apa yang kita buat mendapatkan pulangan yang baik. Jika penanaman ini berhasil dilaksanakan pada permulaannya, kita perlu pulak menyemai biji benih dahulu. Dan ini mungkin memakan masa yang agak panjang. Benih pula perlu dipilih dari benih yang berkualiti. Begitu juga dengan kehidupan. Setiap satu langkah yang hendak dituju harus menuju ke arah kebaikan dan bukannya menjurus kepada keburukan.

~Setelah selesai penyemaian benih.. kita pula menanam dalam bekas/polibag. Tuan-tuan dan puan-puan.. sinilah bermula segalanya bagi riwayat hidup sebatang pokok. Penjagaan.. penjagaan pokok menjadi elemen penting dalam penanaman komersial. Pokok yang ditanam awal-awal ini, memerlukan penjagaan yang baik. Terlalu terdedah kepada matahari akan layu dan mati. Kurang zat, tak mahu bertumbuh dengan baik. Kekuningan daun sebab kurang nutrient. Semua kena jaga. Kena penyakit lagi. Susah nak jaga. Susah nak beristiqamah.

~Begitulah juga dengan hidup. Susah nak jaga hati ini. Selalu kita hendak bermujahadah, tapi seringkali didatangi penyakit hati yang kronik. Macam selalu akan kalah. Mengalah dengan keadaan dan situasi. Dibibir melafaz keindahan, dihati meralit kedukaan. Kadang-kadang kita tidak setia kepada Allah. Tidak mujahadah. Hanya mementingkan emosi berbanding dengan ketentuan Allah





~Seringkali tanaman kita didatangi penyakit. Ianya akan membazir wang ringgit. Namun, yang terkesan dengan penyakit ini, sudah pastinya masa. Masa sangat penting dalam menghasilkan tanaman yang berkualiti.

~Kita pula sering gagal dalam melaksanakan pembaharuan di dalam hati. Kenapa kita tidak memandang syurga Allah? Kenapa kebahagiaan dunia sahaja yang kita pilih? Adakah bahagia di dunia akan menyebabkan kita bahagia di akhirat? Jawapan untuk bahagia sangat subjektif. Kita katakan semua orang berhak untuk bahagia, Kita kata. Bukan Allah kata, Kadang-kadang kita mengeluarkan sesuatu penyataan, sebagai contohnya pelbagai isu dengan menunding jari kepada orang lain. Bahagiakah kita melihat kejatuhan orang lain? Kalau ya, bermaksud kita sudah termasuk dalam kategori "hati yang sakit". Kenapa? Kerana bukan bahagia yang kita mahu lihat. Tetapi perhatian orang terhadap kita.

~Mudahnya kita menunding jari jika ada permasalah yang berlaku. Contohnya, pokok cili mati 400 batang dalam masa sebulan. Terus kita keluarkan statement, "kau tak pandai jaga, baja tak cukup,bla bla bla bla.. " Hey you.. jangan mudah membuat assumption seolah-olah engkau adalah "pakar" dalam segala-galanya. Go to the ground. Sila buat kajian terhadap permalasahan sebenar. Bukan meneguk di air yang keruh. Nak jadi famous sebab kritikan yang kau berikan kepada orang. Sila pergi kepada pokok permasalahan. 

Isnin, 10 Oktober 2016

FAKTA ATAU AUTA?


أسلام عليكم 

~Sedang membelek post wall di Facebook, terbaca satu kisah di mana cerpen pendek bernada. Membawa kembali kepada perumpamaan seorang guru yang dedikasi atau dedigaji. Aku terbaca dan tersenyum. Selama ini, aku selalu membahaskan kriteria guru yang boleh mewujudkan sekolah yang baik serta membentuk akhlak pelajar yang dirindui oleh Rasulullah s.a.w. Disebut di langit dan di bumi kerana ketaqwaan. Antara link yang mengaitkan dengan GAJI guru yang HALAL:

BIARLAH BERHEMAH, BIARLAH BERBUDI BAHASA

INI SUMPAHKU

MASA UNTUK FIKIRKAN SEMULA HALA TUJUAN

GURU OOO GURU..HILANG NIKMAT KERANA BALA


~Itu titipan kalbu. Yang sentiasa meminta orang yang membaca blog ini untuk bekerja untuk Allah s,w,t. Bukan untuk gaji semata-mata. Kalau salah, tolonglah khabarkan kepada aku kerana aku hanyalah seorang guru biasa yang menumpang kasih di muka bumi Allah jua.





~Kalau dulu menulis dengan penuh kekhusyukkan dan penuh dengan bahasa ilmiah. Sekarang bukan setakat ilmiah, bahkan berterabur. Kalau sekarang, aku berada da;am zon yang sangat selesa menyebabkan idea tu tersekat. Dulu cabaran sentiasa datang saban hari. Berada dalam zon yang selesa menyebabkan idea tidak bertandang seperti dulu. Sebab itu, aku mencabar diriku untuk menghadapi semula cabaran. Supaya tidak leka dan alpa oleh masa dan ketika. Seronok dan selesa buat hati tidak tenang. Fikirkan meraka yang sedang meminta bantuan kita. Fikirkan tugas kita sebagai seorang khalifah Allah. Disebabkan selesa, bila di datangi ujian kita akan mudah melatah dan tdak bersyukur atas rahmat Allah. Sebab itu juga jiwa kita ralit bila diuji dengan ujian yang tidaklah seberat mana pun. Bagi kita, ujian yang sedang dihadapi lagi berat. Sedangkan, banyak lagi orang sedang menanggung derita akibat pelbagai fitnah dunia. Ada anak-anak kecil kehilangan ibu ketika merah tapak kaki lagi. Ada yang terpaksa menanggung beban tugas sebagai ketua keluarga sedangkan pada ketika itu sepatutnya berada di sekolah bersama anak-anak sebaya lantaran kemiskinan. Fikirkan. Kita sepatutnya bersyukur kerana Allah telah memberikan yang sepatutnya sesuai dengan keimanan kita.

~Kadang-kadang idea penulisan itu ada, tapi dek kekangan kerahsiaan dan menjaga aib, aku pendamkan sahaja demi kelangsungan ukhuwwah. Hendak sahaja aku lontarkan semua pendapat aku berkaitan dengan permasalahan tersebut. Tetapi, kerahsiaan itu sangat penting bagi setiap orang yang hidup dalam dunia ini. Menjaga aib bak umpama menjaga nyawa sendiri. Allah janji kepada sesiapa yang menjaga aib saudaranya, maka Allah akan jaga aib kita di Akhirat kelak. Siapa yang tak mahu setiap rahsia kita di dunia disembunyikan Allah dengan teliti disebabkan menjaga aib saudara kita tadik? Sebab itu matinya idea, Demi menjaga ukhuwah. Jangan lantaran rakus mendapat rating dan jumlah bacaan yang banyak, kita pulak sibuk buka pekung di dada sendiri. Nauzubillah.. Allah semak setiap perbuatan kita di Yaumul Mahsyar kelak.



~Fikirkan pula tentang diri sendiri. Nak dituliskan seumpama tiada nilai saja di sisi manusia. Ilmu sedikit, tapi sibuk nak kongsi dengan orang. Kononnya pengalamanlah katakan. Aku menjadi skeptikal kerana mengkritik orang bukan menjadi pekerjaan harian aku. Dulu dengan sikap panas baran. Tetapi sekarang cuba mengekang perasaan itu supaya tidak sebati dalam kehidupan. Sukar untuk mengikis sikap panas baran sebenarnya. Tapi, setiap perasaan ada berlawanan. Maka lawan untuk panas baran adalah cuba menyemai rasa kasih sayang dalam hati kita sesama manusia. Cinta dunia buat kita lupa kasih sayang Allah yang tidak bertepi. Kalau diberi kesempatan lagi dalam dunia dan diberi kekayaan yang melimpah ruah, aku akan dedikasikan hidupku untuk bantu manusia lain yang memerlukan. Itu tugas aku sebelum menghembuskan nafas akhir.

~Dunia dah dilambak dengan fitnah akhir zaman. Maka apa persediaan kita untuk menghadapi fitnah ini? Masih nak berpegang kepada konsep assabiyah dan perkauman lagi? Atau mempersiapkan diri dengan fitnah dajal yang hebat. Mempersiapkan kekuatan lahiriah dan batiniyah?. Atau sekadar menjaga hidup masing-masing? Sebab kubur tadi lain-lain. Jangan terlalu jumud dan sempit dalam skop agama. Bertanyalah jika tidak tahu. Bergurulah dengan seramai yang mungkin guru-guru agama dan dunia.. Bukannya taksub kepada seorang dua. Kelak pasti musnah binasa. Jika terlalu menurutkan hati dan perasaan. Mengabaikan pendapat orang lain lantaran taksub tinggi menggunung.

 ~~~ Kagum aku dengan beberapa rakan yang telah berhijrah. Dari duniawan ke agamawan. Agama dijaga bak umpama mutiara yang mahal harganya. Sedangkan dulu, dirinya umpama batu-batu kerikil di tepi jalan. Dilihat seperti biasa-biasa sahaja. Sekarang bersinar bak cahaya. Semoga terus kekal dalam istiqamah selamanya.

~Syabas dan tahniah kepada mereka yang telah berhijrah. Aku doakan semoga kalian terus BERISTIQAMAH dalam perubahan. Bukannya menunggang agama untuk kepentingan diri dan perniagaan semata-mata. Memperkuda agama demi memperbanyakan hasil jualan. Bukan berniat nak buruk sangka. Sering kali terjadi, agama dijadikan tunggangan untuk meningkatkan lagi hasil jualan. Sewenang-wenangnya memperjudikan iman dan taqwa. Senang cerita, semua pasti akan didedah dalam EDISI SIASAT YAUMUL MAHSYAR.

~BOBROK. Satu frasa ayat yang menerangkan BODOH dan BURUK. Jadilah BOBROK, Manusia seperti ini, mempunyai perangai yang buruk malahan sering memperbodohkan orang lain. Jangan jadi manusia bobrok. Doakan kesejahteraan kepada meraka. Doakan supaya cahaya hidayah boleh menembusi hati keras meraka. Dan minta Allah supaya kita diberikan kesabaran dan segala hal yang dilakukan oleh manusia bobrok. Supaya setiap kebencian perilaku mereka, adalah pahala kesabaran berlipat ganda bagi kita.

~Nilai kemaafan merupakan satu elemen yang semakin terhakis dalam kehidupan pelajar. Memaafkan orang lain memang sukar lebih-lebih lagi dalam nafsu amarah yang memuncak. Sukar untuk marah bila kita dalam keadaan marah. Sebab itu, jika marah dalam keadaan berdiri, nabi s.a.w mengajar kita untuk duduk. Lanjutnya, kalau marah.. seelok-eloknya, berwudhu dan istighfar memohon keampunan. Minggu lepas, kereta dilanggar dari belakang oleh seorang hamba Allah. Walaupun sukar, tetapi memberi kemaafan lebih baik daripada memerah orang untuk membayar kesilapan mereka. Macam kita tak pernah buat silap. Bagaimana jika, kalau kita dalam kesusahan. adakah yang sudi membantu? Ya..jika kita tidak bakhil memberi dan meminta maaf. Respek bukan dibeli, respek perlu diraih.

~Kalau nak diikutkan hati, lama dah marah-marah ini. Tapi, buang masa. Buat kesihatan tak terjaga. Naik darah. nanti kena strok lagi susah. Sedangkan ahli keluarga ada lagi yang perlu dijaga dan suap.

~Cari duit boleh, Tapi jangan sampai menyusahkan orang lain. tolonglah fikir benda begitu. Kadang-kadang aku hairan sikap orang yang BOBROK ini. Sudah tahu akan kesihatan pesakit jantung, tapi masih lagi aktiviti yang boleh menambah lemah jantung orang lain. Bukan tak fikir, tapi macam BOBROK. Suka menyakitkan orang lain. Kita pula gembira dalam hiba tawa orang lain. Macam tak ada perasaan pun ada. Seringkali aku terfikir, mengapa orang tak kira degree kimia aku? Penat saja belaja tingg-tinggi. Tapi pesanan penaja mesti orang marah dan kecik ati. Berulang-ulang kali dah aku bagi tahu, dalam keadaan baik, marah dan apa-apa lagilah. Tapi, orang ambik endah tak endah. Macam BOBROK. Masih lakukan tanpa sedar bahawa pekara itu memang melemahkan jantung. Kalau kena diri sendiri baru tahu menongkat bumi. Ini, yang pasti orang sekeliling yang akan terjebak dahulu. Kot, memang nak suruh serumah dikubur seliang lahat. Senang nak kuasai harta. Fikirkan orang lain juga. Jangan fikir kantung diri kita. Jangan menambah auta. Muka sedih tak terkata. Hinggap sini sana semua pasti terkesima. Orang paling gagah pun terjebak sama. Susah. Semua dah diam seribu bahasa. Katanya, "berbuang berambik". Last-last kenak buang dalam tong taik.



~Itulah nak mengata, tapi dah berkali dikata, masih lagi memilih antara fakta dan auta. Auta lebih pandai bersandiawara. Alahai manusia.. otak ada, nilai empati dan simpati, tiada. Bongok jangan dikata. Bersepah bagai melata. Ditegur nanti dikata tak seia kata. Tambah lagi, kerana mulut badan binasa. Alahai..alahai.. alahai..

~Sahabat memesan.. bersabarlah.. bersabarlah..dan bersabarlah. Itu sahaja yang mampu. Berdoalah..berdoalah.. bedoalah.. semoga dibuka hati dan minda. Supaya semakin bijak dan pandai dalam berfikir dan berkata. Fikirkan keluarga, bukan harta semata-mata!!

Isnin, 3 Oktober 2016

SALAM MAAL HIJRAH 1438H : EPISOD BARU DALAM TAHUN BARU

أسلام اليكم 

~ Kalau dilihat pada statistik blog, tahun 2016, pencapaian menulis dalam blog ini kira ada peningkatan. Sehingga oktober 2016, (termasuk ini) baru 16 post yang telah diterbitkan. Lebih baik dari tahun lepas (2015) yang hanya memuatkan 5 post. Tahun 2014 hanya 11 post. Idea semakin berkurangan bila dah balik ke kampung.

~Gelora dan jiwa perasaan tak sama seperti berada ditempat orang dahulu. Ditambah lagi dengan kekangan kerja dan juga tugas dan tanggungjawab sebagai seorang anak dan bapa, menambahkan lagi perisa "malas" yang makin beraja dalam bidang penulisan. Sedangkan, aku sangat suka sharing apa sahaja yang aku alami yang sesuai dengan bidang dan diri aku sebagai motivasi dan bacaan orang lain. Ia nya umpama peringatan kepada yang mahu ambik peringatan.

~Seorang sudah mengenali aku terlebih dahulu sebelum mengenali peribadi aku secara detail. Ini mungkin gambaran yang boleh diberikan kepada beberapa orang pelajar silat aku yang telah membaca blog ini, Siap bagi kredit lagi. Bukan nak membanggakan diri, namun adakalanya kredit ini boleh meningkatkan lagi keinginan aku untuk menulis, Bukan senang nak luahkan idea sambil mengetuk papan kekunci.

~Cuma aku tak berminat nak huraikan politik. Dan politik sangat memeningkan. Aku bukan tercipta untuk arena politik tapi ada  hati nak jadi YB, Mimpi jak tu.

~Banyak benda nak update sebenarnya. Tapi, bila mana hendak menghadap laptop, macam-macam boleh berlaku, Contohnya, "otak tepu". Ini adalah contoh yang common yang boleh menyebabkan mood menjadi tidak menentu. Bertambah lagi sekarang ini, isteri menjadi teman setia pendengar masalah yang berlaku di mana-mana dalam hidup aku. Penyelesaian pun dapat dari pengalaman, Lama-lama idea pun tak berkembang nak.

~Penyakit terbaharu adalah kesukaran untuk menghadap laptop seperti zaman muda-muda dulu (walaupun hakikat masih muda). Ini mungkin dek kekangan anak-anak yang sangat genius dan rajin menekan papan kekunci yang wujud di laptop ini, Itulah,,

~Apa-apapun, semua itu adalah alasan, ..

~Faktor utama adalah .. MALAS x 1 juta lemon..huhu

~Lain sekarang lain lagi dahulu. Adakah 2017 bakal menjadi tahun yang mencipta sejarah terbaharu, 33 menjadi angka MISTIK kot tahun depan.

~ Last but not least, jangan biarkan kemalasan menjadi asbab malas menulis. Ada sebab kita malas dan malas itu perlu diubati supaya tidak terjangkitan dengan malas semua.

~Buat isteri tercinta.. SELAMAT ULANGTAHUN KE 7 (2 MUHARAM 1431 H).



~~SALAM MAAL HIJRAH 1438~~

Khamis, 29 September 2016

Sempurnakan Akhlakku



Bungkam Jiwa,
Bungkam Hati
Gundah gulana tiada berpenghujungnya,
Resah hati memamah hati yang kian keliru,
Mungkin ini yang mujahadah,
Mungkin ini adalah jalan mencari maghfirah,

Wahai tuhanku, 
Di kala hati bermadah,
Manakah nikmat Mu yang telah aku dustakan,
Seluruh dari kehidupanku telah ku persiakan,
Demi mencari sesuatu yang bukan dalam genggamanku,
Sirna oleh bujukan dunia,
Longlai langkah mencari hala tuju,
Hidup di dunia yang penuh ranjau dan berliku,

Dalam kesamaran hati,
Tujuan hidup dipenuhi,
Bagi memenuhi syariat yang telah temetri 
Di dalam kitab junjungan,
Sunnah Rasul yang dirindui..

Bukan aku memilih untuk mencari yang RUPAWAN,
Bukan aku memilih HARTAWAN,
Apatah lagi CENDIKIAWAN,
Aku pilih hati nurani

Selasa, 9 Ogos 2016

KADANG-KADANG.. ITU INI.. HARI SEMALAM

اسلام عليكم 

~Masa pantas berlalu. Pengalaman mendewasakan pemikiran. Jasad semakin menghampiri tarikh luput. Setiap dugaan yang mendatang, sudah pasti Allah ingin menguji lantas mendewasakan kita. Ini adalah sekolah kehidupan. Adakalanya ujian boleh menekan jiwa. Adakalanya sabar mengatasi kekesalan. Ujian.. sabarlah. Bukan lari dari masalah. Kalau lari dari masalah, sampai bila-bila pun tak akan habis masalah. Hadapi dengan tenang dan doakan semoga di permudahkan semua urusan dunia. Semoga ianya tidak menganggu urusan akhirat.




~Kadangkadang kita merasakan kita telah membuat keputusan yang terbaik tanpa merujuk kepada Allah. Namun hakikatnya, kita tidak pernah melakukan yang terbaik tanpa "isthikarah" dari Allah. Petunjuk Allah nyata lebih kuat berbanding dengan monolog hati.

~Kita lupa, siapa yang menciptakan hati manusia. Lantaran itu, kita pasti tersilap langkah dalam membuat keputusan. Apa-apa pun, apa sahaja keputusan kita, kita harus menerima kesannya. Sebab semuanya juga adalah ketentuan Allah.

~Niat untuk membuat kebaikan dijalan Allah, pasti Allah akan hadirkan 70 pintu kebaikan yang menurutinya. Jangan persoal apa kebaikan yang bakal diberi, namun usahakan sesuatu dengan kesungguhan dengan mengharapkan keredhaan Allah. Jangan culas berbakti walaupun kadang-kadang usaha kita dipandang serong oleh manusia. Pandanglah manusia dengan penuh kasih sayang. Taburkan benih kasih sayang. Jagalah perhubungan kita dengan Allah. Supaya hubungan kita dengan manusia turut mendapat kesan yang positiF.

~Allah juga menegur kita dalam setiap perilaku kita. Benda yang baik di mata kita, kadang-kadang sebenarnya tidaklah baik pada pandangan Allah. Begitu juga dengan benda yang buruk pada pandangan kita, boleh jadi sebenarnya sangat baik untuk kita. Penilaian kita amatlah daif. Kita tidaklah sehebat mana menilai. Sebab itu, kita digalakkan berfikir dan memanjangkan munajat kepada Allah.

~Adakalanya kita berasa mendapat petunjuk dari Allah. Kita menguatkan hati kerana merasakan kita benar-benar sudah yakin dengan pilihan dari Allah. Kalau kita tersalah pilih, masih lagi ada jalan pulang. Allah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun. Akui kesalahan kita. Luahkan kekesalan kita. Gapailah keredhaan Nya.

~Hati bermonolog, akal ligat berputar.. kalau bukan kerana asam garam kehidupan, sudah pasti berat tangan mengetuk papan kekunci. Sukar untuk memotivasikan diri kalau hidup sentiasa aman dan damai. Hingga kadang-kadang hanyut dibawa arus permainan dunia. Leka..kekeringan idea untuk mencoretkan kata-kata. Inilah dikatakan inspirasi. Datang dengan angin taufan, badai terkesan, cinta termampan.

~Allah hadirkan bidadari dunia tanpa kita sedari. Seseorang yang sentiasa ada disisi. Menemani kita dalam susah dan senang. Hidup bersama  meniti kebahagiaan. Yang pastinya adalah untuk mendapat rahmat Tuhan Yang Esa. Dialah yang sentiasa memberikan harapan dan sanjungan. Dikala orang mengata, dia menepisnya dengan selamba. Dikala orang menolak, dialah yang bakal menyambut dengan belaian kasih sayangnya. Hadirnya dipinang, dari orang tuanya. Untuk dijaga ke akhirat jua.

~Dialah sang isteri yang setia. mencurahkan kasih sayang tanpa apa-apa balasan. Memberikan cinta tidak terkira. Senyumnya dalam tangisan tanpa kita sedari. Raihlah cintanya. Dialah kurniaan Allah untukmu di dunia. Semoga kita bertemu semula di syurga. Untuk ke syurga, sama-samalah kita mencari redha Nya.




~Gila dan absurd orang yang ditolak tak kecewa. Tapi, baliklah semula kepada ketentuan. Allah jua yang Maha Mengetahui  segala tujuan. Sehingga disedarkan, "Dialah yang menurunkan semangat tenteram dikalangan hati orang yang beriman.." Sesuai dengan penurunan ayatnya berkaitan dengan perjanjian Hudaibiyah. Pandanglah ke langit, bicaralah.. Allah lebih tahu.. dan semuanya dalam genggaman pengetahuan Nya jua.. Maha Suci Allah..

~Inilah episod dalam kehidupan. Hati bermonolog tanda pengharapan. Diharapkan sentiasa dalam ketetapan. Tidak akan keluar sedikit kekesalan. Biarlah hidup dipandang hina. Janganlah diri dihina  Allah.

~Berakhirlah kisah sandiwara dunia. Tutupilah dengan kiasan cinta. Semoga Allah merahmati dan mengurniakan ketenangan. Di dunia dan akhirat. Amin..

Khamis, 4 Ogos 2016

GURU DAN PERANANNYA DALAM PENTAS DUNIA



أسلام عليكم 



~ Kehidupan ini merupakan sedutan episod drama yang bersiaran langsung secara terus menerus. setiap hari tanpa ada gangguan. Setiap perilaku, perbuatan dan perkataan, walaupun yang terlintas dalam hati nurani dan tidak diketahui oleh manusia pasti akan diketahui oleh pemilik mutlak pementasan drama kehidupan ini. Walaupun disembunyikan berlapis-lapis, tidak diketahui oleh segenap makluk, namun tetap tembus pengetahuanNya terhadap perbuatan pelakon-pelakon ini. Ketahuilah bahawa Allah (pemilik teater kehidupan ini) berfirman : 

~Perbaharui niat supaya kita sentiasa dalam inayah dan ketetapan Yang Maha Esa. Berlakonlah dengan penuh pengharapan. Supaya beroleh keampunan dan maghfirah Allah. Jalani penggambaran kehidupan ini dengan penuh kasih sayang.. Harga syurga bukan segunung emas. Tetapi pengampunan Allah jua sebagai tiket penghargaan kepada syurga yang kekal nan abadi.


~Sudah semestinya, rencah kehidupan manusia. Ada suka pasti antagonisnya adalah duka, ketawa lawannya menangis. Setiap rencah kehidupan ini pasti dilalui oleh insan yang bernyawa. Dalam melayari bahtera kehidupan, adakalanya kita berada di atas. Dan adakalanya kita jatuh tersungkur. Bangunlah ketika menghadapi kegagalan. Ujian yang Allah beri itu adalah sebagai indikator kepada IMAN kita. Ujian yang mendatang adakalanya adalah teguran dari Allah kepada kita. Teguran dan peringatan supaya tunduk kepada Nya.. Segera mencari Allah dalam segala hal. Janganlah mudah berasa senang terhadap nikmat kerana di dalamnya mungkin terdapat "bala" yang tersirat.

~Apa peranan GURU dalam pentas lakonan ini? Anda adalah pelakon yang membentuk masyarakat secara umumnya. Mengajar bagi permulaan ilmu. Mengajar ilmu kepada anak-anak sehingga menjadi seorang manusia. Tugas yang kita galas ini kadang-kadang membebankan jiwa kita. Kerana adakalanya kita terpaksa berkorban masa, harta dan diri untuk memberikan yang terbaik kepada anak pelajar.

~Ada guru yang terpaksa berjauhan dari keluarga, berada di ceruk pedalaman mahupun kota yang besar. Tiada kemudahan fizikal yang lengkap. Ada mencurahkan ilmu dipermulaan umur dewasa sehinggalah lanjut usia dan bersara. Ada yang mengeluarkan duit sendiri untuk memastikan anak-anak pelajar beroleh kejayaan. Namun, semuanya selalu disalah erti sebagai memenuhkan perut sendiri. KAdang-kadang kita hendak mengajar disalah erti dengan pelbagai tuduhan. 

~"Guru bertindak luas batas".. tajuk akhbar yang sering digunakan dalam kes-kes viral yang tidak berkesudahan dalam arena sosial tanpa sempadan." Guru kurang ajar".. "Guru terlampau".. Tajuk-tajuk ini menjadi hangat kerana wujudnya perkataan "GURU". beginikah masyarakat berterima kasih kepada guru-guru? Walaupun tidak semua msayarakat menyokong tindakan PENVIRAL-PENVIRAL ini, namun, disebabkan oleh segelintir masyarakat yang lainnya menyebabkan NILAI KEGURUAN menjadi sebutan, Ada pulak yang mahu mengajar GURU untuk menjadi GURU sedangkan anak-anak memang tak masuk ajar. Sebab itu orang-orang tua selalu berkata, "lihat pada anak-anaknya..begitu jualah ibu dan ayah nya dirumah". 

~Home schooling adalah penyelesaian yang terbaik kepada ibu bapa yang mempunyai masalah sebegini. Tidak suka sistem, tak beerti kita keluar dari sistem. Sebaliknya, banyak lagi cara supaya kita selaras dengan sistem tanpa menyanggahi sistem. Sekolah di rumah adalah satu sistem yang paling sesuai bagi ibu bapa yang selalu mengkritik atas dasar tidak percaya kepada guru-guru sekolah.

~Allahyarham P.Ramlee dalam filem "ANAKKU SAZALI" telah mengajar dan mendidik bangsa supaya berfikir akan tindak tanduk memanjakan anak keterlaluan dan terlalu mempercayai anak. Benar, kita diajar untuk mendengar rintihan anak, tapi adakalanya kita perlu menyisat kebenaran berita yang disampai oleh anak-anak kita terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan. 

~Mengapa anak kita berbohong? Semuanya akan berbalik kembali kepada GURU PERTAMA anak-anak iaitu IBU BAPA. Sikap ibu bapa yang sering mendenda anak diatas kesalahan yang dilakukan tanpa memberi peluang kepada mereka untuk menjelaskan kedudukan sebenar menyebabkan anak suka berbohong. Itu sebab pertama. Sebab kedua adalah MENIRU perilaku ibu bapanya yang suka berbohong. Ibu bapa adalah role-model yang pertama bagi anak-anak kecil ini. Setiap perilaku kita akan ditiru bulat-bulat kerana berpendapat ini adalah yang terbaik. Selain itu, reaksi kita ketika anak sedang berbohong seperti mentetawakan anak ketika berbohong menyebabkan anak merasakan meraka boleh berbohong dan ibu bapa tidak akan marah. 

~Ajari anak untuk mempercayai bahawa Allah melihat dan malaikat menghitung setiap satu perbuatan mereka di dunia ini. Ajari anak-anak untuk bercakap benar kerana Allah sentiasa ada bersama-sama mereka dalam setiap langkah kehidupan mereka. Ajari mereka bahawa Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui setiap apa yang yang dilakukan tanpa sedikit pun kecuaian. Sesuailah dengan hadis Rasulullah s.a.w. "Anak-anak yang dilahirkan itu ibarat kain putih Terpulanglah kepada kedua ibu bapa mencorakkanya sama ada YAHUDI, NASRANi atau MAJUSI".

~Guru pula.. jangan mengungkit setiap pengorbanan yang telah kita lakukan. Ikhlaskan hati dalam memberikan sumbangan dan ilmu kepada anak-anak kita. Kerana salah satu amalan yang berterusan pahalanya walaupun kita mati adalah "ilmu yang diamalkan". 




~Guru yang berjauhan dari keluarga.. tabahkan hati anda. Doa anak murid padamu senantiasa. "SELAMAT" dan berkat dalam kehidupan. Adakalanya kita rasa kesunyian. Adakalanya bila duduk di negeri orang, terasa jodoh pula semakin berjauhan. Risau pulak tak berjodoh sedangkan kawan-kawan lain dah mula membina masjid indah. Namun, semuanya adalah ketentuan Allah jua. Semuanya sudah tertulis sejak azali lagi siapa bila dan bagaimana perkahwinan itu akan berlaku. Ini adalah sebahagian dari rahsia Allah. ~~Pesanan untuk si DIA~~

~~MUHASABAH DIRI. KUATKAN HATI. SENYUM MENUJU SYAHID~~



Khamis, 14 Julai 2016

RAMADHAN ITU.. (CATATAN GURU HARIAN)

أسلام عليكم 



~TAhun pertama menyambut bulan Ramadhan sebagai guru bermula di S.K Long Busang. Masih dapat aku kenang, segala memori bersama dengan rakan-rakan guru yang telah bersama-sama berjuang mendidik anak bangsa nun jauh di ceruk hutan Borneo. Pada tahun pertama ini, dugaan yang terbesar adalah menyesuaikan diri dengan waktu berbuka yang sukar ditentukan. Aku pasti, kami menentukan waktu berbuka dengan hanya berpandukan kepada jam pada paparan jam di televisyen (ASTRO) kerana beranggapan itu yang paling tepat untuk dijadikan rujukan.




~Aku ingat lagi, kenangan berbuka bersama-sama dengan Cikgu Faizal, Cikgu Saiful, Cikgu Fadhil dan Ustaz Fazli Cikgu Simri, Cikgu Rejerki dan Cikgu Larry. Macam-macam juadah aneka yang di masak. Biasanya, tukang masak yang paling "favourite"mesti Cikgu Rejerki. Hehe.. paling nyams.. Alhamdulillah. Semua jasa mereka ini, takkan aku lupakan. Insya Allah, budi yang baik pasti dikenang jua.

~Tahun kedua berpuasa masih lagi di S.K Long Busang, kali ini berpuasa dengan Cikgu Fadhil, Cikgu Azlan (yang posting awal bulan Julai 2010) dan Hazizul. Kali ini, berpuasa dalam keadaan yang sederhana. Generator sekolah pada ketika itu, sangatlah runcing dengan sebuah generator rosak. Sebuah generator sahaja yang berfungsi. Pada ketika itu, nak sahur kadang-kadang bersuluh nak masak. Alhamdulillah. Masih boleh berpuasa walaupun agak sukar. Kalau tak silap, masa bulan puasa yang sama, berlaku pula kemarau yang menyebabkan air empangan kering. Adui.. sengsara dibuatnya.



~Kalau nak dikira perjalanan balik ke Kuching dari sekolah pulak, adui.. sesak. Bot ekspress pasti membawa lebih muatan orang kerana terlalu ramai guru yang keluar dan balik ke kampung halaman. Di sekitar Sungai Baleh itu sahaja, walaupun dipenuhi dengan hutan belantara (banyak kem balak lagi), ramai manusia menghuni segenap ceruk sungai yang wujud di situ. Penuh sekali sehingga terpaksa duduk di luar. Itu baru dari Kem Putai ke Kapit. Dari Kapit pulak, pekara sama yang berlaku. Dari Kem Putai ke Kapit, bot ekspress akan berjalan 2 kali sehari. Iaitu jam 4.30 pagi dan 10.30 pagi. Kalau naik jam 4.30 pagi sampai ke Sibu dalam jam 12.00 tengah hari. Kalau naik ekspress jam 10.30, sampainya dalam 3.30 petang. Susah bila terpaksa berhimpit dan duduk di atas ekspress yang sangat merbahaya kepada nyawa penumpang. Namun apakan daya, itu sahaja alternatif untuk turun ke Kapit. Kalau tak, kena tunggu dan tidur semalam di Kem Putai. Naya oo.. Sapa pulak nak tidur di tengah Kem Balak? Ada orang sanggup?

~Pernah sekali dalam bulan puasa tahun kedua ini, si Hazizul lupa nak masak nasi dan leka bermain badminton. Apalagi, darah panas.. maka sampai ke sahur minum air sahaja. Dulu memanglah baran. Cepat tersinggung. Leka bermain, alamatnya.. memanglah tak makan. Satu hari kebulur kerana tak makan "sungkey" dan sahur. Kira macam kombolah.

~Puasa tahun ketiga sebagai guru pula berkesempatan untuk berpuasa seminggu di S.K Long Sepiling (Baram) bersama isteri tercinta. Masa itu, Puan Isteri dah mengandung anak pertama. Dalam tempoh masa itu, dapat pula tawaran ke PPD Baram sebagai FASILINUS. Seminggu sahaja berpuasa di Long Sepiling, selepas itu berpindah ke Marudi. Sampai Marudi, terus menjadi urus setia bagi program LINUS di Eastwood Valley, Miri selama seminggu.

~Puasa di MArudi pula, pada ketika itu, Puan Isteri masih lagi berada di sekolah S.K Long Sepiling. Puan Isterilah terpaksa balik setiap hari Jumaat ke Marudi untuk menemani aku di Marudi. Masa itu, masih menyewa di Kampung Narum. Perginya hari Jumaat, baliknya Isnin. Sampai sekolah, terus mengajar. 2 minggu sebegitu dalam bulan puasa. Begitulah pengorbanan Puan Isteri bila mana berjauhan seperti begitu. Lepas balik raya, dapat berita gembira: Puan Isteri ditumpangkan ke sekolah S.K Dato' Shariff Hamid atas arahan PPD Baram setelah mendapat surat dari Hospital Marudi.

~Itu tahun keempat, berpuasalah hampir sebulan di Marudi. Masa itu, kedudukan dalam pejabat dah berubah dari Fasilinus ke Ketua Unit. Syukurlah sebab sepanjang berpuasa di Marudi, tiadalah kesukaran yang dihadapi kerana pada penghujung tahun sewaktu Mr. Khawar Jr. lahir, masa itu Si "Gagah Kelabu" dah berkhidmat untuk kami. Kereta 4wd yang banyak berjasa kepada kami dari awal di Marudi sehinggalah di Kuching. Setiap minggu mesti balik ke Miri. Kereta 4wd dan jalan Marudi-Miri jadi saksi perjalanan kami menuju ke sungkey di Miri.

~Tahun berikutnya, berita perpindahan ke Kuching menjadi kenyataan. Aku dan isteri berjaya pindah ke Kuching. tapi, bukanlah ke Jabatan Pendidikan Negeri, sebaliknya berpindah ke SMK Seri Setia Kuching. Sempat lagi mengalami ramadhan di Marudi pada hari pertama puasa. Dan selepas itu, terus ke Kuching, meninggalkan bumi Miri yang tercinta.

~Ramadhan di Kuching, terlalu jauh berbeza berbanding dengan ramadhan di rantauan orang. Kalau di perantauan, masa-masa di akhir ramadhan inilah saat yang paling ditunggu-tunggu. Nak balik Kuchinglah.. hehe.. mesti seronok dan kesusahan pasti menjadi satu kenangan manis. So, cikgu-cikgu diluar sana, sementara masih berpeluang untuk mengecapi nikmat kesusahan ini, kecapilah. (Ops..nanti ada cikgu marah sebab dah berbelas tahun mintak pindah tak dapat). Mungkin ada yang kata terlebih kecapi. Namun, itulah yang terindah. Insya Allah.




Selasa, 21 Jun 2016

RAMADHAN KAREEM 2016 (1437 HIJRAH)

أسلام عليكم 



~ Masuk hari ke 16 Ramadhan dah berlalu.. masih lagi belum upgrade IMAN seperti yang dirancangkan pada tahun ini.

~Dugaan datang silih berganti, tetapi Allah tetap hadirkan hati yang tabah untuk mengharungi kehidupan yang ingin dijalani.

~Dugaan kali ini berbentuk rahmat dalam kesakitan. Anak pula ditimpa HFMD. Allahu.. sepatutnya satu keluarga kena "isolated" tapi, yalah.. tuntutan kerja itu yang lebih penting daripada virus. Biarlah virus melanda.. Muhammad Khalik Hakimi yang terkena. Precautions untuk Muhammad Khalid Hafizi. Doakan kesejahteraan. Guru pun manusia.



~YAng penting, do not make any direct contact dengan sesiapa yang tidak berkaitan. Guru-guru lain pun ada anak kecil. So hindari berada dekat. Banyakkan membaca al-Quran. Insya Allah.

~ Banyak pekara yang menjengkelkan aku dalam beberapa bulan ini berlaku di sekolah. Tapi, tutuplah aib tu. Biarkan ia berlalu. Let go by go. Orang tak mahu kita, kita angkat kakilah.

~Ramadan Kareem.. masih lagi tidak boleh menumpukan kepada ibadah khusus seperti orang soleh yang lain. Macam kekurangan iman yang menyebabkan segalanya berat dilaksanakan. 14 days to go Muhammad Khawar Hezazy.. kalau tak usaha, pasti kerugian.


~Salam ramadan 2016 (1437 H) untuk semua umat Islam...

RAMADAN DUA ZAMAN, SATU NASIB TAK SERUPA, PELUANGNYA SAMA. NASIB NYA BERBEZA.

Selasa, 24 Mei 2016

SELAMAT HARI GURU 2016 : GURU PEMBINA NEGARA BANGSA



~Masih tak terlewat lagi nak mengucapkan



                  SELAMAT HARI GURU 2016

 kepada semua insan yang bergelar guru di mana-mana sahaja berada di segenap pelusuk negara Malaysia khasnya.

~Hari guru di Malaysia disambut pada 16 Mei pada setiap tahun bagi memperingati guru-guru yang telah menyumbang khidmat bakti mereka di seluruh tanah air. Bagi dunia, satu ketetapan telah ditentukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Besatu (PBB) pada tahun 1994 iaitu pada 5 Oktober.

~Ucapan ini tidak terhad kepada guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah sahaja, tetapi merangkumi rakan-rakan guru-guru yang telah meninggalkan alam perguruan sama ada sudah berpencen atau pun yang telah pergi meninggalkan kita buat selamanya. Juga kepada rakan-rakan guru yang tidak berkhidmat di sekolah seperti rakan-rakan yang berkhidmat di Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan juga Kementerian Pendidikan Malaysia, di Institut Pendidikan negara, dan di mana-mana jua serta tidak dilupakan rakan-rakan yang membantu guru-guru ini seperti "cheif clerk", pembantu makmal dan seluruh warga sekolah.

~Ikhlas dari sudut hatiku menerima ilmu guru-guru yang pernah mendidik aku sehinggalah sekarang. Walau beronak berduri, sudah pasti ilmu yang dicari tidaklah disia-siakan. Biarpun terpaksa menuntun jalan yang berliku, guru tetap mencari seribu satu jalan bagi membantu menyelesaikan persoalan yang berselirat yang membungkam dikalbu pelajar.

~Ini adalah tahun ke 7 aku dalam bidang perguruan. Dan ini adalah stesen yang ke 4 setelah 7 tahun dalam perkhidmatan. Stesen yang sekarang (S.M.K Seri Setia) merupakan stesen yang terlama buat setakat ini dalam perkhidmatan aku.
( 2009-2010 ~ S.K Long Busang Belaga (2 tahun);  2011 ~ S.K Long Sepiling (6 bulan); 2011 - 2013 ~PPD Baram (2 tahun) dan 2013 - sekarang ~ S.M.K Seri Setia, Kuching))

~Kemungkinan, inilah stesen terakhir aku sebelum bersara dari bidang keguruan. Tapi, masih lagi jauh perjalanan menuju kepada alam bersara. 28 tahun perlu dihurung untuk menghabiskan sisa-sia perkhidmatan. 

~Terima kasih kepada semua guru yang pernah mendidik dan membimbing aku sehinggalah aku menjadi diriku yang sekarang terutamanya idola kerinduan , "RASULULLAH S.A.W.".. kerana dengan limpah ilmu dan nasihat baginda, aku menjadi diriku yang sekarang.

~Ucapan terima kasih juga tidak terhingga kepada kedua ibu bapaku sebagai guru pertama aku yang telah mendidik untuk menjadi insan yang berguna. Kalau bukan hasil dari didikan mereka, sudah pastinya aku akan menjadi orang yang hidup merempat dan tidak berguna.

~Ucapan yang tidak terhingga terima kasihnya juga ditujukan khas kepada semua guru-guruku di Tadika St. Jude, Kuching (1990), SRB St. Joseph Kuching (1991-1996), SMB St Joseph Kuching (1997-2001), Kolej Matrikulasi Labuan 2002-2003, Universiti Malaysia Sarawak (2003-2006), IKMAS (2006), Institut Perguruan Batu Lintang (2008), Universiti Sains Malaysia (2012), Open University Malaysia (2013-2015) dan semua guru yang pernah mendidik aku secara langsung atau tidak dalam perkhidmatan dan juga akademik ini.

~Ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada semua guru-guru silat yang pernah mendidik aku sehinggalah menjadi aku sekarang terutamanya kepada Cikgu Kasim Bin Samat (Sabah) dan semua yang pernah mendidik gerak langkah sehingga buka langkah. Bukan mudah nak mengingati dan menamai semuanya tetapi, ajaran kalian semua masih kekal dalam ingatan.

~Akhir kalam... selamat hari guru juga kepada isteri yang tercinta.. ibu kepada anak-anak aku, pelengkap rusuk kiri dan juga suri kepada rumah tangga kami.


Jumaat, 13 Mei 2016

TOPIK HANGAT: KOMPLEKS DAN SUKAR. PILIHAN ANDA UNTUK MENILAI.


بسم ألله ارحمن ارحيم 

~Jangan salah nilai kerana bimbang terkeluar dari landasan. Bincang dengan ilmu bukan nafsu.

~Hangat topik yang ingin aku kongsikan pada hari ini. Ianya melibatkan pelbagai sentimen yang boleh menimbulkan persoalan dan prasangka. Ahli agama , ahli - ahli peperangan siber dan sewaktu dengannya akan mengambil kesempatan di atas artikel ini supaya menghalalkan dan mengharamkan satu polemik yang sangat rumit dan kompleks dari sisi agama. Tapi yang nyata, hukumnya telah terkandung di dalam al-Quran tanpa dakwa dakwi. Cuma prosedur dan cara yang akan memastikan kedudukan sebenar isu yang ingin aku kupaskan kali ini.

~Walaupun hangat dan bakal dihujani pelbagai persoalan, aku tetap menguatkan diri melihat pekara ini dalam perspektif ruang lingkup kehidupan dan pengalaman yang aku  kutip dari orang yang aku kenali sama ada, keluarga, rakan-rakan perguruan dan masyarakat sekeliling.

~POLIGAMI ~ Takrif Dewan Bahasa Edisi Keempat: Amalan berkahwin lebih dari satu orang pada masa yang sama; berpoligami mengamalkan poligami, mempunyai lebih dari seorang isteri pada masa yang sama; sekiranya dikhuatiri sukar berlaku adil, janganlah~, kelak sukar dijawap diakhirat nanti.



~Begitulah isu yang akan aku kupaskan dengan pandangan individu. Jangan mudah melatah dengan isu ini biarpun isu ini terlalu sensitif bagi sesetengah masyarakat. Aku lebih suka mengupas hal ini dari perspektif yang lebih positif berbanding dengan stigma masyarakat kita yang suka mengutuk dan bertindak mengikut nafsu. Dalam hal ini, sukat ilmu dengan IMAN. Bukan sukat ILMU dengan nafsu. Letakkan kepentingan diri diluar batas waktu,

~Dalam hal ini, aku lebih suka untuk ambil sikap atas pagar. Kerana semuanya yang berlaku adalah kehendak Allah. Kita kembali dulu kepada konsep, "jodoh dan mati itu ketentuan Allah" Hak mutlak Allah. Dengan siapa jodoh perkahwinan kita di langsungkan atau bila saatnya kematian kita, semua sudah ditentukan dengan teliti oleh Allah yang Maha Bijaksana. Oleh itu, tolonglah bersikap terbuka dan janganlah mudah mengutuk dan mencerca serta menghina mereka yang mengamalkan satu sunnah yang paling kompleks untuk dilaksanakan.

~Pernah aku kupaskan topik ini beberapa tahun terdahulu, tetapi dalam ruang lingkup yang kecil kerana bimbang orang berkata bahawa aku sudah termasuk dalam orang yang INGIN mengamalkan poligami. Mungkin kadang-kala, seseorang lelaki pasti akan terfikir namun untuk melaksanakan tugas ini, sudah pasti kita akan merujuk beberapa faktor. Antaranya adalah, dari segi kewangan, segi emosi, dari segi keagamaan dan yang paling penting adalah dari segi MAMPU ATAU TIDAK BERLAKU ADIL. Itu yang menjadi persoalan kerana ADIL adalah satu perbuatan yang subjektif yang tidak mampu dinilai oleh insan yang lemah seperti kita. Setiap perlakuan kita akan dihitung dan setiap amanah yang kita culas lakukan akan dipertanggungjawab di YAUMUL Mahsyar kelak. Sedikit kecuaian akan menyebabkan kita akan mudah terjerobos ke dalam Neraka. So, sebelum melakukan tindakan untuk berpoligami, dapatkan nasihat yang terbaik dahulu. Dan nasihat yang terbaik adalah dari ALLAH jua dengan solat Isthikarah..

~Kalau lelaki sungguh mudah dan senang bila diajak berbicara berkaitan dengan poligami. Namun, bagi wanita inilah pekara sunnah Allah yang paling sukar diajak berbicara kerana ianya melibatkan hati dan perasaan. Bayangkan, bertahun "memiliki" hati dan perasaan suami, tiba-tiba, pada hari itu, cintanya yang dicurahkan sepenuhnya terpaksa dikongsi dengan orang lain. Suami terpaksa membahagikan cinta di antara beberapa wanita sehinggakan adakalanya ada pihak akan "terasa" kekurangan dalam meniti arus perkahwinan ini. Bukan mudah untuk bagi lelaki mahupun wanita bila mana hendak melakukan pekara sunnah ini. Adakalanya, kita terpaksa "berperang" dengan suasana yang tidak sihat seperti cercaan dari masyarakat yang pastinya akan memandang serong kepada jenis perkahwinan ini,. Mungkin dipihak lelaki akan dikatakan "tidak puas" , kejam, tidak sensitif dan pantang melihat gadis berdahi licin. Dipihak isteri pertama dikatakan, tidak mampu memberikan kepuasan, tidak mampu memberikan sepenuh kasih sayang sehingga suami cari lain.. Di pihak bakal isteri digelar sebagai PERAMPAS, tak jaga maruah dan yang paling sadis adalah SUNDAL.

~Bukannya mudah jika hendak melakukan sesuatu yang baik. Tapi, ramai pulak yang suka bercerai berai. Bergelumang dengan dosa-dosa seperti menyimpan perempuan diluar, mempunyai kekasih gelap tanpa pengetahuan suami, merungut ketidakcukupan rezeki, bergaul tanpa batas walaupun berstatus suami atau isteri orang, suka memandang kepada benda yang haram, mengumpat dan macam-macam lagi dosa yang selalu dilakukan tanpa disedari.

~Kadang-kadang kita perlu menyelami pelbagai faktor POLIGAMI ini berlaku. Untuk lebih selesa, bolehlah bertanya kepada mereka yang pakar dalam hal ini kerana aku sendiri tidak pernah mengalami POLIGAMI ini atas dasar aku memang masih tidak mampu untuk berlaku ADIL terhadap perasaan aku sendiri. Masakan dengan perasaan sendiri tidak mampu, apatah lagi dengan HATI MANUSIA LAIN?

~"Habis, kenapa kau ceritakan topik ini? Macam ada udang di sebalik batu.." Mungkin itu yang bermain dibenak pemikiran pembaca pada ketika ini. Aku cuma mampu tersenyum kerana apa yang berlaku dibenak fikiran itu kadang kala adalah tindakan refleks lantaran benci untuk berpoligami. Jawapan aku senang, sila lihat semula rangkap pertama dan kedua artikel aku di atas ini. Itu jawapannya.

~Untuk lelaki di luar yang ingin berpoligami, beberapa persoalan yang mungkin bermain di fikiran aku dan fikiran pembaca lain.
  1. Apakah tujuan berpoligami?
  2. Bagaimana kita menyukat keadilan dalam rumahtangga?
  3. Bagaimana dengan perasaan isteri pertama yang banyak membantu kita dipermulaan hidup satu ketika dahulu?
  4. Adakah dengan berpoligami akan mencetuskan semangat melakukan sunnah nabi?
  5. Kalau ya, bagaimana dengan sunnah nabi yang lain? mampukah dikerjakan setelah melakukan sunnah yang paling sukar?
  6. Adakah berpoligami akan meningkatkan status kita pada masyarakat?
~Fikirkan sejenak, setelah mendapat kekuatan untuk melakukan apa yang dihajati, kuatkan keyakinan dan tingkatkan lagi kefahaman berkaitan dengan Islam. Bukan mengambil pada permukaannya sahaja. bukan nak ambil yang sedap sahaja, tetapi membuang benda yang lain. Jangan abaikan faktor lain kerana ianya akan menyebabkan kita tersilap langkah dan menyesal.

~Jika pekara ini tidak berlaku kepada anak murid aku, kemungkinan aku sendiri masih lagi "terbuai" oleh kekhilafan ini. Di sini aku ingin menyatakan, berpoligami biarlah mengikut keadaan. Isteri masih sarat mengandung, kita sudah terhegeh-hegeh untuk memperisterikan orang lain. Bagaimana dengan perasaan isteri kita tadi? Sudahlah terkena "buatan" suami, tapi si suami tidak pula mampu untuk bertahan sehingga abis segala tempoh wiladah. Inikah yang dikatakan adil? Sekurang-kurangnya, jagalah hati isteri pertama. Walaupun mulutnya mengatakan "IZIN", tetapi sekurang-kurangnya kau fikirkan juga hatinya. Tenangkan gundah gulananya juga. Bukan sekadar nak damaikan hati kau yang sentiasa "bergelora". Fikir dan renungkan. Kalau kita nak kahwin kerana Allah, mesti juga melakukan yang sama dalam semua bab ya.

~Aku bukan menyanggah poligami, tetapi gunalah akal dengan sebaik-baik. Sukat pulak dengan IKHLAS. IKHLASkah kita memperisterikan orang lain? Sedangkan kita sendiri terbabit dalam melukai hati isteri kita. Begini kah cara sunnah nabi? Inilah faktor penyebab orang ramai tidak suka akan poligami.


~Isteri yang bakal dikahwini bukan "KULI" untuk menjaga keluarga. Hargailah kehadiran isteri kedua. Jangan sekadar berkahwin sebab nak dilihat berharta dan berstatus. Sedangkan isteri kedua tersiksa kerana terpaksa "bekerja" di rumah suami dan isteri pertama. Apa kau ingat perempuan ini tidak bernilai dan sekadar dikahwini untuk suka-suka sahaja? untuk dijadikan HAMBA dalam perkahwinan ciptaan kamu sahaja? Walaupun isteri kedua berasal dari kurang berkemampuan atau datang dari keluarga yang berantakan atau isteri kedua tidak mempunyai apa-apa sijil akademik atau kelayakan, ianya tetap isteri kita yang kita ambil dari belaan orang tua mereka. Janganlah lantaran dia berstatus KEDUA, kedudukannya sangat rendah dalam MAHLIGAI PERKAHWINAN. Lantaran nombor DUA dan tidak punyai apa-apa kau layani dia seperti persisnya seorang HAMBA. Fikirkanlah. Kau mengahwininya sebab apa? Kononnya agama, tapi apa sebenarnya keperluan mu?

~Aku seringkali mengutarakan bahawa perkahwinan ini bukan sekadar mengahwini perempuan bahkan kau turut mengahwini keluarga perempuan tersebut. Kau sanggup mengahwininya, maka terimalah keluarganya seadanya. Takkan bila keluarga perempuan bermasalah, kau hindari atas alasan tidak mahu masok campor. Gilakah apa perkahwninan yang kau bakal rancangkan ini. Lihat perspektif yang baik, membantu sesama Islam adalah digalakkan lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan keluarga. Takkan nak ambik perempuan sahaja, keluarga yang membelanya kau buang. Di mana sikap adil tersebut. Jagalah hati semua kalau nak berpoligami. Bukan main bantai ikut suka kau sahaja.

~Jangan perjudikan masa depan anak orang demi NAFSU diri kita. Ingat itu, apa yang datang dari Allah sangat-sangat indah aturannya. Disebabkan kita terlalu ghairah, sehingga kita seringkali terlupa bahawa dalam keghairahan Allah hadirkan ujian untuk menguji keyakinan kita. 

~Aku menyokong berpoligami lillahitaala. Tapi, jagailah batasan dan aturan yang ditentukan. Bukan main redah tak tentu hala. Hujung-hujung, bukan pahala yang diraih, dosa pulak yang kau pikul menuju ke neraka. Kepada mereka yang sudah berjihad dalam POLIGAMI, aku ucapkan tahniah. Kepada yang belum, ingatilah pesan guru aku, "KALAU BELUM, JANGAN CUBA-CUBA!!!"



~ISTERI INI UMPAMA TONGKAT SI BUTA, BILA TIADA, KAU PASTI MERASA KEHILANGAN. HARGAI INSAN BERNAMA ISTERI!!

Selasa, 10 Mei 2016

INDONESIA, BUMI WALI SONGO

بسم الله ارحمن أرحم 

~Kembara ke bumi Indonesia..

~Mengembara ke bumi Indonesia merupakan pengalaman yang paling berharga kepada aku sebagai warga pendidik. Pengembaraan kali ini menyertai rombongan Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia di bawah pimpinan Datuk Adiwijaya Bin Hj. Abdullah yang aku panggil "ayah".

~Prosedur demi prosedur perlu dilalui untuk pergi dan balik ke Indonesia. Sebagai warga pendidik yang bekerja dengan kerajaan persekutuan, prosedur yang paling utama adalah untuk mendapatkan "kebenaran untuk keluar negara". Prosedur ini perlu dipatuhi kerana setiap perjalanan keluar akan dilindungi dan diinsuran oleh kerajaan Malaysia jika terjadi apa-apa di sana. Satu lagi, kena mohon cutilah. Terpulang kepada pihak pentadbir untuk memberikan cuti mengikut keperluan. Macam kes aku, diberikan cuti tanpa gaji selama 4 hari.

~ Perjalanan ke sana pada hari pertama sangat memenatkan. Aku mengambil penerbangan pada jam 11.00 malam dari Kuching dan sampai di Kuala Lumpur International Airport sekitar jam 1.00 pagi. Jadi, penerbangan ke Soekarno-Hatta International Airport pada jam 7.00 pagi Malaysia. Aku kena tunggulah di KLIA sehingga jam 4.30 pagi. Itu pengalaman pertama menunggu di lobi pelepasan. Punyalah lama sehingga udara sejuk di dalam KLIA terasa hangat. Lebih-lebih lagi perlu meninggalkan isteri yang tercinta serta anak-anak.

~Jam 4.30 pagi, rombongan Datuk Adiwijaya telah datang ke KLIA dan terus daftar masuk untuk mengelakkan kelewatan. Maka, setelah selesai memasukan barangan ke dalam kargo, stesen RTM TV1 telah menemuramah Datuk dan pasukan silat olahraga. (Keluar berita jam 5 di TV1 pada hari yang sama.

~Sampai balai berlepas, aku dan guru-guru (AJK PSSGM) menunaikan solat subuh di sebuah musolla dalam balai tersebut. Selepas usai solat, terus menuju ke kaunter imegresen. Dari situ, seorang guru tak lepas kerana ada masalah CCRIS (masalah PTPTN). Pengajaran, jangan keluar negara tanpa memeriksa keberhutangan dengan PTPTN. Hehe.. tetapi, cikgu tersebut "catch-up" flight pada jam 4.00 petang waktu Malaysia. (masalah selesai lah tu, salah faham agaknya).

~Pekara pertama yang berlaku adalah pertukaran waktu. Waktu di Jakarta, sejam lebih lambat berbanding dengan jam di Malaysia. Kemudahan yang ada pada jam aku ialah dapat ditukar kepada waktu Indonesia kerana terdapat world clock dalam jam tangan. Yang kedua, adalah kesukaran untuk mendapatkan talian telefon. So, selesai dengan membeli "kartu telpon" Indonesia.

~Kami bermalam di Padepokan Pencak Silat Indonesia. Bangunan tersergam indah menempatkan kompleks persilatan yang lengkap bermula dari gelanggang silat sehingga ke hotel untuk memberikan keselesaan kepada pengunjung ke sana. Alhamdulillah.. sangat selesa sehingga terlajak subuh beberapa kali.

~Seronok dengan bila bermalam dengan guru-guru tua. Sebilik ada Cikgu Ahmad Bin Ismail @ Cikgu Mat Jepun, Cikgu Mat Isa @ Pak Long dan Cikgu Shaiful Hakim (UMP). Duduk dengan guru ini memberikan semangat dan inspirasi. Sempatlah berguru dengan Cikgu Mat Jepun beberapa ilmu kalam yang sukar aku perolehi dari guru-guru lain. Kira memperbetulkan semua kekurangan dalam ilmu gayong aku. Banyak ilmu yang aku perolehi dan paling penting "ILMU, IMAN DAN IKHLAS".

~Malaysia diwakili oleh Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia dan PESAKA Negeri Sembilan. Keseluruhan, Gayong Malaysia memenangi 8 pingat emas dan juara keseluruhan terbuka Antarabangsa. Alhamdulillah.

~Yang paling penting dalam pengembaraan ini adalah, semangat menuntut ilmu biarpun tak bertemu di Malaysia..sebaliknya bercinta dan bertemu di Jakarta. Allahu Allah..









~Sukat ilmu dengan tiga pekara, ILMU, IMAN dan IKHLAS. Ingat pesan guru tua, jangan pentingkan kuantiti, tetapi tingkatkan kualiti.

Silat Seni Gayong , Payong pusaka,
Naungan aneka hikmat mulia,
Rahsia tersimpan di purbakala
Ilham menyusur, zahir semula

~Bagi aku, satu keberkatan yang tidak ternilai bila mengenali seorang guru yang begitu rapat dengan Allahyarham Dato Mahaguru Meor Abdul Rahman. Seorang guru yang baik dinilai dari segi tutur kata yang sopan. Bukannya seorang yang suka mengutuk orang lain. Semua cerita dalam poket aku. Perpecahan kali ini bakal bertemu dengan titik pengakhiran. Insya Allah.

~Fikirkan dan renungan, kalau derhaka, kembalilah taubat. Guru tak mendoakan kejahatan tetapu ketulahan pasti akan menerjah kita. Kalau rasa ilmu dah berilmu, sukatlah dengan iman. Adakah perbuatan kita betul jika menderhaka dengan ikrar yang diucapkan pada perlimau tapak/seni. Kalau betul, mestilah berasaskan kepada kebenaran. JAngan langkah sumpah kalau tak mahu derhaka.

~Kalau dah sukat dengan Iman, sukat pulak dengan IKHLAS. Kalau ikhlas, mestilah kita tidak melakukan demi kepentingan nafsu. Beringatlah, kalau kita berasa benar sekali manapun, kadang-kadang berkira-kira dengan duit. IKHLAS hilang bila kita mula berkira. Semua nak kira demi kelangsungan hidup.

~Bersyukur sebab Allah menemukan aku dengan Cikgu Shaiful Hakim yang sangat terkenal di Perancis. Aku temui sahabat yang baik dalam memperjuangkan gayong dengan tulus ikhlas.

~Semua dah tinggal kenangan. BErjaga malam untuk menjadi "anak murid" Cikgu Mat Jepun. Bukan mudah ok. Khatam dengan guru bukan mudah ok. Biarpun disindir, tapi itulah penangan guru. Semua yang salah diperbetulkan. Fikirkan.. renungan.

~Silat bukan bahan jualan. Silat hanya warisan keturunan. Simpan dalam poket dan jangan jadi bahan jual kepada orang bukan empunya milik. Allahu..

~Akhirnya.. kalau orang waras dan berpendidikan boleh berfikir, kenapa pilih jalan yang salah? Sedangkan kita tahu yang benar atau tidak.

Selasa, 8 Mac 2016

Pintu


~Pintu itu terbuka,
Dari langit turun ke dunia,
Memberikan sinar dan harapan,
Keampunan balasan kepada ketaatan,
Pintu itu terbuka lagi,
Memberikan seribu pengharapan,
Memberikan seribu kemaafan,
Memanjangkan ukhuwaah yang telah terpisah
Mencantum hati yang telah terbina senja,

Dia berfirman, "tidaklahlah kamu berputus asa,
melainkan kamu tidak beriman"..
Untaian firman memberi harapan,
menuju garapan,
menuju kegemilangan,
menuju kejayaan,

Pintu itu terbuka seluas-luasnya,
Di kala Ramadhan menjelma,
Menuntut semua kembali kepadaNya
"Masuklah dari pintu-pintu yang kamu mahu..."
Begitulah realiti dunia..ciptaan Dia Yang Esa
Dalam kepayahan, terselit kecintaan,
Pintu itu dibuka bagi yang masih mengharapkan,


Apa lagi yang ditunggu?
Perdebatan yang sia-sia?
Perbandingan manakah yang bisa menjadi kebenaran?
Menanti jawapan dari ulama yang saling mencela?
Sedangkan Allah menanti dengan lambaian nasuha..
Hanya kau sahaja yang terleka,
Mahupun terjelupuk di pintu syurga!!
Memikul dosa nan berjela..

MKH 2016

Rabu, 2 Mac 2016

LELAH


~Lelah..
Bagaiamana hendak ku angkatkan muka,
Berhadapan dengan kelelahan ini,
Seringkali, tersembam muka ke meja,
Tertidur, ternganga dalam kelelahan,
Setiap masa dan saat,
Jiwa dan badan terbungkam,
Antara kelelahan dan tidur,



~tidur
Bukan jalan penyelesai kepada kelelahan
Tidur hanya jalan kerehatan
Meredakan lelah tetapi bukan menamatkan kelelahan,
Terbangun, tersisa kelelahan,
MAsih lagi meneruskan rutin kehidupan
Dan bertambah kelelahan
Mata kuyu, badan kelelahan
Tidak berhenti


~Hidup,
Bermula dengan sebuah kelahiran,
Disambut dan dirai dan disayangi,
Dibelai dan di manja,
Namun,
Bila bermula kehidupan,
Pasti terjadinya krisis,
Krisis
Krisis
dan jalan penyelesaian..

~Krisis
Yang membawa kepada kelelahan
Candu kepada kelelahan
Namun sebenarnya titik permulaan
Atau pengakhiran
Mana jalan kau pilih?

~Mati..
Jalan rehat yang paling abadi
Biarlah berehat dalam ketenangan
Bukannya berehat dalam kesengsaraan..
Mana jalan yang kau pilih?

MKH 2016

Selasa, 26 Januari 2016

Catatan Kita Pada Hari Ini: Penghujung Januari 2016

أسلام عليكم 

~Malas nak mengulas isu yang berkaitan dengan pak menteri. Kalau ulas, timbullah satu surat yang akan menjahanamkan periuk belanga kita. Tak boleh dikritik, pandang dan lihat. Kita cuma menjadi penonton kerana tugas kita di dunia hanya memegang watak "SEORANG GURU BIASA".



~Dari seorang guru di pedalaman Sarawak, aku berhijrah ke Pejabat Pendidikan.. sebelum kembali semula ke sekolah di bandar. Bandaraya Kuching, MY Hometown.. Kampung sendiri orang kata. Tapi, aku lebih cenderung untuk berada di Marudi pada ketika ini. Walaupun aku tidak mempunyai siapa-siapa di sana. Hanyalah sebuah kampung yang kecil dan dikelilingi oleh masyarakat yang sangat prihatin.

~Pedalaman Long Busang.. sebuah tempat yang sangat memberikan inspirasi aku untuk menjadikan sebuah blog yang aku khususkan bagi menitip bagaimana kami guru di sana. Tapi, disebabkan kami ini hanya warga tempatan bukan warga Semenanjung.. so, tiadalah khusus buat kami. Nak buat macam mana. Kita bukan watak penting dalam pentas lakonan dunia.

~Setiap perjalanan ke sana, bagi orang bandar macam aku, sangat bermakna. Allah sahaja yang boleh balas jasa dan budi pekerti insan-insan yang banyak membantu kami. Walau hakikatnya kehadiran kita tidak disenangi, tapi demi Allah jua, kita harus berbakti.

~Pedalaman Long Sepiling tidak sesehebat Long Busang dan tidak getir sepertinya. Kerana perjalanan yang singkat dan tidaklah terlalu ekstrem. Tapi, dengan keadaan bot ekspress yang tidak berapa sempurna, kurang selamat. Tapi, semuanya diatasi dengan kegembiraan dengan kehadiran isteri tercinta. Ditambah lagi dengan berita kami dikurniakan zuriat yang pertama. Alhamdulillah...


~Aku bersyukur kepada Allah dalam setiap apa yang Allah kurniakan kepadaku. tapi, acapkali aku merasakan aku tidak bersyukur. .. Inilah hakikat kita sebagai insan. Kadang-kadang kita boleh terlupa dengan nikmat yang Allah berikan kepada kita sehingga nikmat itu Allah tarik secara pelahan-pelahan sebagai peringatan kepada kita. Agar kita kembali menongkah jalan yang lurus. Jalan yang dijanjikan junjungan besar kita, baginda Rasulullah s.a.w.

~  Allah tengah menguji ku dan keluargaku.. Akan aku hadapi demi menjaya misi kita untuk menggapai Keredhaan Allah.. Cita-cita kita adalah maghfirah Allah.. dan kejayaan kita pastinya syurga nan abadi. Allahuma ya Allah..

~Cepat naik, cepat pula ditunjuk jalan turun. Semuanya tidak kekal, yang kekal adalah Allah jua. Semuanya ini pinjaman. Bila tiba masanya, pasti akan dijemput pulang. Pada ketika itu, sudahkah kita bersedia? menjawap persoalan-persoalan yang bakal ditanya oleh mungkar-dan nangkir?

~Sebelum mata kedua-dua menutup mata, akan ku usahakan demi keduanya.. Insya Allah.. aku akan usaha.. walaupun terpaksa menggadai nyawa sekali pun....~




Isnin, 25 Januari 2016

MENCARI KETENANGAN DALAM KEKALUTAN.. ADUHAI PERSATUAN ITU!!!


أسلام عليكم 

~Memandangkan gelora hati berkocak bagaikan tidak keruan, maka terbitlah kata-kata aku dalam blog ini. Bukan bersifat untuk menghina, mahupun mengaibkan manusia lain. Tapi sekadar peringatan kepada diriku sendiri supaya tidak melakukan pekara yang biasa dilakukan oleh orang lain.

~Jangan sesekali mengkhianati sebarang perjanjian dengan sebarang orang selagi tidak  bercanggah dengan agama Islam. Kita ini, hidup berkelana, tak perlu bergaduh disebabkan oleh pekara dunia. Aku berlindung dari segala kejahatan dan fitnah manusia, jin dan iblis yang berniat nak memecahkan perpaduan Islam.

~Aku sangat terkesan dengan tindakan beberapa pihak dalam ketegangan yang diakibatkan oleh pergelutan kuasa. Orang ambik kesempatan dari pergaduhan bersaudara ini. Ego menjadikan kita sangat "kebal" dari memohon kemaafan. Mana mungkin orang menyokong tanpa melihat keadaan sebenar?

~Bayangkan, orang tengah bersusah payah untuk mengatur sesebuah persatuan, yang melibatkan kerja yang banyak dan remeh, dengan senang lenang kita daftar satu persatuan baru yang sama dan angkat diri jadi ketua? Agak kritikal kalau kita mengetahui, jika yang dikejar oleh individu yang gila jawatan hanyalah duit yang berjuta. Allahu..

~So, don't aspect orang akan hormat dengan kita jika kita sendiri menunjukkan akhlak yang buruk. Menjatuhkan orang dan memegang amanah dengan culas. Ilmu tinggi tak guna, jika suka membawa kepada kemusnahan dan kehancuran dalam perpaduan.

~Kalau nak orang hormat, kita perlu menghormati orang lain. Kalau kita terhormat, kita akan dapat menjaga maruah diri kita. Orang akan pandang kita bukan jelek tapi penuh dengan kehormatan.

~Budaya mencantas, suka lihat orang lain menderita adalah sikap yang perlu dibuang jauh-jauh dari diri kita. Mengapa kita tidak boleh meletakan sabar pada kedudukan yang sepatutnya? Ingat.. MATLAMAT TIDAK MENGHALALKAN CARA. Matlamat dah betul.. masalahnya, cara 100% salah kerana membelakangi kehendak majoriti. Macam manalah badan-badan kerajaan boleh meluluskan tanpa merujuk kepada pekara sebenar?


~Orang kata, kalau kita rampas hak orang, insya Allah, Allah akan rampas hak kita balik. Just tunggu pembalasan dari Allah. Kalau tak di dunia, maka aku berlepas dengan kejahatan si anu bin si polah di akhirat. Kerana aku tak sanggup untuk menghadapi pertuduhan itu di akhirat.

~Aku menyeru semua kepada perpaduan. Lupakan sengketa. Hulurkan tangan sebagai tanda kemaafan di atas ketelanjuran kita. Jawatan dan harta, tidak sampai ke mana. Selagi dahi tak sujud sejadah dunia.

~Motivasi hari ini: 7 Kunci menuju ketenangan

1. Jangan bergantung harap selain daripada Allah
2.Jangan menyimpan buruk sangka terhadap orang lain.
3. Jangan hidup dengan kesalan zaman dahulu.
4. Jangan menyimpan dendam, iri hati dan kebencian. BErsifat pemaaflah.
5. Bersikap tenang dalam segala hal.
6. Jangan bimbang akan esok hari.
7. Doa dan berusaha..awali dengan tawakal dan akhiri dengan tawakal.

Ukhuwwah fillah fi abdan abada...

Khamis, 14 Januari 2016

PERMULAAN TAHUN 2016

أسلام عليكم 

- Alhamdulillah.. Allah telah mengurniakan usia yang panjang dan kesihatan yang baik kepada aku sehingga hari ini. Kebaikan yang Allah berikan tidak bertepi menunjukkan Allah tidak pilih kasih dalam memberikan nikmatnya kepada kita.

- Masuk tahun ini, adalah tahun ketiga aku berkhidmat di SMK Seri Setia Kuching. Tahun ini, aku berpindah ke Bilik Pengurusan Hal Ehwal Pelajar. Maksudnya, bermula tugas baru sebagai guru disiplin.

-7 tahun berlalu, blog ini semakin "sepi" disebabkan oleh kekangan kerja semakin menekan. Allahurabbi.. memang susah nak meluangkan masa untuk menatap laptop. Lebih-lebih lagi sejak tahun lepas, lappy rosak. Sebab tu, susah nak meluangkan masa untuk mengilhamkan kata-kata untuk pedoman diri sendiri.

- Apalah khabar tempat kerja lama aku di PPD Baram. Dengar khabar, sudah punyai Pegawai Pelajaran Daerah baru. Alhamdulillah. Syukurlah. Semuanya baru.

- Tahun 2015, penulisan baru pun berkurang sehingga 5 tulisan sahaja dapat dipaparkan atau diilhamkan. Ilham macam dah terkabur dek bahasa yang mencarut.

-Tahun 2015 juga pada 21 April 2015, aku dan isteri dikurniakan seorang lagi putera yang dilahirkan di Hospital Umum Sarawak. Nama diberi Muhammad Khalik Hakimi Bin Muhammad Khawar Hezazy. Penyeri keluarga, memberikan sinaran baru kepada keluarga. Terima kasih tidak terhingga aku ucapkan kepada bidadariku..Dayang Khalizah Binti Awang Baru kerana telah bersusah payah untuk melahirkan zuriat aku. Pembedahan kali kedua bukan penghalang. Allah lebih tahu.

-Tahun 2015 , tahun di mana aku "kembali" untuk bergayong secara serius. Aku menghadiri beberapa projek dengan gayong negeri. Antara majlis yang sempat aku hadir adalah majlis perasmian wisma Gayong.



- Diharapkan semua dapat memberikan komitmen dengan jayanya untuk program gayong sarawak tahun 2016. Kemungkinan akan dilaksanakan perhimpunan anak-anak gayong Sarawak pada tahun ini.

-Azam aku tahun ini adalah untuk menggunakan masa dengan sepenuhnya untuk tujuan kebajikan dan kebaikan kepada Allah..menjadi hamba Allah dalam erti kata "hamba" sebenar-benar hamba. Insya Allah..

-Terima kasih Allah atas kurniaan tahun 2015 yang sangat hebat. Semoga barakah mengiringi tahun ini. Insya Allah.. Allahuakbar..!!








Anda pasti mahu membaca ini

Related Posts with Thumbnails