Cari Blog Ini

Isnin, 6 November 2017

MURAH SIKAP PEMAAF, MAHAL SIKAP PENDENDAM

اسلام عليكم 

~Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah s.w.t. di atas segala kurniaan yang telah dikaruniakan kepada aku. Syukurlah..syukurlah..syukurlah. Bila kita berada dalam kedudukan yang baik, perlu diperingatkan juga, tak semestinya nikmat itu adalah kesenangan. Kadang-kadang nikmat itu adalah ujian untuk menguji tahap keimanan kita kepada Allah.

~Berguru jangan taksub. Bak kata ADMAR (ALLAHYARHAM DATO MEOR ABDUL RAHMAN) melalui pantunnya.. "BERGURU KEPALANG AJAR, BAGAIKAN BUNGA KEMBANG TAK JADI". Sebaliknya, kita meraikan semua guru-guru kita. Pelajaran bernasab terus kepada Pencipta Dan Pengasas Silat Seni Gayong Malaysia. Raikan pendapat dan janganlah mudah menunding jari kepada sesiapa sahaja atas kesalahan dan kesilapan lampau. Sedangkan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.



~Semua sunnah nabi s.aw. kita sedaya upaya untuk ikut. Dan sebaiknya, kita ikutlah sunnah Nabi s.a.w yang MURAH SIKAP PEMAAF, MAHAL SIKAP MENYIMPAN DENDAM. Nabi s.a.w mengajar umatnya memaafkan kesilapan orang lain itu adalah lebih baik daripada membalas dendam. Kerana "BALAS" itu hanya ADIL pada SATU yakni ALLAH.

~Menyantuni guru adalah satu kebaikan. Mencintai guru adalah kebaikan. Tetapi, awas jika guru melakukan kesilapan, kitalah menegur dengan hikmah. Sebab guru pun bukan malaikat mahupun Nabi. Guru manusia seperti kita, adakalanya lemah dan tidak berdaya. Silap dan alpa. Tipu dan nyata. Jangan terlalu taksub sehingga ditidakkan kebaikan orang lain. Guru yang paling baik adalah guru yang mengajar anak-anak murid kenal Allah, kenal Rasulullah s.a.w. Ajak murid bersikap damai kepada seteru. Mendidik sabar dalam gundah.



~Sebab itu aku kagum dengan seorang Ustaz yang bertugas di Mukah yang diberikan nama Ustaz Atan Sedaka @ Firdaus yang mengajar Awang Daud Martial Arts Academy (ADMAA). Pertemuan dengan ustaz yang mendidik anak-anak kampung tanpa mengharapkan balasan memberikan satu titik perubahan dalam aku mendidik anak-anak silat di Kuching. Ustaz Atan ikhlas dalam mendidik muridnya sehingga, kehadiran Ustaz Atan menjadi kebaikan kepada seluruh isi kampung. Ustaz Atan mengajar anak-anak murid bukan sekadar bersilat, tetapi mentarbiah hati dan menyantuni guru dengan penuh berhikmah. Kagum. Inilah sikap yang ingin aku tanam dalam anak-anak murid aku. Jati diri terhadap agama. Menyantuni guru.

~Sebab itu aku kadang-kadang cemburu dengan Ustaz. Seorang "orang luar", berkelana di Mukah, mampu mendapat tempat di hati ibu bapa. Seorang yang tegas dalam urusan agama, tapi tak pernah lokek dengan senyum. Orang sebegini yang sudah terdidik dengan baik dari gurunya. Kalau Ustaz Atan orang yang baik, sudah semestinya gurunya orang yang lebih baik. Kerana didikan gurunya menjadikan ustaz Atan sangat istemewa di kalangan penduduk Kampung Sungai Alo, Mukah.

~Semoga Allah memberikan kesihatan yang baik untuk sahabat aku yang bernama Ustaz Firdaus @ Atan. Semoga Allah memberikan kecintaan yang sama seperti anak-anak muridnya mencintai Ustaz Atan. Allahu..


~Biarpun berlainan perguruan, sikap yang ditunjukkan Ustaz kadang-kadang buat aku segan. Kita sibuk berbalah menentukan mana yang hak dan batil. Tapi, mengenepikan ukhuwwah yang di dalamnya jalinan ikatan atas nama Islam. Kita bertelegah sehingga buang saudara, kerana beranggapan kita lebih baik. Tetapi, ustaz mendidik anak-anak muridnya mencintai orang berilmu tanpa mengira dari persatuan apa sekali pun. Terbaik ustaz. Mudah-mudahan bertambahlah orang seperti ustaz. Yang mengenepikan ego, demi ukhuwwah persaudaraan. Benar-benar mengagumi sosok tubuh ini.

~Sujud syukur tanda kesyukuran yang tidak terhingga kerana dengan izin Nya, Majlis Perlimau Tapak dan Seni Perdana Peringkat Negeri Sarawak telah berjalan dengan jayanya. Yang hadir sekitar 200 orang perserta, Ahli Jawatankuasa Negeri Sarawak, dan Gurulatih-gurulatih serta ibu bapa perserta yang tidak penat memberikan sokongan kepada anak-anak. Majlis telah dirasmikan oleh Yang Berhormat, Dato' Hj. Idris Bin Hj Buang, Ahli Dewan Undangan Negeri N.16 Muara Tuang. Turut hadir bersama-sama adalah Datuk Adiwijaya, Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia dan isteri, Profesor Mohd Fadzil, Timbalan Naib Canselor UNIMAS dan Tuan Haji Uthman Bin Hj Ramli, Yang Dipertua PSSGM Sarawak.




~Pada majlis tersebut, YB Dato' Hj Idris telah disandangkan sandang kehormat "Mahkota Seri Pelangi" dan yang menariknya, beliau kemudiannya bersetuju diperlimau tapakkan untuk menjadi "anak gayong". Allahuakbar.. Datuk Adiwijaya telah menyempurnakan majlis perlimau ini dengan kehadiran anak-anak peserta yang terdiri daripada Bahagian Kuching, Bahagian Samarahan, Bahagian Serian, Bahagian Sri Aman dan Bahagian Betong. Semoga dengan kesudian YB Dato' Hj Idriss, menambahkan lagi semarak api perjuangan Gayong di Sarawak.

~Kita tidak ramai, tapi kita kuat dalam berukhuwwah. Saling cinta mencintai dalam keimanan. Semoga kita tidak bermusuhan, bila mana nakhoda kapal kita berubah haluan.

Rabu, 11 Oktober 2017

#SENTAP, HIDUP PENUH INTEGRITI

أسلام عليكم 






~ Fuhh.. berdebu kembali blog ini. Tiada tatapan dan coretan. Usang dan seolah-olah tidak dihuni. Memang benar kata orang, duduk di bandar memang sukar untuk memerah otak untuk mengeluarkan isi hati dan buah fikiran lantaran sibuk yang memanjang.

~Memang sukar untuk menjadi penulis andainya semua yang hendak dicoretkan diluahkan dalam bentuk pertuturan yang berlapik. Dalam suasana orang boleh menerima teguran dan nasihat.


~Tetapi kadang-kadang, ada jenis manusia yang sukar menerima pendapat dan juga lambat hadam terhadap teguran dan nasihat dari orang lain. Allah kadang-kadang menegur kita melalui manusia. So, bila kita dah selesa tak ditegur manusia, mulalah merajuk dan meroyan bagi tiada penghujung.

~Hidup kita aman dan damai jika, kita hidup dalam konsep "berbuang, berambik". Ada masa kita, dan adakalanya masa orang lain. Takkanlah kita sahaja nak menang kot. Kadang-kadang, kita perlu bagi orang lain menang.

~Kalau amalkan konsep ini, mungkin kita menjadi kurang marah dan lebih banyak bersabar. Kita perlu share apa yang terbuku di hati tetapi awas!!! jangan sesekali mengharap pada manusia akan mendengar isi hati kita dan menurut kemahuan kita 24 jam. Kelak nanti hati kita sendiri akan terusik dan terluka.

~Pintalah selalu kepada yang Maha Mendengar segala luahan hati kita. Kalau orang tak peduli, tak apalah. Bukan semestinya orang tak peduli terus, kadang-kadang, biarkan orang hadam dahulu. Baru boleh meluahkan segala isi hati.

~Dalam hidup berumahtangga, kita tak semestinya akan sentiasa gelak ketawa. Kadang-kadang, kita juga akan stress dan terluka. Lebih-lebih lagi dengan kenakalan anak-anak. Biarkan, meraka membesar dan akan tinggalkan kita juga. Jangan marah-marahkan anak kerana sikap mereka perlu digilap dan diasuh. Sedang Rasulullah s.a.w menganjurkan untuk nasihat anak dalam masa 3 tahun bermula dari umur 7 tahun ke 10 tahun untuk solat. Lepas umur 10 tahun baru boleh rotan. Itupun rotan di tapak kaki. Fikirlah.

~Bagi aku, anak-anak adalah mutiara di lautan. Mereka putih bersih dan tiada noda. Hendak memperolehnya memang susah kerana perlu ke dasar lautan. So, jangan sesekali menunjukkan emosi amarah kepada anak-anak kerana mereka ini adalah KAPAS yang sedang meresap semua perilaku kita.

~Anak-anak menangis depan pintu minta masuk ke bilik, layanilah.. Kerana satu hari kelak, kalau kita tidak mengendahkannya, ada banyak hati terluka dan tidak senang. Layani anak dengan penuh kasih sayang. Kerana suatu hari nanti, kalau kau tidak endah, dia akan tinggalkan kamu dengan kesunyian.

~Anak-anak adalah keutamaan aku. Aku mahu mereka terdidik dengan baik supaya mereka boleh menjadi aset dan saham akhirat aku. Kalau ada orang jentik, sudah pasti kita marah. Tapi, perhatikan dahulu nasihat orang. Kalau anak bersalah, marah dalam kadaran menasihati. Kalau dia di khianati, tuntulah bela atas kesalahan orang. Dan sebaiknya, maafkan. Kerana Allah tidak jadikan sesuatu itu sebagai sia-sia. 

~Buangkan sikap ingin memiliki. Sebab tiada satu benda di dunia adalah milik kita. Kita hanya meminjam.

~Buang ego, dan buang sikap meminta-minta kepada manusia. Sebaliknya tanam sikap meminta di dalam doa.





~Banyak pekara yang menyebabkan keyboard ini mula terketik. Kerisauan dengan dunia salah satu sebabnya. Adakala, kita tidak bisa meluahkan kata-kata dalam pertuturan. Jadi tulisanlah yang jadi medium yang mudah bagi meluahkan segala-galanya.

~Maka benarlah kata pepatah Melayu, "masuk kandang kambing, mengembek, masuk kandang harimau mengaum". Perhati dan hadam puas-puas. Jangan orang asyik nak mengalah tanpa kita sedari. Kadang-kadang, orang bagi muka pun, kita tak perasan sebab kita dah menetapkan bahawa orang tak suka kita(terus berpandangan tak baik). Fikirlah. Ijazah dan segala-segalanya tidak menjamin kita menjadi manusia yang sempurna. Kadang-kadang, pengalaman jualah jadi pedoman. Sebab itu Nabi s.a.w suruh kumpul bekal melalui amalan baik, bukan ijazah berhelai-helai. Amalan akan bantu menjawap soalan-soalan "rare". Dengar dunia dapat jawap, dengar di barzakh.. siaplah..

~Hiduplah dalam komuniti yang sedia ada. Bukan komuniti yang jauh. Yang depan mata kena hadir dalam hati. Bergaulah dengan manusia. Bukan macam kera sumbang. Sikap mudah terasa tak akan mendapat tempat di dalam komuniti. Telinga perlu kebal. Tapi hati kena kental. Jangan cepat #sentap. Orang bodoh jak cepat sentap dalam hidup. Sentap dengan ujian Allah.. yes.. wajib. Sentap dengan omongan orang, then you are stupid. 

~Akhirul kalam, semoga apa yang kita semua kerjakan dalam kehidupan akan menjadi penolong kita pada masa akan datang. Sentiasalah berbuat baik dan sentiasalah mencari ruang untuk berbakti kepada kedua ibu bapa. Sentaplah bila kita tak mampu nak jaga ibu bapa pada ketika usia tua mereka. Lebih-lebih lagi mereka yang bergelar LELAKI. 


Isnin, 17 Julai 2017

4 tahun sudah lah..

اسلام عليكم 


~Alhamdulillah.. syukur yan tidak terhingga kepada Allah s.w.t di atas segala nikmat yang telah dicurahkan kepada aku dan sekeluarga. Alhamdulillah.. segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam atas segala-galanya yang dikurniakan dari awal kelahiran sehinggalah hembusan nafas terakhir aku kelak.



~17.07.2017. Maka genaplah 4 tahun berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia Kuching. Perkhidmatan yang pada mulanya dieksplisit dari jawatan yang sebenarnya berada di Jabatan tetapi ada "tangan-tangan berkuasa" bertindak demi memenuhi pundak sendiri untuk bala tentera sendiri, dinafikan hak, dibuang berkelana ke dasar yakni sekolah. Hakikatnya, orang lain ambil alih yang pada mulanya digelar "hak" aku atas pertukaran yang sepatutnya. Aku redha jika "tangan-tangan" ini hanya menjanjikan pertukaran ini, tapi mengenepikan hak aku kerana ada "tangan-tangan ajaib" yang merendahkan kemampuan aku. Maka, terasinglah "bahtera berjawatan" menuju ke jawatan broker saham akhirat.

~Broker saham akhirat yang aku maksudkan adalah menjadi guru. Alhamdulillah, setiap satu pekara pasti ada hikmahnya yang tersembunyi. Orang kata, kerja pejabat tugasnya hanya tahu mengarah. tapi, hakikatnya bila terjun ke dasar pendidikan itu sendiri, akan culaslah tugas-tugas yang diberikan. Tak semua berjawatan itu sempurna. Terima hakikat, tak ada orang sempurna. KAdang-kadang bila kita berada di atas, mulanya sombong bagaikan gunung melihat lembah. Tinggi di atas tak berteman. Keseorangan lantaran itu sentiasa memenuhi kehidupan dengan "mencari kesalahan orang".



~Pernah sekali aku berdoa kepada Allah s.w.t sewaktu diambang pertukaran jawatan dari Pejabat Pendidikan Daerah ke Jabatan Pendidikan, "Ya Allah, jika pertukaran ini membebankan aku dan keluarga aku dan menyusahkan aku mengamalkan agamaku, maka alihkan pertukaran ini ke tempat yang lebih baik. Maka, terjadi hal yang menyebabkan perpindahan tak dapat dilakukan kerana..... maka aku ditempatkan di sini.

~Sekarang aku "senang" menjadi guru. Beramah mesra dengan pelajar. Bergaul dengan masyarakat tanpa prejudis. Langkah seiring dengan perubahan zaman. Walaupun bekerja pada dasar pendidikan sekali mana pun,  tetap boleh berdiri nama Muhammad Khawar Hezazy tanpa didukung oleh "perjawatan". 4 tahun sudah berlalu, berkali-kali tawaran yang "bagaikan debu ditiup angin lalu". Tak tahu kenapa, berkali ditawarkan tapi bila kita di landasan berharap..... hilang.. tiada.. ngarap ati.

~Tapi tak apalah, "hidung tak mancung..".





~Tahun yang baik bagi aku. Nombor 4 memberikan pulangan yang baik dan cemerlang. Tahun lepas berjaya meningkat keputusan SPM subjek Sejarah. Walaupun sedikit, tapi berbaloi dengan usaha. Dapat mendirikan rumahtangga yang kedua bersama Siti Aminah. Dikurniakan anak ketiga, Mufeeda Khaira Hanini, dan hujung tahun ini ada lagi yang bakal menyusul the 4th MKH.

~Tak apalah jika rezeki tiada di sana. Cukuplah aku di sini mencurahkan bakti untuk anak bangsa.

~SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KE EMPAT UNTUK DIRIKU...

~SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN PERKAHWINAN KE 44 AYAHANDA HAJI UTHMAN DAN BONDA HAJJAH SAADIAH.

Isnin, 10 Julai 2017

Entah (update 15.07.2017)

أسلام عليكم 

~Semakin malas untuk mencoret kata-kata. Berkira-kira untuk menamatkan blog jika berterusan sebegini. Blog dibiarkan usang tanpa catatan-catatan yang membangkitkan semangat juang. Bukan terlalu selesa dengan kehidupan. Tapi, "sandaran bahu" dan meletakkan pengaduan hanya kepada Allah menjadi tujuan.

~Berkira-kira nak menamatkan profesion yang tercinta. Pentas dakwah yang digunakan untuk memperlihatkan sisi baik diri kita kepada orang. Sedangkan kita tahu, Allah Maha Melihat lagi Maha Mendengar. Asam garam perjuangan adalah rencah dalam kehidupan seorang guru. Cemburu lah sangat kan. Baruk madah ikit alu ngepos nak jaik madah ngan kita. Bagey bagus glak tek nak? Kreatif dan kritis bukan sekadar nak komen negatif ngan orang nak? Orang madah, nang berniat nak berenti. Dah ngato pun selok belok kehidupan lepas berhenti. Nunggu masa u u .. Tapi, selagik x settle hutang dengan kerajaan berkaitan dengan pinjaman perumahan, jangan araplah nak berhenti. Boh sekoh glak bah. Bila orang madah nak berhenti, alu joros-joros ngomen. Diat dirik lok. Lom tentu kita akan sentiasa di atas.

~"CEMBURU" dengan cikgu-cikgu muda yang bersemangat tinggi untuk mendidik anak bangsa(walaupun ngerepak mintak pindah). Kerana aku punyai semangat sebegitu rupa bila mana berada di tempat mereka dahulu. Jauh sudah aku tinggalkan kenangan mengajar di pedalaman yang menggamit sejuta memori yang seringkali menjadi bahan bualan dalam gurau senda bersama isteri-isteri. Kadang-kadang, kerinduan menerpa di dalam hati. Imbauan memori, berputar bagai tiada menunjukkan untuk berhenti. Waktu jadi guru baharu, memang semuanya indah-indah belaka.


~Langkah persekolahan aku bermula di Tadika St. Jude pada tahun 1990. Bermula sebagai anak kecil yang baru mengenal erti persekolahan. Belajar A, B, C 1 2 3.. Kalau bukan kerana cikgu-cikgu tadika aku ini, kemungkinan aku masih lagi merangkak tidak pandai membaca dan menulis catatan di dalam blog ini. Kemudian, masuk Darjah 1 ke Sekolah Rendah Bantuan St. Joseph Kuching. Darjah 1 Kuning sebab dilahirkan pada bulan Oktober. Sistem sekolah ini menetapkan kanak-kanak lahir Januari ke Mac dalam kelas Merah, April hingga Jun ke Biru, Julai ke September ke Hijau dan Oktober hingga Disember ke Kuning.  Sehingga mencecah Darjah 3, masih lagi berada di kelas "Kuning". Akhirnya setelah masuk ke Darjah 4, bermula episod di mana pencapaian pelajar diukur dengan peperiksaan. Maka aku yang sedang-sedang sahaja masuklah ke Darjah 4 Biru sehinggalah tamat Darjah 6. (Hieraki Merah- Biru-Hijau-Kuning).

~Tamat Darjah 6, meneruskan persekolahan di S.M.B St. Joseph Kuching. Dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 berada dalam kelas "B". (Menggunakan sistem A hingga H. A hieraki yang tertinggi).

~Idea....

~Tulisan ini tidak diteruskan sebab dah lupa asal muasal. JAdi..sampai sini sahajalah..


Isnin, 10 April 2017

TSUNAMI UJIAN : MANA MAKAM KESABARAN? (NO 1)



أسلام عليكم 

~Setia dan kasihnya kepada Rasulullah s.a.w. Kerana dengan sunnah dan ajaran baginda menjadikan kita insan yang berguna kepada orang lain. Bimbingan baginda dalam kehidupan memberikan impak yang positif untuk kehidupan di dunia mahupun di akhirat.

~Selawat dan salam ke atas baginda s.a.w.. kepada keluarga baginda dan seluruh para sahabat.

~KAdang-kadang terfikir aku mengenangkan perbuatan dan iktikad manusia yang selalunya goyah bila dilanda tsunami DUNIA. Duit, pangkat, harta dan nama banyak merencat perjalanan kita menuju akhirat. kadang kala pelik terasa. Bila mana kita tidak meletakkan Allah sebagai tujuan kehidupan. Mengapa terjadi sedemikian? Bukan kerana kita merasakan kita "terlebih baik".. sebaliknya.. Allah uji kita dengan ujian untuk melihat di mana takuk keimanan kita. Dan Allah sebenarnya memanggil kita untuk kembali berteleku, meminta, merintih kepada Nya.

~Tsunami kehidupan.. itulah perubahan yang mendadak dalam hidup kita. Diuji dengan pelbagai ujian. Setiap manusia diuji mengikut tingkatan imannya. Allah tahu kemampuan kita, oleh itu Allah uji kita dengan pelbagai ujian. Setiap ujian berlainan dan tidak akan sama. Sebab itu, kadang-kadang kita tidak merasai diuji seperti mana orang lain diuji. Oleh itu, bahagianmu, kuatkan hati dan jadikan iktibar. Jangan sesekali menjadi seekor anjing yang menyalak kepada bayang-bayangnya sendiri.

Kehidupan menongkah sesuatu yang tidak pasti di hadapan. Jadi, tenangkan diri bila di landa "tsunami kehidupan". Sesungguhnya Allah sama sekali tidak meninggalkan kita.
~Aku dan isteri diuji dengan pernikahan. Pernikahan yang biasanya menyatukan 2 insan, tetapi kami diuji dengan ujian perkahwinan yang menyatukan 3 hati. Allah Maha Mengetahui dan ini adalah rahmat kepada kami dan kemungkinan ini adalah ujian bagi orang disekeliling kami. Orang kata itu ujian kepada isteriku.. Dayang Khalizah, tapi sebaliknya ia adalah ujian hati kepada orang di sekeliling kami. Kenapa? Sebab orang tidak berhenti MENGATA DAN MENFITNAH kedudukan dan cara aku dan isteri mengendali "hati dan perasaan".

~Ujian adalah rahmat Allah kepada kami.

~Alhamdulillah.... 04 Mac 2017, aku telah selamat dinikahkan kali keduanya kepada isteri aku, SITI AMINAH BINTI YUSOF, di Dewan Datuk Abdul Hamid, Batang Kali Selangor.

~Ujian kami sekeluarga adalah bagaimana hendak mengharmonikan POLIGAMI dalam erti tuntutan ISLAM. Cabaran? Ya.. memang mencabar. Kerana keluarga bukan ISU BESAR, tapi pendapat ORANG LUAR bagai ALPA bahawa yang sedang diuji adalah aku dan isteri-isteriku.

~Sebulan menongkah alam poligami, ingat dan beransur, rupa-rupanya, masih belom surut tsunami kehidupan. Aku dah berlapang dada terhadap tohmahan yang diberikan kepada aku dan keluarga, namun masih lagi ada suara-suara sumbang yang meniti halwa telinga mengecam dan mencari titik kesalahan. Sudahlah,, aku sudah memaafi kalian. Kerana tak mahu pahala amalan tergantung di antara langit dan bumi lantaran memutuskan silaturahim. Marilah kita mendoakan kebaikan masing-masing. Supaya Allah sayang kita dengan kasih sayang yang sejati.

~Sambungan kedua bakal menyusul. Untuk aku ceritakan proses poligami yang menurut undang-undang keluarga Islam Negeri Sarawak. Bukannya kawen lari ke Selatan Thailand. Sah. Bukan suka-suka kawen.

~Aku dengan ini memaafkan sesiapa sahaja yang pernah mengutuk dan mencaci perkahwinan ini. Dan maaflah, sedangkan isteri aku redha..masakan pulak engkau tidak redha? Isteri aku bersetuju, masakan engkau pulak tidak bersetuju? Siapa yang nak kawen sebenarnya? Aku dan isteri aku dengan dia? Atau ...?

~Teladani peribadi Rasulullah s.a.w. Bukan menjadi hakim kehidupan. 

Isnin, 6 Mac 2017

Hentikan Spekulasi : 04.03.2017


أسلام عليكم 
~Hentikan SPEKULASI!!




~ Terus berlapang dada dalam menerima segala kesulitan yang telah datang dalam hidup kita. Bermohonlah kepada Allah untuk sentiasa berada dalam inayah Nya senantiasa. Berjuang menegakkan syiar Allah memang banyak dugaan dan ketentuan. Terkadang, perjuangan ini umpama menongkah lautan yang bergelombang. Di tengah-tengah laut yang tiada bertepi. Hanya Allah sahajalah tempat kita bergantung harap.

~Melawan arus bukan umpama melawan seluruh manusia. Perhatikan orang-orang yang soleh, adakalanya kehidupan mereka sering di salah erti kerana apa yang diungkap dan dikata melawan norma kehidupan manusia. Hidup yang bersyariat perlu dididik dalam keluarga. Dan perlu meletak kebegantungan 100% hanya kepada Allah bukan manusia. Kerana kita orang yang beriman wajib percaya rukun iman yang ke 6, "beriman kepada qada dan qadar Allah". Oleh itu, bila mana sesuatu pekara yang menimpa diri dan kelaurga, harus segera kita berlapang dada. Dan meletakkan seluruh serahan hanya pada Allah untuk menentukan segala usaha kita.






~Allah Maha Melihat lagi Maha Mendengar. Belajarlah memaafkan kesalahan orang lain. Sentiasa memaafkan dan sentiasa beri peluang. Kerana semua orang bisa melakukan kesalahan. Maafi dan janganlah bermusuhan. Kita hanya manusia biasa dan tidak bisa menjadi yang "mulia" dalam sekelip mata.

~Alhamdulillah.. syukur kepada Allah.. kerana dengan limpah dan karuniaNya, "hari itu" sudah berlalu. Syukur diucapkan kepada Allah dengan seluruh kekuatan dan keyakinan diperoleh dengan cara yang luarbiasa. Sehingga caci tohmah itu umpama doa yang membawa kepada kebaikan kepada perjalanan yang luarbiasa hebat ini. Subhanallah.. moga semuanya akan membawa perjalanan kita ini menuju ke syurga yang tertinggi.

~Role-model. Jadikan "pengalaman" ini sebagai iktibar kepada semua. Bahawa tidak semuanya yang dianggap "hina dan dina" itu adalah sengsara. Semuanya ketentuan Allah jua. jangan menghukum kepada sesebuah yang indah. Kerana kita sendiri tidak tahu di mana penghujung perjalanan hidup kita. Adakah berbahagia di dunia, tetapi menderita di akhirat. Biarlah masa menghakimi kembara kita bertiga.

~Dalam "huru-hara" yang tercipta, macam fatwa yang keluar. Mengapa tak didoakan yang baik sahaja? Mengapa perlu keluar penyataan yang mengecam rumahtangga? Mengapa keluar status "as a counselor"? Bukankah kita sebagai kaunselor perlu menjaga kerahsiaan di antara kita dan pelanggan kita? Fikirlah, jangan jadikan status dan jawatan kita itu elemen terbaik untuk menghentam orang lain. Macamlah kita ini sempurna gila. Boleh menjadikan auta kalau salah guna fakta.

~3 hari dah berlalu. Menasihat umpama 3 kurun. Semua petah berbicara. Sehingga lupa letak Allah sepatutnya di mana. Letak di tangan, sebab itu mudah sangat menghukum orang dengan hukuman dunia. Sebaliknya, letaklah Allah di hati. Kalau tiada kekuatan nanti, mohonlah Allah bantu kuatkan hati dengan iman dan takwa. Supaya tidak mudah menghukum orang dengan sewenang-wenangnya. Ingat, Allah akan tanya kita,, apa yang kita bicarakan sama ada mengumpat atau menfitnah. Lebih-lebih lagi kita mengadu domba.

~ISteri-isteriku,.. bertabahlah dalam menghadapi dunia. Kita hanya melengkapi kehidupan kita dengan izin Allah jua. Tegurlah aku jika aku tersalah. Dan jangan sesekali menghukum sebelum ditanyakan kebenaran. Bantulah aku dalam mendidik kalian. Insya Allah, jalan yang kita pilih ini, pasti mendatangkan kebahagiaan..bukan sahaja di dunia.. yang dikejari kita yakni akhirat... terima kasih kepada kedua-duanya kerana membantu aku dalam perjuanganku mencari maghfirah Allah.



Isnin, 13 Februari 2017

HIKMAH BERDIAM DIRI






 Manusia berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Di dunia akan dibenci oleh manusia lain manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati orang lain akan  menyebabkan kita terseksa kekal abadi di dalam neraka Allah SWT. Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah. Oleh itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.

Hikmah diam
1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
2. Perhiasan tanpa berhias.
3. Kehebatan tanpa kerajaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang.
6. Istirehat bagi kedua malaikat pencatat amal.
7. Menutupi segala aib.

Jumaat, 6 Januari 2017

weLcOme 2017. GooDBye 2016. SenyuM MenUju SyaHiD

أسلام عليكم 

~Tahun 2017 dah menjengah di pintu. 2016 sedang menjauhi dan meninggalkan kita dengan pelbagai kenangan dan pengalaman yang telah berlalu. Pengalaman yang dijadikan bekalan untuk menjalani kehidupan yang lebih baik untuk tahun 2017. Seribu satu kenangan terpahat dan terukir diperdu kasih sayang Allah yang telah menjadikan semuanya dalam aturan.

~Keluh kesah silih berganti. Tahun dah bertukar. Usia kian merangkak senja. Murid darjah 1 pada awal perkhidmatan sebagai guru sudah pun menongkah arus usia, menginjak ke PT3 tahun ini. Ya Allah.. seusai masa berlalu. Menggamit memori diperbatasan waktu. Suka dan duka dalam perkhidmatan keguruan sudahpun menginjak angka #8!




~Orang kata, semakin jauh perjalanan maka luaslah pengalaman. Semakin lama dalam perkhidmatan perguruan, ada jugak benda yang semakin aku tak faham. Kadang-kadang, sistem yang digunakan disetiap sekolah,, sangat mengelirukan. Seumpama bertukarnya Menteri Pendidikan, kebarangkalian untuk sistem berubah sangat tinggi.

~Hal-hal pentadbiran sangat merunsingkan kadang-kadang. Kehendak dan matlamat bercanggah dengan prinsip peribadi kadang-kadang. Pelik Bin Hairan.

~Mulalah nanti bermain dengan sentimen peribadi. Alahai.. kita ini makan gaji. Peribadi duduk tepi. Yang penting matlamat kerajaan untuk menjadikan pendidikan elemen yang terpenting dalam menjadikan negara Malaysia negara maju.

~Ramai jugak rakan-rakan guru yang tidak berjaya dalam permohonan pindah setelah 8 tahun mencurah bakti diperantauan. Bila permohonan tidak berjaya, seolah-olah macam kita putus harapan dan patah semangat. Macam hidup diperkotak-katik. Seolah-olah 8 tahun perkhidmatan kita menjadi sia-sia. Mulalah kita merungut dan mulalah meletakkan kesalahan kepada bahu mereka-mereka di PPD, JPN, KPM. Mulalah mencarut.. "tiada perikemanusiaan, tidak di tempat kami.. bbla..bla..bla"

~Sudah berputus asakah kamu dengan ujian Allah? Ingat.. kita hanya merancang.. Allah jua yang akan menentukan semua ini. Siapa yang menentukan semuanya kalau bukan Allah? Siapa yang hendak kita salahkan? Allah?






~ Rileks.. chill.. Allah adalah pengurus kehidupan kita. Sekuat daya upaya sekalipun usaha kita, kalau bukan kerana kehendak Allah jua, memang tidak akanlah bernilai perjuangan kita. Niat kita mula-mula baik dan ikhlas bertukar menjadi benci dan dendam. Sabar.

~Insya Allah.. ada rezeki nanti. Bermohon dan bermunajat kepada Allah, usaha mengikut saluran yang betul. Kita hanya merancang, tapi semuanya dalam ketentuan Allah. Banyakkan berdoa. Kuatkan hati untuk mencintai Allah dengan sepenuh jiwa dan raga.

~Mengungkap sabar bukannya mudah.. lebih-lebih lagi pada kedudukan yang kita alami. Memang sukar untuk berada pada kedudukan itu bila mana kita sedang menghadapi kesusahan. Buka mata, perhatikan sekeliling. Sebenarnya Allah menguji kita. Kadang-kadang dengan ujian Allah beserta dengan kemudahan yang kadang-kadang kita tidak sedar, kerana terlalu mengikut emosi.

~Biarlah hati ikhlas kerana Allah. Bukan mengejar dunia semata-mata. Jangan lantaran kecewa, semua yang diajar menjadi sirna kepada adik-adik pelajar. Ikhlas bukan dipaksa, ikhlas perlu ditempa.

~Jangan mudah membuat konklusi dan prediksi. Fikir 3 langkah ke hadapan.

~SELAMAT TAHUN BARU MASEHI 2017.

~Gunakan azam ini asbab untuk melakukan perubahan. Lakukan perubahan yang berperingkat. Kerana hidup kita di dunia.. bukan untuk dunia. Tetapi hidup kita di dunia adalah untuk akhirat. Apa guna hidup di dunia ini yang hanya tidak sampai satu jam di akhirat?

~Sekejap je.. perit itu akan habis bila dah berjaya. Yang perit pasti ada kenangan terindah. Yang sukar dibeli dengan wang ringgit.


UJIAN ALLAH ITU PASTI (2)

  Assalamualaikum dan salam Sejahtera; ~Kadang-kadang kita ini merasakan masalah orang, Adalah masalah mereka. Dan paling-paling pun, bolehl...