Cari Blog Ini

Jumaat, 30 Oktober 2026

INI BAHTERA SAYA YANG JUMPA DULU - SATIRA BAHASA SARAWAK

 









“INI BAHTERA SAYA YANG JUMPA DULU!”

Alkisah Sebuah Hikayat Bangsawan di Lembah Gunung

Alkisah, di sebuah negara yang terletak di lembah gunung nan tinggi, tempat emas bertaburan di celah-celah selok, hiduplah sekumpulan anak jelata yang sangat mencintai kesenian.

Di negara ya, ada sebuah kumpulan yang kerjanya bermain bangsawan. Kata orang mensia marek, main wayang orang. Maka kumpulan ya dikenali sebagai Team Main Bangsawan (TMB).

Mula-mula siklah besai mana TMB tok. Tapi makin ari makin berkembang, makin masyhur, makin ramai orang datang belajar. Ada yang belajar bertandak, ada yang belajar berjoget, ada yang pandai membawa watak raja, ada juak yang cukup hebat berlakon menjadi hulubalang.

Ada yang datang, ada yang pergi. Ada yang bertahan, ada yang membawa haluan sendiri. Biasalah, nak nama manusia. Silih berganti ya lumrah kehidupan.

Lamak-kelamaan, pengasas asal TMB pun pergi meninggalkan alam fana. Tinggallah sebuah warisan kesenian yang diteruskan oleh anak-anak jelata.

Pemimpin datang silih berganti. Sampailah suatu ketika, kerusi nombor satu TMB mula menjadi rebutan.

Nah, di sinilah bermulanya cerita kita.

EMPUNOK DAN JONGOS

Dalam ramai-ramai anak jelata, muncul dua orang yang cukup dikenali, Empunok dan Jongos.

Dua-duak tok bukan orang baharu dalam dunia bangsawan. Sama-sama pernah bertandak, sama-sama pernah berjoget dan sama-sama memahami susah senang menjaga warisan kesenian.

Bila umur dah meningkat, sidak mula beralih kepada bidang pengurusan. Bukan lagi sekadar main atas pentas, tetapi menjaga DNA, keaslian dan kesinambungan warisan yang ditinggalkan pengasas terdahulu.

Empunok tok jenis tegas. Mun nya madah A, A lah. Tapi nak nama manusia, ada juak kelemahannya. Ada orang suka, ada orang sik suka. Ada yang memuji di depan, dalam ati nyumpah-nyumpah. Hahaha.

Jongos pula pada mulanya sangat akrab dengan Empunok. Dua-duak saling menghormati. Bila pemilihan kepimpinan dipolah, Empunok dipilih anak-anak jelata sebagai Boss No. 1, manakala Jongos menjadi orang No. 2.

Sidak bekerjasama macam biasa.

Tapi orang marek dah berpesan, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Dalam kumpulan yang makin besai, mulalah ada suara yang nyucok sana, nyucok sitok.

“Eh, kenak Empunok jak?”

“Jongos pun layak juak!”

“Empunok ya tegas sangat!”

Aih, mun orang dah pandai nyucok, kadang-kadang duri yang sik ada pun boleh terasa.

Maka ditakdirkan suatu hari, Empunok dan Jongos bertanding dalam satu lagi pemilihan.

Empunok tok bukan calang-calang orang dalam politik organisasi. Nya pandei menyusun strategi, pandei menjaga pengaruh dan memahami permainan pemilihan.

Orang moden madah, realpolitik.

Hasilnya?

Empunok menang!

Jongos pula kalah teruk. Bukan setakat sik menjadi Boss No. 1, satu jawatan pun sik dapat.

Aduh mak!

Frust nyawa Jongos. Tapi nak molah giney, anak-anak jelata dah memilih.

BILA SAKIT ATI BERTEMU PELUANG

Dalam keadaan Jongos kecewa, datanglah orang-orang yang selama tok kurang senang dengan cara Empunok memimpin.

Ada yang memberi nasihat, ada yang memberi semangat, ada juak yang membawa bermacam-macam cerita.

Lalu Jongos mula mencari jalan lain untuk mendapatkan kerusi nombor satu.

Maklumlah, TMB tok bukan kumpulan calang-calang.

Loaded ooo!

Banyak benda nak dijaga, banyak juak yang boleh direbut. Hahaha.

Maka dalam pencarian ya, Jongos menemui satu jeraya highway yang kononnya boleh membawa dirinya ke puncak kepimpinan.

Dalam hikayat tok, jalan ya membawa kita ke sebuah tempat bernama Lembah Cinta Gersang.

Di sinilah muncul seorang watak bernama Jaharu.

Jaharu tok orang dalam TMB sendiri.

Dalam percaturan cerita kita, Jongos dan Jaharu mula berpakat. Jaharu dijanjikan bulan dan bintang. Bukan semata-mata reta atau jawatan, tetapi cerita perpaduan, perluasan nuansa bahasa asing dan bermacam-macam lagi yang kedengaran indah.

Wah, hebat sungguh bunyinya!

Sapa sik maok, mun janji dah sampai bulan bintang?

Maka, tanpa pengetahuan Empunok, dokumen-dokumen penting TMB pun diserahkan oleh Jaharu kepada Jongos.

Nah, di sinilah timbul satu persoalan.

Mun niat kita nak membaiki sesuatu, adakah semua cara yang kita gunakan untuk mencapainya boleh dianggap betul?

Kita sambung cerita.

ALAMAT BERUBAH, BOSS PUN BERUBAH!

Asalnya TMB berdaftar di Ujong Jalan, Tanah Mas.

Sekian lama ya alamat yang dikenali anak-anak jelata.

Tapi pada suatu hari, tiba-tiba rekod pendaftaran TMB menunjukkan alamat baharu di Jalan Buntu.

Aik?

Cuba ktk orang bayangkan.

Ktk tinggal di rumah A. Ktk pergi renew lesen, tiba-tiba lesen ktk keluar dengan alamat rumah B.

Padahal ktk sik pernah pindah rumah.

Seram nak oh?

Tapi yang lebih menghairankan dalam hikayat tok, bukan alamat jak berubah.

BOSS NO. 1 PUN BERUBAH!

Aihhh!

Pemilihan ya bukan dipolah bertapok. Semua orang tauk, semua orang nangga, semua orang dah nenga keputusan pemilihan. Empunok menang dan diberi mandat untuk penggal kepimpinan yang ditetapkan.

Tiba-tiba dalam satu malam, Jongos menjadi Boss No. 1 dalam rekod baharu TMB.

Yeahoooo!

Pandei-pandei Empunok bermain politik, kalah juak dengan strategi akal kancil Jongos.

Tapi sat gik.

Mun orang dah memilih ketua, siapa pula yang berhak mengubah keputusan ya? Bila pemilihan baharu dipolah? Apa prosedurnya? Siapa yang memberi persetujuan?

Dalam hikayat kita, kedudukan baharu Jongos dikatakan mendapat pengiktirafan mengikut peraturan.

Tetapi persoalan tentang cara memperoleh dokumen dan pertukaran kepimpinan ya masih menjadi tanda tanya.

Sebab sesuatu yang kelihatan teratur di atas kertas belum tentu menjawab semua persoalan tentang amanah dan etika.

Kedak Robin Hood juak ceritanya. Kononnya mengambil sesuatu untuk menghasilkan kebaikan yang lebih besar.

Tapi mun kita merasa diri lebih bagus daripada orang lain, adakah ya memberikan hak untuk kita mengambil amanah orang?

Ktk orang fikir lok.

HELLO, ENCIK EMPUNOK!

Yang menariknya, Empunok dengan geng-gengnya sik tauk menauk tentang perubahan ya.

Sidak masih menjalankan tanggungjawab seperti biasa.

Sampeilah suatu hari, pihak Pewarisan Reta menelefon Empunok.

“Hello, Encik Empunok. Mena ka ktk orang dah tukar Boss?”

Empunok pun hairan.

“Mun dah tukar, ada surat rasmi sik?”

Nahhhh!

Yeahoooo!

Di situlah bermulanya episod yang sik nyaman didengar tinga.

Proses ngecek siapa yang terlibat pun bermula. Sorang nuduh sorang, sorang menafikan, sorang gik mempertahankan diri.

Tengkar bertengkar.

Rupanya, dalam jalan cerita tok, bukan Jaharu seorang yang dikaitkan dengan percaturan ya. Ada juak orang No. 3 dalam TMB yang dikatakan memainkan peranan di belakang tirai.

Fuhhh!

Sekongkol dua tongkol jagung manis!

Tapi ingat, bukan semua orang dalam TMB berpaling daripada Empunok.

Masih ramai yang menyokongnya, walaupun ada juak yang dalam ati nyumpah-nyumpah perangai nya.

Biasa bah. Nak nama pemimpin, sik semua orang suka.

Ustaz gik sik terlepas daripada fitnah, dedek agik Empunok yang cuma manusia biasa.

Cuma persoalannya, mun kita sik suka seseorang pemimpin, adakah ya alasan untuk kita mengenepikan mandat yang sudah diberikan kepadanya?

SATU WARISAN, DUA PENTAS

Malaslah kita nak manjang sangat cerita bulak dan sengketa tok.

Ujong-ujongnya, Jongos terus menerajui TMB asal.

Empunok pula mengambil keputusan molah satu kumpulan baharu.

Nama pun sik jauh beza. TMB ditambah sigek huruf B, maka lahirlah TMBB.

B ya bermaksud Baru.

Hahaha!

Maka bermulalah dua kumpulan bangsawan yang membawa haluan masing-masing.

TMB di bawah Jongos.

TMBB di bawah Empunok.

Orang TMBB tok pula, menurut hikayat kita, jenis sik berapa agresif. Sik suka sangat berlawan kata-kata. Sidak lebih suka gohet jak, meneruskan kegiatan kesenian dan menjaga apa yang diwarisi.

Tapi yang peliknya, ada suara daripada TMB yang madah TMBB tok memecahbelahkan dunia Main Bangsawan.

“Eh, kau team TMBB! Sidak ya memandei-mandei jak!”

Aih!

Sapa sebenarnya yang memandei-mandei dalam cerita tok?

Tandak masih sama.

Joget sik berubah.

Cerita masih bersambung daripada pengasas yang sama.

Yang berubah cuma nama kumpulan, tempat bertapak dan orang yang mengurusnya.

Ada juak yang melabel geng TMBB sebagai BBNU, budak-budak baru nak up.

Hahaha! Mun BSN, rindok juak nenga lagu tek.

Tapi apabila ada pihak cuba menjelaskan sejarah dan sebab sesuatu berlaku, ada juak yang terus berpegang pada cerita masing-masing.

Masing-masing mengaku berpaksikan kebenaran.

Bah, benarkah?

Sebab orang yang paling kuat melaungkan kebenaran belum tentu orang yang paling tekun memeriksa bukti.

Dan orang yang sik banyak bercakap belum tentu sik mempunyai cerita.

Dari cerita sakit ati, jadi cerita berebut kerusi.

Dari berebut kerusi, jadi cerita khianat.

Dari cerita khianat, akhirnya menjadi cerita pecah belah.

Aih, manusia...

Kadang-kadang bukan seni yang berubah, tetapi ati manusia yang dah sik sehaluan.

“INI BAHTERA SAYA YANG JUMPA DULU!”

Nak dijadikan cerita, pada suatu hari Empunok dan Jongos bertemu di hadapan Jaksa Awam.

Bertekaklah sidak berdua tentang segala yang telah berlaku.

Dalam pertemuan ya, keluarlah satu ungkapan daripada Jongos yang cukup menarik untuk kita renungkan.

“INI BAHTERA SAYA YANG JUMPA DULU!”

Wahhhh!

Hebat bunyinya!

Maka saya nak bertanya kepada ktk orang semua.

Apa sebenarnya yang hendak ditunjukkan melalui ungkapan ya?

A. Jongos hebat.

B. Empunok khilaf.

C. Jongos The Magnificent.

D. Empunok The Forgiver.

Hahahaha!

Sik payahlah jawab dolok.

Cuba kita fikir.

Mun seseorang menjumpai sebuah bahtera terlebih dahulu, adakah bahtera ya terus menjadi miliknya selama-lamanya?

Bagaimana dengan orang yang membinanya?

Bagaimana dengan orang yang menampal papan yang bocor, mengganti layar yang koyak dan mendayung ketika ribut melanda?

Bagaimana dengan anak-anak jelata yang selama tok sama-sama mempertahankan bahtera ya daripada karam?

Dan paling penting, bagaimana dengan pengasas asal yang telah lama meninggalkan dunia, tetapi warisannya masih hidup hingga hari tok?

Menjumpai bahtera bukan bermakna kita memiliki segala hak ke atasnya.

Kadang-kadang kita terlalu sibuk mengingat siapa yang datang dahulu, sampai terlupa siapa yang sama-sama berkorban memastikan bahtera ya terus belayar.

Orang marek madah, bagai kacang lupakan kulit.

Tapi ada juak pepatah lain, menang jadi arang, kalah jadi abu.

Dalam perebutan ya, siapa sebenarnya yang menanggung akibat?

Empunok?

Jongos?

Jaharu?

Atau anak-anak jelata yang cuma mahu melihat seni bangsawan terus berkembang?

BAHTERA, AMANAH DAN SEBERAT ZARAH

Wahai ktk orang semua.

Kisah tok cuma sebuah drama satira. Watak, tempat dan jalan ceritanya dibentuk sebagai perlambangan untuk kita mengambil pedoman. Sik ada kaitan yang dimaksudkan dengan mana-mana individu atau pertubuhan sebenar.

Kita bukan nak membuka aib sesiapa, bukan nak mengangkat Empunok sebagai manusia sempurna dan bukan juak nak menghukum Jongos sebagai manusia paling buruk.

Empunok ada kelemahannya.

Jongos ada kebijaksanaannya.

Jaharu ada pilihannya.

Masing-masing ada tindakan yang perlu dipertanggungjawabkan.

Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Kita boleh bercita-cita nak menjadi pemimpin. Kita boleh berbeza pandangan. Kita boleh sik setuju dengan cara seseorang mengurus organisasi.

Tapi jangan sampai kerana nak mencapai sesuatu kedudukan, kita sanggup mengorbankan amanah dan persahabatan.

Jangan makan kawan bah!

Lebih menyedihkan apabila tindakan yang pada mulanya dipertahankan atas nama kebaikan akhirnya membuka ruang kepada perebutan yang sik sudah-sudah.

Hari tok seorang menggunakan jalan tertentu untuk mendapatkan kerusi. Esok lusa, mungkin orang lain menggunakan jalan yang sama terhadap dirinya.

Mun jalan ya dianggap biasa, di mana penghujungnya?

Ketamakan sik akan berakhir selagi manusia menganggap kuasa sebagai hak milik, bukannya amanah.

Dan dalam kita sibuk mempertahankan diri, jangan terlupa satu perkara.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُۥ

وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُۥ

Maksudnya:

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya.”

(Surah al-Zalzalah, 99:7–8)

Nah, tok yang kita patut takut.

Dalam dunia, kita mungkin boleh menang dengan strategi. Kita mungkin boleh mendapat kerusi, memperoleh pengiktirafan dan meyakinkan orang ramai bahawa tindakan kita betul.

Tapi di hadapan Allah SWT, bukan kemenangan semata-mata yang dihitung.

Niat kita, cara kita, amanah kita, kejujuran kita dan tindakan kita terhadap manusia lain, semuanya ada perhitungan.

Walau sebesar zarah.

Sik ada yang tertinggal.

Maka, sebelum kita terlalu bangga melaungkan bahawa kitalah orang yang menjumpai bahtera dahulu, tanyalah diri sendiri.

Adakah kita benar-benar sedang menyelamatkan bahtera, atau tanpa sedar sedang melubangkan lantainya?

Sebab bila bahtera karam, sik ada gunanya kita bermegah bahawa kitalah orang pertama yang menjumpainya.

Jangan ambik hak orang. Kelak kapal kita karam.

Dan kepada semua yang masih berada dalam mana-mana bahtera, janganlah kerana berlainan nakhoda, kita lupa bahawa laut yang dilayari tetap sama, warisan yang dijaga tetap sama dan destinasi yang ingin dituju juga sepatutnya membawa kebaikan.

Akhir kalam, ingatlah:

Bahtera boleh bertukar nakhoda. Pentas boleh bertukar nama. Tetapi amanah, sejarah dan perhitungan di sisi Allah SWT sik akan berubah hanya kerana manusia pandai menyusun cerita.

Sekian, hikayat dari lembah gunung yang tinggi, tempat emas bertaburan di celah-celah selok.

Mun ada yang terasa, ambiklah pengajaran. Mun sik ada kena-mengena, sama-samalah kita ketawa dan belajar.

Kerana tujuan cerita tok bukan untuk mencari siapa yang terpaling benar.

Cukuplah supaya kita sik mengulangi kesilapan yang sama.

JANGAN MAKAN KAWAN BAH.

Wallahualam.

Sekadar satira dan renungan tentang ragam manusia. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

INI BAHTERA SAYA YANG JUMPA DULU - SATIRA BAHASA SARAWAK

  “INI BAHTERA SAYA YANG JUMPA DULU!” Alkisah Sebuah Hikayat Bangsawan di Lembah Gunung Alkisah, di sebuah negara yang terletak di lembah gu...