Cari Blog Ini

Jumaat, 30 Oktober 2026

INI BAHTERA SAYA YANG JUMPA DULU - SATIRA BAHASA SARAWAK

 









“INI BAHTERA SAYA YANG JUMPA DULU!”

Alkisah Sebuah Hikayat Bangsawan di Lembah Gunung

Alkisah, di sebuah negara yang terletak di lembah gunung nan tinggi, tempat emas bertaburan di celah-celah selok, hiduplah sekumpulan anak jelata yang sangat mencintai kesenian.

Di negara ya, ada sebuah kumpulan yang kerjanya bermain bangsawan. Kata orang mensia marek, main wayang orang. Maka kumpulan ya dikenali sebagai Team Main Bangsawan (TMB).

Mula-mula siklah besai mana TMB tok. Tapi makin ari makin berkembang, makin masyhur, makin ramai orang datang belajar. Ada yang belajar bertandak, ada yang belajar berjoget, ada yang pandai membawa watak raja, ada juak yang cukup hebat berlakon menjadi hulubalang.

Ada yang datang, ada yang pergi. Ada yang bertahan, ada yang membawa haluan sendiri. Biasalah, nak nama manusia. Silih berganti ya lumrah kehidupan.

Lamak-kelamaan, pengasas asal TMB pun pergi meninggalkan alam fana. Tinggallah sebuah warisan kesenian yang diteruskan oleh anak-anak jelata.

Pemimpin datang silih berganti. Sampailah suatu ketika, kerusi nombor satu TMB mula menjadi rebutan.

Nah, di sinilah bermulanya cerita kita.

EMPUNOK DAN JONGOS

Dalam ramai-ramai anak jelata, muncul dua orang yang cukup dikenali, Empunok dan Jongos.

Dua-duak tok bukan orang baharu dalam dunia bangsawan. Sama-sama pernah bertandak, sama-sama pernah berjoget dan sama-sama memahami susah senang menjaga warisan kesenian.

Bila umur dah meningkat, sidak mula beralih kepada bidang pengurusan. Bukan lagi sekadar main atas pentas, tetapi menjaga DNA, keaslian dan kesinambungan warisan yang ditinggalkan pengasas terdahulu.

Empunok tok jenis tegas. Mun nya madah A, A lah. Tapi nak nama manusia, ada juak kelemahannya. Ada orang suka, ada orang sik suka. Ada yang memuji di depan, dalam ati nyumpah-nyumpah. Hahaha.

Jongos pula pada mulanya sangat akrab dengan Empunok. Dua-duak saling menghormati. Bila pemilihan kepimpinan dipolah, Empunok dipilih anak-anak jelata sebagai Boss No. 1, manakala Jongos menjadi orang No. 2.

Sidak bekerjasama macam biasa.

Tapi orang marek dah berpesan, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Dalam kumpulan yang makin besai, mulalah ada suara yang nyucok sana, nyucok sitok.

“Eh, kenak Empunok jak?”

“Jongos pun layak juak!”

“Empunok ya tegas sangat!”

Aih, mun orang dah pandai nyucok, kadang-kadang duri yang sik ada pun boleh terasa.

Maka ditakdirkan suatu hari, Empunok dan Jongos bertanding dalam satu lagi pemilihan.

Empunok tok bukan calang-calang orang dalam politik organisasi. Nya pandei menyusun strategi, pandei menjaga pengaruh dan memahami permainan pemilihan.

Orang moden madah, realpolitik.

Hasilnya?

Empunok menang!

Jongos pula kalah teruk. Bukan setakat sik menjadi Boss No. 1, satu jawatan pun sik dapat.

Aduh mak!

Frust nyawa Jongos. Tapi nak molah giney, anak-anak jelata dah memilih.

BILA SAKIT ATI BERTEMU PELUANG

Dalam keadaan Jongos kecewa, datanglah orang-orang yang selama tok kurang senang dengan cara Empunok memimpin.

Ada yang memberi nasihat, ada yang memberi semangat, ada juak yang membawa bermacam-macam cerita.

Lalu Jongos mula mencari jalan lain untuk mendapatkan kerusi nombor satu.

Maklumlah, TMB tok bukan kumpulan calang-calang.

Loaded ooo!

Banyak benda nak dijaga, banyak juak yang boleh direbut. Hahaha.

Maka dalam pencarian ya, Jongos menemui satu jeraya highway yang kononnya boleh membawa dirinya ke puncak kepimpinan.

Dalam hikayat tok, jalan ya membawa kita ke sebuah tempat bernama Lembah Cinta Gersang.

Di sinilah muncul seorang watak bernama Jaharu.

Jaharu tok orang dalam TMB sendiri.

Dalam percaturan cerita kita, Jongos dan Jaharu mula berpakat. Jaharu dijanjikan bulan dan bintang. Bukan semata-mata reta atau jawatan, tetapi cerita perpaduan, perluasan nuansa bahasa asing dan bermacam-macam lagi yang kedengaran indah.

Wah, hebat sungguh bunyinya!

Sapa sik maok, mun janji dah sampai bulan bintang?

Maka, tanpa pengetahuan Empunok, dokumen-dokumen penting TMB pun diserahkan oleh Jaharu kepada Jongos.

Nah, di sinilah timbul satu persoalan.

Mun niat kita nak membaiki sesuatu, adakah semua cara yang kita gunakan untuk mencapainya boleh dianggap betul?

Kita sambung cerita.

ALAMAT BERUBAH, BOSS PUN BERUBAH!

Asalnya TMB berdaftar di Ujong Jalan, Tanah Mas.

Sekian lama ya alamat yang dikenali anak-anak jelata.

Tapi pada suatu hari, tiba-tiba rekod pendaftaran TMB menunjukkan alamat baharu di Jalan Buntu.

Aik?

Cuba ktk orang bayangkan.

Ktk tinggal di rumah A. Ktk pergi renew lesen, tiba-tiba lesen ktk keluar dengan alamat rumah B.

Padahal ktk sik pernah pindah rumah.

Seram nak oh?

Tapi yang lebih menghairankan dalam hikayat tok, bukan alamat jak berubah.

BOSS NO. 1 PUN BERUBAH!

Aihhh!

Pemilihan ya bukan dipolah bertapok. Semua orang tauk, semua orang nangga, semua orang dah nenga keputusan pemilihan. Empunok menang dan diberi mandat untuk penggal kepimpinan yang ditetapkan.

Tiba-tiba dalam satu malam, Jongos menjadi Boss No. 1 dalam rekod baharu TMB.

Yeahoooo!

Pandei-pandei Empunok bermain politik, kalah juak dengan strategi akal kancil Jongos.

Tapi sat gik.

Mun orang dah memilih ketua, siapa pula yang berhak mengubah keputusan ya? Bila pemilihan baharu dipolah? Apa prosedurnya? Siapa yang memberi persetujuan?

Dalam hikayat kita, kedudukan baharu Jongos dikatakan mendapat pengiktirafan mengikut peraturan.

Tetapi persoalan tentang cara memperoleh dokumen dan pertukaran kepimpinan ya masih menjadi tanda tanya.

Sebab sesuatu yang kelihatan teratur di atas kertas belum tentu menjawab semua persoalan tentang amanah dan etika.

Kedak Robin Hood juak ceritanya. Kononnya mengambil sesuatu untuk menghasilkan kebaikan yang lebih besar.

Tapi mun kita merasa diri lebih bagus daripada orang lain, adakah ya memberikan hak untuk kita mengambil amanah orang?

Ktk orang fikir lok.

HELLO, ENCIK EMPUNOK!

Yang menariknya, Empunok dengan geng-gengnya sik tauk menauk tentang perubahan ya.

Sidak masih menjalankan tanggungjawab seperti biasa.

Sampeilah suatu hari, pihak Pewarisan Reta menelefon Empunok.

“Hello, Encik Empunok. Mena ka ktk orang dah tukar Boss?”

Empunok pun hairan.

“Mun dah tukar, ada surat rasmi sik?”

Nahhhh!

Yeahoooo!

Di situlah bermulanya episod yang sik nyaman didengar tinga.

Proses ngecek siapa yang terlibat pun bermula. Sorang nuduh sorang, sorang menafikan, sorang gik mempertahankan diri.

Tengkar bertengkar.

Rupanya, dalam jalan cerita tok, bukan Jaharu seorang yang dikaitkan dengan percaturan ya. Ada juak orang No. 3 dalam TMB yang dikatakan memainkan peranan di belakang tirai.

Fuhhh!

Sekongkol dua tongkol jagung manis!

Tapi ingat, bukan semua orang dalam TMB berpaling daripada Empunok.

Masih ramai yang menyokongnya, walaupun ada juak yang dalam ati nyumpah-nyumpah perangai nya.

Biasa bah. Nak nama pemimpin, sik semua orang suka.

Ustaz gik sik terlepas daripada fitnah, dedek agik Empunok yang cuma manusia biasa.

Cuma persoalannya, mun kita sik suka seseorang pemimpin, adakah ya alasan untuk kita mengenepikan mandat yang sudah diberikan kepadanya?

SATU WARISAN, DUA PENTAS

Malaslah kita nak manjang sangat cerita bulak dan sengketa tok.

Ujong-ujongnya, Jongos terus menerajui TMB asal.

Empunok pula mengambil keputusan molah satu kumpulan baharu.

Nama pun sik jauh beza. TMB ditambah sigek huruf B, maka lahirlah TMBB.

B ya bermaksud Baru.

Hahaha!

Maka bermulalah dua kumpulan bangsawan yang membawa haluan masing-masing.

TMB di bawah Jongos.

TMBB di bawah Empunok.

Orang TMBB tok pula, menurut hikayat kita, jenis sik berapa agresif. Sik suka sangat berlawan kata-kata. Sidak lebih suka gohet jak, meneruskan kegiatan kesenian dan menjaga apa yang diwarisi.

Tapi yang peliknya, ada suara daripada TMB yang madah TMBB tok memecahbelahkan dunia Main Bangsawan.

“Eh, kau team TMBB! Sidak ya memandei-mandei jak!”

Aih!

Sapa sebenarnya yang memandei-mandei dalam cerita tok?

Tandak masih sama.

Joget sik berubah.

Cerita masih bersambung daripada pengasas yang sama.

Yang berubah cuma nama kumpulan, tempat bertapak dan orang yang mengurusnya.

Ada juak yang melabel geng TMBB sebagai BBNU, budak-budak baru nak up.

Hahaha! Mun BSN, rindok juak nenga lagu tek.

Tapi apabila ada pihak cuba menjelaskan sejarah dan sebab sesuatu berlaku, ada juak yang terus berpegang pada cerita masing-masing.

Masing-masing mengaku berpaksikan kebenaran.

Bah, benarkah?

Sebab orang yang paling kuat melaungkan kebenaran belum tentu orang yang paling tekun memeriksa bukti.

Dan orang yang sik banyak bercakap belum tentu sik mempunyai cerita.

Dari cerita sakit ati, jadi cerita berebut kerusi.

Dari berebut kerusi, jadi cerita khianat.

Dari cerita khianat, akhirnya menjadi cerita pecah belah.

Aih, manusia...

Kadang-kadang bukan seni yang berubah, tetapi ati manusia yang dah sik sehaluan.

“INI BAHTERA SAYA YANG JUMPA DULU!”

Nak dijadikan cerita, pada suatu hari Empunok dan Jongos bertemu di hadapan Jaksa Awam.

Bertekaklah sidak berdua tentang segala yang telah berlaku.

Dalam pertemuan ya, keluarlah satu ungkapan daripada Jongos yang cukup menarik untuk kita renungkan.

“INI BAHTERA SAYA YANG JUMPA DULU!”

Wahhhh!

Hebat bunyinya!

Maka saya nak bertanya kepada ktk orang semua.

Apa sebenarnya yang hendak ditunjukkan melalui ungkapan ya?

A. Jongos hebat.

B. Empunok khilaf.

C. Jongos The Magnificent.

D. Empunok The Forgiver.

Hahahaha!

Sik payahlah jawab dolok.

Cuba kita fikir.

Mun seseorang menjumpai sebuah bahtera terlebih dahulu, adakah bahtera ya terus menjadi miliknya selama-lamanya?

Bagaimana dengan orang yang membinanya?

Bagaimana dengan orang yang menampal papan yang bocor, mengganti layar yang koyak dan mendayung ketika ribut melanda?

Bagaimana dengan anak-anak jelata yang selama tok sama-sama mempertahankan bahtera ya daripada karam?

Dan paling penting, bagaimana dengan pengasas asal yang telah lama meninggalkan dunia, tetapi warisannya masih hidup hingga hari tok?

Menjumpai bahtera bukan bermakna kita memiliki segala hak ke atasnya.

Kadang-kadang kita terlalu sibuk mengingat siapa yang datang dahulu, sampai terlupa siapa yang sama-sama berkorban memastikan bahtera ya terus belayar.

Orang marek madah, bagai kacang lupakan kulit.

Tapi ada juak pepatah lain, menang jadi arang, kalah jadi abu.

Dalam perebutan ya, siapa sebenarnya yang menanggung akibat?

Empunok?

Jongos?

Jaharu?

Atau anak-anak jelata yang cuma mahu melihat seni bangsawan terus berkembang?

BAHTERA, AMANAH DAN SEBERAT ZARAH

Wahai ktk orang semua.

Kisah tok cuma sebuah drama satira. Watak, tempat dan jalan ceritanya dibentuk sebagai perlambangan untuk kita mengambil pedoman. Sik ada kaitan yang dimaksudkan dengan mana-mana individu atau pertubuhan sebenar.

Kita bukan nak membuka aib sesiapa, bukan nak mengangkat Empunok sebagai manusia sempurna dan bukan juak nak menghukum Jongos sebagai manusia paling buruk.

Empunok ada kelemahannya.

Jongos ada kebijaksanaannya.

Jaharu ada pilihannya.

Masing-masing ada tindakan yang perlu dipertanggungjawabkan.

Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Kita boleh bercita-cita nak menjadi pemimpin. Kita boleh berbeza pandangan. Kita boleh sik setuju dengan cara seseorang mengurus organisasi.

Tapi jangan sampai kerana nak mencapai sesuatu kedudukan, kita sanggup mengorbankan amanah dan persahabatan.

Jangan makan kawan bah!

Lebih menyedihkan apabila tindakan yang pada mulanya dipertahankan atas nama kebaikan akhirnya membuka ruang kepada perebutan yang sik sudah-sudah.

Hari tok seorang menggunakan jalan tertentu untuk mendapatkan kerusi. Esok lusa, mungkin orang lain menggunakan jalan yang sama terhadap dirinya.

Mun jalan ya dianggap biasa, di mana penghujungnya?

Ketamakan sik akan berakhir selagi manusia menganggap kuasa sebagai hak milik, bukannya amanah.

Dan dalam kita sibuk mempertahankan diri, jangan terlupa satu perkara.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُۥ

وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُۥ

Maksudnya:

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya.”

(Surah al-Zalzalah, 99:7–8)

Nah, tok yang kita patut takut.

Dalam dunia, kita mungkin boleh menang dengan strategi. Kita mungkin boleh mendapat kerusi, memperoleh pengiktirafan dan meyakinkan orang ramai bahawa tindakan kita betul.

Tapi di hadapan Allah SWT, bukan kemenangan semata-mata yang dihitung.

Niat kita, cara kita, amanah kita, kejujuran kita dan tindakan kita terhadap manusia lain, semuanya ada perhitungan.

Walau sebesar zarah.

Sik ada yang tertinggal.

Maka, sebelum kita terlalu bangga melaungkan bahawa kitalah orang yang menjumpai bahtera dahulu, tanyalah diri sendiri.

Adakah kita benar-benar sedang menyelamatkan bahtera, atau tanpa sedar sedang melubangkan lantainya?

Sebab bila bahtera karam, sik ada gunanya kita bermegah bahawa kitalah orang pertama yang menjumpainya.

Jangan ambik hak orang. Kelak kapal kita karam.

Dan kepada semua yang masih berada dalam mana-mana bahtera, janganlah kerana berlainan nakhoda, kita lupa bahawa laut yang dilayari tetap sama, warisan yang dijaga tetap sama dan destinasi yang ingin dituju juga sepatutnya membawa kebaikan.

Akhir kalam, ingatlah:

Bahtera boleh bertukar nakhoda. Pentas boleh bertukar nama. Tetapi amanah, sejarah dan perhitungan di sisi Allah SWT sik akan berubah hanya kerana manusia pandai menyusun cerita.

Sekian, hikayat dari lembah gunung yang tinggi, tempat emas bertaburan di celah-celah selok.

Mun ada yang terasa, ambiklah pengajaran. Mun sik ada kena-mengena, sama-samalah kita ketawa dan belajar.

Kerana tujuan cerita tok bukan untuk mencari siapa yang terpaling benar.

Cukuplah supaya kita sik mengulangi kesilapan yang sama.

JANGAN MAKAN KAWAN BAH.

Wallahualam.

Sekadar satira dan renungan tentang ragam manusia. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Jumaat, 6 Februari 2026

KEMATIAN ITU PASTI!! [2025] - AKU MENULIS LAGI PADA 2026

  أسلام عليكم


Assalamualaikum dan salam sejahtera..




~Secara tepatnya, kali terakhir aku berjaya mencoret di sini adalah pada 22 November 2023. Hari ini, 6 Februari 2026, setelah mencecah hari ke-803, barulah coretan ini terbit semula — memecah sunyi aturan skrin kalian. Terlalu panjang masa yang aku ambil untuk kembali menulis. Seolah-olah aku sedang cuba menghidupkan kembali suara yang pernah tenggelam dalam ruang wardah yang sunyi, yang pernah terasa tidak berpenghuni.

~Secara jujurnya, coretan terakhir sebelum ini hanyalah bingkisan ketidaksediaan aku menghadapi hari-hari tanpa hadirnya seorang ibu. Perasaan itu meruntun jiwa. Menekan emosi dalam diam yang panjang. Aku mencari kekuatan dari setiap sudut untuk menulis — untuk kekal logik, untuk kekal redha, untuk sentiasa mencari jalan agar kembali mencoretkan kata-kata di sini. 803 hari bukan satu masa yang sekejap. Mak telah pergi selamanya pada 26 November 2023 — satu pengakhiran yang penuh kesyahduan. Mak pergi tepat pada hari konvokesyen aku dan isteri di UKM.

~26 November 2023 akan sentiasa hidup dalam ingatan aku. Bukan sekadar sebagai detik kehilangan seorang ibu, tetapi sebagai titik pertemuan antara kegembiraan, pengorbanan, takdir dan makna redha yang sebenar.

~Pada pagi hari tersebut, aku dan isteri berada di Majlis Konvokesyen Ijazah Sarjana Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Sepatutnya hari ini adalah hari bahagia aku — kerana aku berjaya menamatkan Ijazah Sarjana Pendidikan Sejarah dari UKM. Dan itu adalah Ijazah Sarjana ketiga aku. Di satu sudut kehidupan, aku sedang meraikan pencapaian akademik yang menjadi impian sejak sekian lama. Namun pada sudut yang lain, mak aku sedang bertarung dengan kesakitan yang telah berlanjutan hampir enam minggu. Mak telah didiagnosis dengan Kanser Pankreas pada akhir September 2023. Sepanjang tempoh itu, aku dan isteri bersengkang mata siang dan malam, menjaga mak dengan sepenuh kudrat dan kasih sayang yang kami mampu berikan.

~Aku bersyukur kerana Allah masih memberi ruang waktu yang indah sebelum pemergian mak. Aku sempat menyambut hari jadi mak pada 21 September 2023. Aku juga sempat menyambut hari jadi aku sendiri pada 24 Oktober. Lebih bermakna, mak sempat memeluk anak ketujuh aku, Muneera Khayla Hannani, pada 10 November 2023 — hanya 16 hari sebelum mak dijemput Ilahi. Seolah-olah Allah memberi peluang terakhir untuk mak menyentuh generasi yang akan datang daripada zuriatnya.

~Hari sebelum aku bertolak ke Kuala Lumpur, 25 November 2023, mak mengizinkan aku dan isteri pergi. Namun dalam pelukan erat kepada isteri aku, mak sempat berkata,
“Siapalah nak jaga mak?”

~Ayat itu… masih hidup dalam kepala aku hingga hari ini.

~Perancangan kami hanya untuk pergi sehari.
25 November pergi.
26 November balik.
Kerana tanggungjawab menjaga mak tetap menjadi keutamaan.

Namun, Allah lebih menyayangi mak.

~Pada jam 10.50 malam, mak menghembuskan nafas terakhir. Ketika itu, pesawat yang aku naiki sedang meluncur meninggalkan KLIA untuk kembali ke Kuching. Aku menerima berita pemergian mak apabila isteri aku, yang duduk di belakang kerusi aku, mencuit perlahan dan berkata,
“Abang, mak dah tak ada”.

~Sejurus sahaja tayar kapal terbang mencecah tanah di Kuching, cuitan itu — perkhabaran itu — menjadi ingatan yang kekal dalam diri aku.
Cuitan yang membawa seribu satu keresahan.
Cuitan kehilangan yang tidak akan pernah berganti.

Dalam diam aku cuba memahami takdir.
Dalam kaku aku cuba menerima ketentuan.
Dalam sesak dada yang tidak mampu aku tafsir dengan kata-kata, aku hanya bersandar pada satu keyakinan — bahawa mak pergi dalam pelukan kasih Tuhan.

Namun sebagai anak…
Hati ini tetap mencari suara mak.
Tetap menunggu panggilan mak.
Tetap berharap semua ini hanyalah mimpi.

Tetapi hakikatnya, malam itu menjadi garis pemisah antara dunia aku yang lama dengan dunia aku yang baharu.
Dunia tanpa hadirnya seorang ibu di sisi.

~Setibanya di rumah, aku mengambil wuduk. Aku duduk membaca Al-Quran — dari satu juzuk ke satu juzuk sehingga ke pagi. Ia bukan sekadar bacaan. Ia adalah dialog batin antara seorang anak dengan Tuhannya. Memohon kekuatan. Memohon ketenangan. Memohon hati yang benar-benar redha.

~Ketika mak dimandikan dan dikafankan, aku tetap berada di sisi. Aku duduk menemani mak sebelum mak melangkah ke “rumah barunya”. Saat terakhir aku mengucup mak, air mata hampir gugur — tetapi aku tetap menguatkan hati untuk redha.

Aku hanya mampu berbisik,
“Mak, tunggu kamek”.

~Aku menyambut jenazah mak. Aku memikul mak ke dalam rumah barunya — liang lahad — dengan penuh kasih sayang. Itulah bakti terakhir secara fizikal yang mampu aku berikan sebagai seorang anak.

Aku belajar untuk redha.
Aku belajar untuk tidak menangis.
Bukan kerana ego.
Bukan kerana maskulin.
Tetapi kerana aku sedang belajar memahami makna sebenar redha kepada ketentuan Ilahi.

~Kerana dalam kehilangan, aku belajar — kasih seorang anak tidak pernah berakhir.
Ia hanya berubah bentuk.
Daripada sentuhan fizikal… kepada doa yang tidak pernah putus.

Bahagia seorang anak bermula dari seorang IBU yang setia menadah tangan memohon kepada Allah atas kesejahteraan anaknya.

Hilangnya mak, hilanglah doa yang mustajab yang tembus ke langit tanpa hijab.

aku rindu mak
aku sayang mak
aku ingin kembali menjadi anak mak


Rabu, 22 November 2023

UJIAN ALLAH ITU PASTI (2)

 



Assalamualaikum dan salam Sejahtera;


~Kadang-kadang kita ini merasakan masalah orang, Adalah masalah mereka. Dan paling-paling pun, bolehlah kita ambil mudah sebab bukan masalah kita pun. Sedangkan Rasulullah s.a.w ajar kita untuk sayang kepada saudara kita. Ambil tahu tentang mereka. Allah arahkan perdamaian antara dua orang islam. Cari jalan perdamaian jika bertelegah.

~Demi Allah, bukan mencari simpati. Bukan mencari publisiti murahan. Bukan nak buat 'content' bagi raih perhatian. Tapi, sekadar perkongsian dari sudut lelaki marhen macam aku. Seorang guru biasa, yang sentiasa mencari Redha Allah dalam kehidupan. Penceritaan pihak pertama mencerminkan kendiri, perasaan dan juga emosi aku dalam menerobos alam kehidupan ini. Mungkin bermanfaat kepada orang lain bila tiba masanya. 

~BEBAN~

~Menubuh, mengasas dan mengembangkan satu seni yang menjadi sinonim kepada orang Melayu terutamanya di Semenanjung Malaysia, yakni SILAT; memang menjadi satu tugas dan tanggungjawab yang perlu dipikul aku kerana amanah yang telah diberikan oleh guru. Silat memang sinonim dengan hidup aku. Aku menjadikannya sebagai rutin dan silat ini diibaratkan sebagai sebahagian lain dalam hidup aku. Pendek kata, silat dah diibarat macam nyawa kedua aku. Mungkin dari segi psikologi, berdampingan dengan ilmu silat dah diibarat macam rutin harian. 

~Aku meyakini setiap dari tindak tanduk dalam persilatan aku sebagai pentas dakwah dan tarbiyyah kepada murid-murid aku. Dan semestinya, setiap tindak tanduk dalam persilatan, lebih menjurus kepada BEKALAN dan AMALAN di alam sana. Aku yakin, setiap ilmu yang aku curahkan dari tahun 2000 sehingga sekarang dalam persilatan, akan dimanfaat sebaik-baiknya oleh semua anak murid aku. 

~Tempoh 23 tahun bukanlah terlalu lama berbanding dengan orang lain. Masih ramai lagi guru-guru tua yang telah mencurahkan khidmat bakti kepada Masyarakat untuk menyebarkan dan mengembangkan mana-mana aliran persilatan. Segala sumbangan, ditambahkan lagi dengan pengurusan pertubuhan, memang sinonim dalam hidup aku. Pendek kata, aku terbiasa mengurus dan mentadbir SSG di negeri Sarawak.

~Oleh itu, masa banyak aku korbankan demi persilatan ini. Ya, bukan sejam atau 2 jam, malahan seluruh dari hidup aku memang berfokus kepada Pembangunan silat, pembentukan sahsiah anak-anak murid dan juga kelancaran pentadbiran. 24 jam! Buka mata, seusai ibadah, teruskan dengan pemfokusan kepada Silat. Anak-anak aku membesar di dalam gelanggang. 

~2008 ~ sejak tertubuhnya PERTUBUHAN SILAT SENI GAYONG MALAYSIA SARAWAK, aku SETIA dengan USAHA aku untuk membangunkan Silat Seni Gayong. Aku tidak pernah melobi untuk jawatan tertinggi. Aku dengan SETIAUSAHA memang sinonim. Tak pernah mengeluh, teruskan berkhidmat. Menongkah arus, badai dan ombak BOBROK manusia terutamanya orang silat sendiri. Diasing dipulau oleh rakan-rakan seperjuangan, namun aku terus kekal dengan USAHA untuk bantu anak-anak Gayong di Sarawak mendapatkan yang ilmu yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara. 2008 tu kira macam HALAL-lah.. aku dah buka gelanggang sejak 2003 lagi.

~1998 - aku mula menapak dalam persilatan. Ikut aliran Silat Sarawak secara bergelanggang dan rasmi. Namun, Langkah persilatan sebenarnya dah bermula awal sejak 1990 lagi. Tapi, belajar aliran Silat Sarawak bermula tahun 1998. Pada Ketika ini, mak aku memang MELARANG untuk belajar silat. Mak tak suka aku belajar silat atas alasan akan menyalahgunakan silat. Aku mintak sungguh-sungguh untuk belajar. Puas memujuk, jawapan tetap tidak. Namun, tahu-tahu dah ada baju Silat yang mak tolong buatkan. Terima kasih mak.

~Mak support dalam bangkangan. Lepas ya, mak tak pernah larang. Tapi mak sentiasa beri nasihat. Gunakan silat untuk kebaikan. Mak terus menyokong. Itulah tonggak kekuatan aku dalam bidang persilatan. Sampai ... dalam saat mak kurang Sihat... aku masih lagi serius bersilat...

~Bila tahu mak ditimpa masalah kesihatan yang sangat serius.. barulah aku Terasa BEBAN!! Ya beban rupanya yang aku pikul menyebabkan aku hilang saat-saat yang berharga. Saat menjadi seorang anak. 

~Lantas, pada saat itu.. aku ambil Keputusan untuk BEREHAT dari SILAT. SEKETIKA atau SELAMA-LAMANYA aku tidak pasti.

~MASA~

~Aku perlukan masa untuk bertenang. Perlukan masa untuk berkhidmat kepada mak aku. Aku perlukan masa untuk aku korbankan kepada insan yang paling banyak menyokong, meneguh dan membangunkan aku dalam hidup ini.

~Persoalannya.. 'rumah' yang aku bina berpuluh tahun jadi berantakan setelah kerehatan yang aku dambakan..

~Bak kata Isteriku, "Organisasi ini tanpa kamu, diibaratkan rumah yang tak ada tiang seri"

Isnin, 20 November 2023

UJIAN ALLAH ITU PASTI (1)

 Assalamualaikum dan salam Sejahtera.

~Makan setahun juga untuk diambil bagi mencoretkan kata-kata dalam ini. Usang, berhabuk, tak berpenghuni. Hanya kenangan sebagai guru Sahaja dapat dilihat dan dibaca di sini. Ibarat rumah tiada berpenghuni, lusuh dan tidak ada serinya.

~Bukan apa, masa sangat singkat. Komitmen usah ditanya. Dengan bertambahnya umur, maka bertambahlah lagi keutamaan dalam kehidupan. Pangkat, kerjaya, anak, disamping Kesihatan yang semakin tidak menentu. Maklumlah, usia sekarang sudah hamper menjengah ambang 40-an.

~Tapi minat dan keinginan masih lagi galak dalam menghasilkan idea dalam penulisan. Minat disebabkan oleh masalah yang menekan jiwa. Oleh itu, aku pilih untuk jadi introvert. Kecilkan lingkungan social. Elakkan ribut social. Supaya hati yang resah, dapat diredakan dengan cara tersendiri. Bukan kerana ingin menjauhkan diri, aku pilih introvert supaya lebih masa untuk mengadu kepada Allah s.w.t.



~Renunglah.. masa sangat pantas berlalu. Hati sentiasa berbolak balik. Bahagia tidak akan sentiasa dikecapi. Usia bukan semakin berkurangan, malah bertambah-tambah untuk sampai ke garis penghujung. Amal, sedekah dan ilmu yang dimanfaat sahaja yang boleh dibawa ke alam sana. Alam kerehatan bagi mereka yang berusaha menjadi terbaik disisi Allah. Tapi, apakah Nasib kita nanti? Baik atau buruk?

SETELAH SETAHUN MENDIAMKAN DIRI

~Setelah setahun mendiamkan diri, menahan diri dari menulis dalam Blog, kini ternyata aku memerlukan kata-kata pendorong untuk bantu kekal dalam perjuangan ini. 

~6 Oktober 2023. Satu permulaan yang paling perit dalam hidup aku dan seluruh keluargaku. Tiang seri rumah, bonda mengadu sakit di bahagian perut. Ceritanya bermula bila aku nak menyempurnakan tugasan dengan JKKN. Usai solat jumaat, mak mengadu sakit perut. Lanjutnya, mintak dihantarkan ke hospital.

~Aku dan isteri menurut. Dibawa ke Hospital Swasta. Sebelum ini pernah dirujuk oleh klinik untuk di CT SCAN, tapi mak menolak sebab nak pergi ke klinik doktor biasa dilawati oleh keluarga. Tapi hari ini, benar-benar mak nak pergi ke Hospital Normah. Bermula dari jam 2.45 petang, sehingga lebih jam 5.00 petang, mak mendapat rawatan. Aku beranggapan GERD atau gastrik yang melampau. Kerana mak sebelum ini memang ada kena gastrik yang menyebabkan dia langsung tak ada selera nak makan.

~Doktor cadangkan CT SCAN dibuat ke atas mak untuk periksa kenapa sakit perut berpanjangan. Allah, kebetulan dah nak masuk tengah bulan. Tapi, tak apa, demi mak, aku cari ikhtiar. Maka dibuatlah MRI ke atas mak. Dari saat itu, hati tak pernah luput berdoa supaya tidaklah mak aku didiagnos dengan penyakit-penyakit yang berbahaya.

~Masa konsultasi dengan doktor, doktor tak boleh nak sahkan. Cuma ada beberapa symptom seperti yang sangat mirip dengan kanser iaitu:

1. Berat Mak dah turun sangat-sangat dari 63 kg selepas raya, kepada 45 kg waktu di rawat di Hospital

2. Ada ketumbuhan/ cyst sebesar 5 cm x 6cm dalam perut mak.

3. ada Metastasis nodal (dikhuatiri sel kanser) yang sudah merebak dalam Kawasan perut mak

~Masih tak boleh nak terima kenyataan. Balik berbahas dengan isteri, carik harapan dalam pembacaan. Cuba bersadu kepada Allah untuk tidak membenarkan kenyataan ini. Danpaling berat sekali, "AKU BELUM BERSEDIA UNTUK KEHILANGAN MAK!!"

~Begitulah fasa permulaan dalam hidup menghadapi ujian Allah yang berat ini. Persediaan untuk kehilangan orang yang paling memahami kita. Insan yang banyak membantu ketika jatuh dan bangunku dalam kehidupan. Insan yang segala-galanya bagi aku. MAK.. sukar untuk terima kenyataan, sehingga seluruh anggota badan jadi lemah. Sepanjang-panjang perjalanan balik dari hospital, memang tak boleh nak tahan air mata mengalir. Aku lemah. Dan aku tak sanggup kehilangan mak. Tak ada orang dalam sanggup kehilangan mak. 

~Mak request nak makan tom yam. Aku ajak dia makan di Parimpan. Sikit saja yang dimakannya. Mak kata sedap. Dalam melawan perasaan takut kehilangan, terselit juga kebahagiaan dalam hati. Mak masih mahu makan. Sebab, aku risau mak tak nak makan..

~Imbauan 2023 --- Aku tinggalkan jawatan untuk Bersama dengan mak. Untuk menjaganya. Walaupun dalam situasi yang sangat baik, posisi yang betul dalam perjawatan, aku tinggalkan demi mak. Ini cerita 2013. Ketika itu masih di PPD Baram. Tak apalah, jawatan boleh diganti. Tapi, mana mungkin mak diganti. Kau carilah serata ceruk dunia, masakan kau berjumpa dengan kasih sayang serupa yang diberikan mak.

~7 Oktober 2023. Doktor dari Hospital Normah minta mak hadir semula untuk ultrasound. Hari Sabtu, awal kami berangkat ke Hospital untuk bawa mak. Hati kecil berharap agar ianya bukan kanser. Kalau kanser sekalipun, biarlah tahap permulaan. Boleh diubati. Selesai pemeriksaan, doktor tak boleh buat Keputusan disebabkan tiada sampel yang diambil untuk pengesahan. Maka perlu dirujuk ke klinik pakar. Aku masih merahsiakan dari pengetahuan semua orang termasuk adik beradik kerana masih berharap ianya bukan kanser. Sentap seketika.. tak boleh nak gambarkan perasaannya. Masih tertanya-tanya. Masih dalam fasa menafikannya. Masih tak BERSEDIA!!!

~Namun doktor juga membenarkan diagnosis pertama iaitu lebih kepada kanser. Dan telah merebak. Tahap-tahap pun masih tidak diketahui. Mak sendiri pun tak tahu dia sakit apa. Dan masih yakin, dia hanya sakit perut. Pada waktu ini, kondisi mak masih baik. Cuma, makannya dah tak banyak sebab setiap kali makan, terasa sakit di bahagian perut. Allahu..

~Ajak mak singgah sarapan. Mak asyik tanya, "Mak sakit apa?" Aku cuma jawap, "sekda papa mak". Biasalah sakit perut. Pada tanggapan, aku masih belum bersedia untuk bagitahu mak sebab aku sendiri pun tak pasti dengan diagnosis doktor. Unless, doktor dah sahkan, barulah aku boleh bagitahu. Mak masa ini masih boleh berjalan sendiri. Mak masih gagah untuk berdiri. 

~Sewaktu di kedai makan, isteri beri informasi "metastasis" itu apa. Rupanya, metastatis Adalah sel kanser. Jangkaan doktor, mak kena kanser hempedu. Laju saja air mata mengalir. Yang tak dimahu, itulah yang hadir. Oh Allah.. beratnya ujian mak aku. Di saat usia tuanya, diuji Allah dengan penyakit..

~"AKU TAK BERSEDIA"

~Kerap kali aku ulangi perkataan ini. Aku masih tidak mampu menerima tekanan dari himpitan perasaan yang dicipta diri sendiri. Aku kaget. Aku tidak mahu. Aku masih ingin merasai belaian kasih seorang mak. 

~Bermain dalam fikiran aku, betapa banyaknya masa yang telah aku cuaikan dalam menjaga ibu. Banyak masa telah berikan kepada masyarakat berbanding kepada ibu sendiri. Banyak masa yang aku korbankan, tapi seringkali aku mengabaikan mak. Aku sering hadir tepat pada masanya bila berbakti kepada agama dan bangsa. Tapi, aku culas sekali berkhidmat kepada kedua orang tuaku. Walaupun serumah, seringkali juga tidak bertemu lebih dari 1 jam!! disebabkan oleh komitmen kepada SILAT.

~Oh, aku lupa. Aku masih memiliki ibu yang sentiasa mendoakan kejayaan aku. Kejayaan aku dalam SILAT adalah disebabkan doa ibuku yang senantiasa mendoakan kebaikan padaku. Betapa aku ingin menyalahkan USAHAKU. 

~untuk menjadikan adil, maka aku ambil keputusan untuk 'undur diri dari jawatan' dalam pertubuhan.. (bersambung)..

Rabu, 12 Oktober 2022

CERITA PINDAH 2022

 Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca..


~Berpindah Adalah putaran roda kehidupan yang sentiasa bergerak tak kira pelahan atau laju. Mana-mana pun akan berpindah. Dan yang pasti, kita akan berpindah dari FANA ke BARZAKH.

~Bila bercerita tentang PINDAH, ya..dimaklumkan, tanggal 12 September 2022, aku telah berpindah dari SMK Seri Setia Kuching ke SMK Tunku Abdul Rahman Kuching. Perkhidmatan di stesen lama berjumlah 9 tahun 1 bulan 25 hari menyumbang bakti di Kampung Tabuan Melayu. Alhamdulillah


~Berpindah dari jarak 23 km ke jarak hanya 7 km dari rumah. Wow!! satu penjimatan terbesar dalam sejarah perkhidmatan. 

~Janggal.. itu perkataan pertama yang meluncur dari mulut setelah 3 minggu berada di sini. Dengan suasana yang berbeza dari stesen lama, sudah pasti memberikan Kesan KERINDUAN yang mendalam kepada stesen lama. Baik sekali mana pun, tenang seperti mana pun, xdapat menandingi iklim di stesen lama.

~Rahmat dalam Derita. Perpindahan ini juga Adalah Rahmat kepada aku kerana tidak perlu berdiri bagi pihak lain dalam menyatakan kebenaran. Tetapi, Derita yang aku tinggalkan sebenarnya Terasa pedih bila rakan-rakan yang dah 9 tahun kenal, ditinggalkan.

~Masihh belum beradaptasi, tapi insya Allah, kita usahakan untuk menjadi yang terbaik. Kita kuatkan hati untuk menjadi insan yang tak dipuji di bumi, tetapi insan yang disebut-sebut di Langit seperti Uwais al-Qarni. Usaha untuk menjadi yang terbaik.

~Semoga perpindahan ini menjadi satu keberkatan kepada seluruh kehidupan aku. Aminn..

Khamis, 6 Oktober 2022

BILA ADAB BERGURU HILANG DALAM ORGANISASI

 Bandingan petunjuk dan ilmu yang diutuskan kepadaku ialah seperti hujan yang menimpa bumi. Maka sebahagian daripada bumi itu ada tanah yang subur menyerap air lalu menumbuhkan rumput dan tanaman lain yang banyak. Dan terdapat sebahagian daripadanya tanah yang keras yang tidak menyerap tetapi menakung air. Allah SWT menjadikannya juga bermanfaat kepada manusia lalu mereka minum, memberi minum dan menyiram tanaman dengannya. Dan terdapat pula sebahagian daripadanya tanah yang keras dan rata yang tidak menakung air dan tidak menumbuhkan tanaman.

Itulah bandingan orang yang memahami agama Allah SWT dan mengambil manfaat daripada ajaran yang diutuskan kepadaku lalu dia belajar dan mengajar. Dan juga bandingan orang yang tidak menghiraukan langsung (ilmu yang aku sampaikan itu) serta tidak mahu pula menerima petunjuk yang aku diutuskan membawanya.” 

Riwayat Bukhari (79) dan Muslim (2282)

 


1.       Begitulah bandingan mereka yang berbuat buat terhadap guru dan beradab kepada ilmu yang telah diberikan kepada mereka. Salah satu dari contoh ilmu yang bermanfaat bagi mereka yang benar-benar memahami.

2.      Islam mengajar kita untuk mentaati guru selagi mana guru mendidik kita ke arah jalan yang benar. Oleh itu, amat rugi sekali bagi mereka yang telah diberi didikan yang baik, namun tidak mampu untuk meneladani kebaikan yang telah ditunjukkan oleh guru kepada kita.

3.      Banyak kali juga ‘benak’ atau ‘ombak jahil’ datang dalam hidup. Kadang-kadang kecewa, kadang rasa hendak putus asa. Bahkan kadang-kadang rasa ingin mengalah dalam perjuangan.

4.      Berat tanggungjawab dan amanah yang hendak dipikul. Bukan sekadar ‘bersuka ria’ dengan jawatan, tetapi bila hendak dikerah untuk melaksanakan tanggungjawab, semua beri alasan.

5.       Berkali-kali ditegur, berkali-kali diajak. Berkali-kali diberi peluang, tetapi, bila ADAB KEPADA GURU tiada, beginilah jadinya. Ibarat, ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’ guru dibuatnya.

6.      Kecewa.. namun apakan daya. Tak semua orang seperti kita katanya. Tapi, memang gagal dalam menyantuni guru. Gagal.. dan terus gagal. Jangan pula, bila guru tiada, masa itulah mengaku bagai. “itu guru aku.. dia cikgu aku..”. Dah mati pun. Tinggal ajaran jak lagi. Jasad dah berpisah dari roh. Tiada lagi pun nasihat secara fizikal. Semuanya.. auta. Sirna oleh detik kematian.

7.       Aku rasa, aku dah usaha yang terbaik untuk bantu semua anak-anak murid persilatan untuk mendapat ilmu gayong. Bukan ambil laba sorang-sorang. Kalau ambil ilmu, aku bawa berteman. Bukan apa, ilmu baik, kita kongsikan. Bukan buat private. Lepas tu, minta duit berjela-jela. Kursus sana sini.

8.      Aku bantu hadirkan guru-guru yang terbaik, bantu anak-anak gelanggang. Dari habiskan duit ke seberang, jemput guru untuk semua orang. Bayaran kita tong-tong. Sikit sorang, janji guru selesa, makan minum terjaga. Ilmu juga dapat diberikan dengan tenang tanpa rasa berhutang.

9.      Boleh saja jika aku hendak gunakan duit sendiri ke seberang. Belajar sorang-sorang. Kutip ilmu dengan tenang. Balik-balik saja, terus buat ‘kursus terbang’. Jadikan ilmu sebagai bisnes. Tapi, amanah membatasi gerak geri. Ya.. amanah!! Jika bukan kerana amanah, sudah pasti aku buat sorang-sorang. Boleh juga dibuatkan modal dalam mencari harta dunia. Itu kalau aku tamak dan haloba.

10.   ADMAR ajar.. “Tiang yang paling penting dalam penuntutan ilmu ialah taat setia yang tidak berbelah bahagi. Tamak-ahmak itu adalah satu daripada membunuh diri sendiri ataupun satu kecelakaan kepada diri seseorang itu”

11.    “tiang” merujuk kepada satu sistem yang mengukuhkan bangunan dan dalam konteks mempelajari ilmu persilatan, “tiang” juga merujuk kepada pendirian dalam diri. Oleh itu, penting untuk setia dan taat kepada guru selagi mana tidak melanggar syara’.

12.   Namun, yang menjadi satu persoalan, jika guru membawa jalan kepada sulur ilmu, mahukah murid menerimanya dengan baik? Jawapannya bergantung kepada murid itu sendiri. Niat pada permulaan itu penting. Mengapa hendak memilih untuk berada pada jalan Silat Gayong? Adakah berkehendak kepada jawatan, sandang atau apa-apa sahaja? Maka perbetulkan balik sebab di sini tiada jalannya. Kalau berhajat ilmu, di sinilah jalannya. Insya Allah.. tapi jalannya ‘sangat panjang’ dan meletihkan. Wujudnya ‘asam dan garam’ dalam perlimau sintuk tapak menjadikan satu simbolik kepada betapa ‘masamnya dan masinnya perjuangan dalam gayong’. Masin tu yang tak tahan, siap datang penyakit darah tinggi / high blood pressure. Mana tak, dengan pelbagai pe’el dan karenah baka kau hadap dalam pertubuhan ini. ‘Bersirap darah pendekar’ lah bagai.. tapi, bila dihumban MASALAH, mudah betul kau mengalah.

13.   Zaman sekarang, bukan murid bertanya untuk kemudahan guru. Dulu elok jak adabnya. Guru datang sekolah, siap tunggu guru untuk angkat barang. Pada masa kini, kau hadaplah. Guru pula terkejar sana sini mintak bantuan. Allahu.. beginilah kehidupan. Nak mintak bantuan pun terpaksa menebal muka, menebal jari dan emosi. Malu.. tapi apakan daya. Kau tak mampu nak bekerja sendirian.

14.  Kalau kita bincang aspek KESIBUKKAN dalam hidup. Mari aku bagi bandingan yang nyata lagi berbeza. 2 isteri. 6 anak. Kedua-dua ibu bapa yang sangat memerlukan kau. Kerjaya sebagai guru. Kewangan yang tidak menentu dan dalam menuju kestabilan disebabkan faktor dapur yang ‘besar’. Dalam ujian untuk menghabiskan phD, assignment bertimbun. Kerja sekolah yang tidak pernah lekang. Kerja pengkeranian di sekolah bukan sekadar atas talian, luar talian lagi. Kursus-kursus atas talian. ‘Kerja cari masalah – urus pertubuhan lagi’. Oh! Kadang-kadang terasa hendak mengalah. Nasiblah punyai 1 ratu hati, 2 permaisuri yang sangat memahami konteks kerja. Emak oo emak.. di situlah kekuatan yang tidak ada pada yang lainnya.

15.   Ya, kita sendiri mencari masalah. Tapi, dah nama berpeSATUan, masakan kita tidak dapat luang sedikit dari beratus ribu saat dalam kehidupan kita untuk bantu sekadar termampu? Mahal sangatkah keringat kita sehingga guru sendiri mencemar duli bertanya bantuan. Sesungguhnya, bantuan yang benar juga datang dari Allah. Namun, aku pasti malu jika tidak mampu menyantuni guru-guruku dan juga tetamuku. Itu yang pasti. 


16.   Berpeganglah pada prinsip, “mudahkan urusan insan lain, Allah akan permudahkan urusan kita”.

17.   Bagi aku, bila guru dah mula bersuara mohon bantuan, bermaksud kita telah menjadikan ilmu jadi tak berkat. Mula dah goyah pada perpaduan. Mula dah berantakan identiti. Tak mampu untuk bersatu dalam kekuatan. Maka tunggulah saatnya dan ketika kita pula diuji dengan ujian serupa.

18.   Bila guru terpaksa “meletakkan maruahnya” di tapak kakinya semata-mata hendak bantuan. Allahu.. guru oo guru. Tak perlu engkau merendahkan maruah mu sehingga ke dasar ‘benak’. Ingatlah, Allah sebenarnya mengujimu. Memintamu mencari jalan keluar hanya dengan bantuan Allah swt.

19.   Jika anak-anak didikmu tidak membantu, beerti, Allah mencari ruang untuk kau kembali kepada Nya.

20.  Namun tahniah kepada guru yang sentiasa merendah diri. Walaupun murid akan ‘sombong’ disebabkan bantuan yang diberikan, menjadi mereka naik kepala, menjadi ‘keras hatinya’ lantaran bantuan diberikan, bahkan menjadikan mereka lebih ‘makrifat’.... namun, yang pasti.. ilmu anak-anak didikmu.. TAWAR. Mesti tak menjadi.

21.   Sekali lagi namun, fikir balik.. bagaimana pula kita menyantuni guru kita? Murid kita cerminan kita. So, berbaik sangkalah kepada Allah sentiasa.

22.  Apa-apa pun, teruskan bersemangat!! Jalankan amanah dengan apa yang tersisa. Biar terkorban di dunia, insya Allah, Allah hitung semua yang kita kerjakan. Redha Allah dalam setiap apa yang kita kerjakan.

23.   Tetaplah dalam memberi manfaat kepada orang walaupun kau TERBUANG DAN TERHINA.

Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin. (Az Zariyat 51:55)

 

~SENYUM MENUJU SYAHID~

Khamis, 1 September 2022

BENAK, SERABUT, GILA-NAK? JOM ZIKIR..

 

1. Dalam setiap helaian kata-kata kita, pasti akan menyebabkan orang rasa terkilan dan kadang-kadang tidak faham mengapa kita bertindak sedemikian. Tindakan kita, sukar hendak difahami kadang-kadang orang lain dan sering disalah erti kerana mereka berada dan "RASA" mereka berada dalam kalam kebenaran. Jalan dipilih jalan BENAR dan tindakan mereka BETUL. Sebagai kesimpulannya, semua Tindakan orang lain dikira sebagai Tindakan yang salah. Dibuat pelbagai kaedah dan cara, tetap tidak "senang" di hati mereka. Bila mana baik sekali pun, tetap JAHAT pada pandangan mereka. Begitulah.. hati busuk lagi bernanah. Gambaran kepada cara pemikiran orang SELALU berasa BENAR.

2. Setelah sekian lama, rasanya, perlu lah juga kita memilih jalan perundangan bila fitnah dilemparkan sangat sadis dan menyalahi etika sebagai seorang guru. Jangan menyalahi etika profesionalisme. Memanjang cari kesalahan guru lain lepas tu, pergi SEBARKAN dengan murid. Aduh.. macam tak ada kawan nak berbual. Keluarlah gambar siap kau letak nama orang di bawah. Walaupun singkatan, kau tak rasa pekerjaan ini tidak beradap. Ibarat seperti "baling batu sembunyi tangan". Berani di dalam media. Berani kerana ada PAYUNG. Tapi, berdepan, "aku pun tak sudi nak pandang wajah-wajah". Paling sadis, bermuka-muka. 

3. Bila buat siasatan, jangan cenderung untuk sampai konklusi dengan menekan "nama orang untuk disabit" semata-mata nak puaskan hati hitam kita. Tak perlulah sampai nak memburukkan rakan sekerja. Mana "PENGARUH TELADAN" yang hendak ditunjukkan kepada orang? Kenapa perlu memilih jalan dibenci dan membenci?

4. Guru BAHARU bukan menjadi "api dalam sekam" dalam menghadapi guru-guru senior. Hilang payung nanti, kesian pulak dipulau. Kita mestilah mengamal budaya saling menghormati, bekerjasama, dan memuliakan kesederhanaan. Jangan galau sangat dengan ugutan.Takkanlah kita nak bermasam muka sampai ke habis perkhidmatan. Lawan dengan keseronokan bekerja. Lawan dengan kecemerlangan. Bukan lawan, "pijak kepala orang" untuk naikkan jawatan kita. Tak habis dik. 

5. Kau bandingkan, 4 bulan perkhidmatan di stesen baru, bukan kau menguasai 100% genetik dna kampung atau komuniti berbanding 10 tahun berkhidmat di komuniti tersebut. Batch permulaan sampai sekarang, legasi yang tinggal semasa PdP berlaku dalam 10 tahun, dah menyerap dalam komuniti setempat. Dik, dunia ini, ibarat roda. Kami dah berada dalam putaran roda. Dari bawah ke atas, dan sekarang Kembali ke bawah. Ini benda lumrah. Normalisasi dalam kehidupan. Jatuh disebabkan "dengki". Insya Allah akan Kembali dengan penuh AKSI.

6. KESAL. aku kesal dengan perkataan yang boleh menghina anak-anak murid aku. Budak dah penat, budak dan berusaha, tiba-tiba keluar penyataan, "silat bukannya ada apa-apa". Adoi.. Dah tak terkata. Dah tak tahu lagi nak keluarkan penyataan apa. Tapi, ketahuilah. Perkembangan murid memamg kita perlu pantau sentiasa. Kita ni, guru. Bukan pengkritik. Kita bina sahsiah, akhlak dan perkembangan fizikal murid supaya lebih berfungsi pada negara dan bangsa. Apalah nak cari masalah dengan aku dengan melibatkan budak? Aduh..kebudakan terus.

7. Banyak benda nak ditulis, tapi macam tersekat di skala ketujuh. Macam... biarlah.. nak cakap banyak pun tak guna. "Kuali" tetap "Kuali".


Jom berzikir...




INI BAHTERA SAYA YANG JUMPA DULU - SATIRA BAHASA SARAWAK

  “INI BAHTERA SAYA YANG JUMPA DULU!” Alkisah Sebuah Hikayat Bangsawan di Lembah Gunung Alkisah, di sebuah negara yang terletak di lembah gu...