Cari Blog Ini

Khamis, 8 September 2011

Demam Eg-Tukar Bermula (II)



Assalamualaikum dan salam sejahtera... Apakah kita di dalam keimanan yang teguh pada ketika ini? Jika tidak, marilah kita mengucapkan kalimah syahadah, Ashadu alla illa haillah.. wa ashadu anamuhammadur rasulullah.... Semoga dengan nya, iman kita menjadi kukuh hendaknya.. Aku melihat pada statistik pertukaran antara negeri untuk eg-tukar sehingga jam 5.01 pm 08/09/2011. Hmm.. tak ada komen. Cuma sendiri-sendirilah bermonolog. Hehe..


Semoga berjaya.. Allahuakbar!!!

Sekadar renungan bersama..

Assalamualaikum.. aku nak share sebuah artikel yang menarik daripada sebuah sesawang yang bertajuk Islam Itu Indah. Ini url sesawang tersebut: www.islamituindah.my   --> selamat membaca


DEWASA ini ada banyak kes membabitkan pembuangan bayi akibat perlakuan zina. Nasib bayi yang dibuang sering meruntun hati masyarakat yang turut memikirkan cara terbaik untuk menjaga dan mendidik anak itu serta bagaimana ingin memberi kesedaran kepada pelakunya.
Persoalannya, adakah kesalahan zina yang menjadi punca kepada permasalahan ini. Zina adalah kesalahan yang berat mengikut hukum syarak sehingga larangannya dijelaskan Allah dalam Al-Quran melalui firmannya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah Al-Israk, ayat 32)
Ini ditegaskan lagi melalui hukuman dikenakan terhadap penzina jika disabitkan kesalahan yang turut termaktub dalam Al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat setiap seorang daripada keduanya 100 kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan orang yang beriman.” (Surah An-Nisa, ayat 2)
Mengikut hukum Islam, hukuman zina berbeza mengikut kategori bagi pesalah yang sudah berkahwin (mukhsan) atau belum (ghair mukhsan). Jika sudah berkahwin, dikenakan hukuman rejam sampai mati manakala yang belum berkahwin akan dirotan 100 sebatan.
Melihat betapa seriusnya kesalahan zina ini, hukum syarak menetapkan si penuduh orang lain melakukan zina yang gagal membuktikan dakwaannya turut dihukum iaitu dikenakan 80 kali sebatan, disamping itu juga penyaksiannya tidak akan diterima selama-lamanya.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat, dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang yang fasik.” (Surah an-Nur, ayat 4)
Hukuman berat ini menunjukkan cara pembuktian terhadap pertuduhan zina juga perlu diambil kira. Bukan semua bentuk pembuktian boleh diterima bagi membuktikan kesalahan tertuduh kerana kesan terhadap penyabitan zina amat besar terhadap maruah diri tertuduh.
Walaupun keterangan terhadap pertuduhan boleh dikemukakan dengan pelbagai bentuk, hanya dikira ialah pembuktian melalui pengakuan si pelaku (ikrar) dengan mengambil kira syarat perakuan itu.
Sejarah membuktikan penyabitan kesalahan zina melalui ikrar amat dititikberatkan bagi mengelak sebarang keraguan, paksaan, kecelaruan oleh si pelaku yang menyebabkan beliau membuat perakuan terhadap kesalahan menyebabkan berlaku kesilapan dan penganiayaan terhadap orang yang tidak bersalah.
Rasulullah SAW sendiri, apabila seorang lelaki datang menemui Baginda seraya berkata: “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah melakukan perbuatan zina, maka Rasulullah berpaling darinya sehingga diulang pengakuannya sebanyak empat kali.
Apabila lelaki berkenaan membuat pengakuan sebanyak empat kali, Rasulullah SAW memanggilnya lalu bersabda: “Adakah engkau gila? Jawab lelaki itu: Tidak. Nabi bersabda lagi: Adakah engkau telah kahwin? Jawab lelaki itu: Ya. Maka Nabi bersabda: Bawalah dia dan jalankan hukuman rejam.”
Walau bagaimanapun, hukuman ini tidak boleh dilaksanakan terhadap si pelaku yang menarik balik pengakuannya bahawa sebelum ini beliau melakukan zina.
Bentuk pembuktian kedua yang diterima ialah kesaksian daripada empat orang saksi. Saksi perlu memenuhi syarat ditetapkan oleh hukum syarak sebelum penyaksian diterima iaitu Islam, lelaki, baligh.
Sempurna akal, adil, benar-benar melihat kejadian zina dan penyaksian itu benar-benar menunjukkan zina itu berlaku. Ini bermakna, jika saksi gagal memenuhi salah satu daripada syarat itu, penyaksiannya tidak akan diterima.
Walaupun sesetengah ulama seperti Ibn Qayyim menerima pembuktian melalui tanda (qarinah), ada ulama seperti Imam Syafie yang menolaknya. Penerimaan dan penolakan terhadap bentuk pembuktian berdasarkan kepada hujah masing-masing namun yang pastinya penolakan ini bagi mengelak timbulnya keraguan dalam penyabitan.
Kesalahan berkaitan dengan perbuatan zina diperuntukkan dalam undang-undang syariah. Seksyen 25 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 menetapkan lelaki yang melakukan persetubuhan dengan perempuan bukan isteri sah adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum mana-mana kombinasi hukuman itu.
Kewujudan pelbagai peralatan canggih tidak dapat menafikan bentuk pembuktian yang ditetapkan kerana sebarang bentuk dokumen mahupun peralatan canggih masih boleh menimbulkan keraguan. Adalah tidak mustahil dokumen itu diubah suai bagi boleh menyabitkan seseorang dengan kesalahan.
Pembuktian bagi kesalahan zina tidak wajar disamakan oleh mana-mana pihak dengan pembuktian kes rompakan yang dirakam. Pembuktian bagi kesalahan zina adalah ketat seperti ditetapkan hukum syarak.

Rabu, 7 September 2011

Demam Eg-Tukar Bermula

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Kepada semua cikgu-cikgu yang ingin bertukar, silalah mengisi Portal Eg-tukar dari 1 September 2011 sehingga 30 September 2011. Sebelum mengisi, anda perlu kemaskini data sendiri sebelum mengisi portal tersebut.

Sebelum mengisi, perlu adakan semua dokumen keterangan yang berkaitan supaya memudahan penilaian pengisian. Selamat mengisi. Jika tidak berjaya, cuba lagi dan janganlah bersedih. Semuanya adalah perancangan Allah jua. Yang benar-benar memerlukan untuk berpindah, banyakan berdoa. Semoga doa dikabuli Allah.

Aku pun tengah demam jugak. Demam selesema. Bukan demam eg-tukar. =)

Permulaan- Langkah seiiring dengan pertemuan-

























Jumaat, 5 Ogos 2011

Pengakhiran Perjalanan

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Perjalanan aku sebagai guru pedalaman kini bakal berakhir. Maka berakhir jugalah blog ini yang telah menjadi nadi kehidupan aku selama beberapa tahun ini. Ini adalah saat-saat terakhir aku menghabiskan masaku di S.K Long Sepiling, Tinjar, Baram. Beberapa detik lagi, aku akan meninggalkan 1001 kenangan terindah bersama-sama semua staf dan juga murid-murid yang aku kasihi. Semoga Allah kurniakan keberkatan dan semangat juang yang tinggi kepada semuanya untuk menghadapi UPSR 2011.

Pertukaran dari S.K Long Sepiling ke Pejabat Pelajaran Daerah Baram berkuatkuasa 16 Julai 2011. Jawatan Pegawai FasiLinus Baram secara hakiki. Bertukar atas dasar menduduki jawatan Pegawai Khas Kurikulum. Semoga dengan pertukaran ini menjadikan aku lebih mentaati Allah dalam segala hal.

Berat rasa hati ini untuk berpisah. Isteri yang tercinta terpaksa ditinggalkan kerana belum dapat berpindah. Ya Allah.. meninggalkan isteriku yang mengandungkan anak pertama.. Keseorangan.. Allah menguji isteri dan anakku sejak dari kandungan lagi. Allah sudah mendidik anakku menjadi penyabar dan mampu menepis godaan. Semoga dengan perpisahan sementera ini meninggikan lagi semangat perjuangan isteriku. Ya –Allah, selamatkanlah isteriku dan juga kandungan isteriku sepanjang ketiadaan ku. Ya- Allah, sepanjang ini Engkau menjaga kami. Engkau memberi rezeki. Melimpahi segala nikmat yang tidak mampu aku balas segalanya. Dengan ketiadaanku, bukan beertinya tiada yang menjaga. Tapi, Allah masih lagi menjaga. BAgiku, kerisauan itu hanyalah sementara. Kerana Allah sentiasa bersama-sama insan yang bergelar IBU.

2 tahun 7 bulan 2 hari. Itu sejarah perkhidmatan aku berkhidmat sebagai guru di pedalaman.  Sebanyak itu, aku belajar erti kehidupan. Bagaimana hendak bergaul dengan persekitaran. Bagaiman hendak mengadaptasi keseluruhannya. Menjadikan sebahagiaannya sebagai cabaran iman. Menuju kepada keredhaan Illahi. Sepanjang masa tersebut juga, aku belajar menjadi hamba Allah. Belajar hakikat ketuhanan. Belajar mengerti akan adanya Qada’ dan Qadar. Belajar betapa manisnya pengorbanan jika hati bersulam keimanan yang teguh. Dan tidak sama sekali dalam masa itu aku berkompromi untuk melakukan kemaksiatan. Alhamdulillah. Walaupun dibenci sekali manapun, biarlah aku tetap menjaga iman ini. Insya Allah.

2 tahun 7 bulan 2 hari.. terkesan di hatiku. Nama seperti, Noor Syafinaz Binti Yahya, Ayu Nazirah Bt. Mohd Amin, Harlina Ran, Metias Gimin, Jimpau Uchat, Christie Urai, Farah Hanim, sentiasa bermain diingatan. Semoga Allah mengurniakan kesejahteraan kepada mereka dan dimudahkan untuk mempelajari ilmu-limu dunia ini. Mereka adalah anak didik aku yang aku ajari di S.K Long Busang, Belaga 2 tahun lepas.  Sekolah dengan kapasiti murid seramai 188 orang, adalah sekolah pertama tempat aku ditugaskan menjadi seorang guru biasa. Dalam masa 2 tahun berkhidmat di sana, suka dan duka dilalui dengan Allah. Allah lah tempat aku mengadu segala masalah yang terbuku di hati. Kekuatan aku pada ketika itu adalah mengharapkan Allah dalam segala hal, dan menyerahkan segala-galanya setelah berusaha. Ada juga hamba Allah di sana menentang konsep menyerah dan tawakal. Tapi, biarlah aku dengan pendirian seperti itu. Bekerja untuk Allah bukannya untuk mendapat kawan dan mendapat pujian ketua semata-mata. Kalau boleh, aku sedaya-upaya menghindari mengumpat.. =)

7 bulan 2 hari, masa yang digunakan untuk berkhidmat pula di S.K Long Sepiling. Stella Supang, Melinda Puyang, Nelly David dan Larry Lihan merupakan murid kesayanganku. 4 orang ini sahaja yang berada di Tahun 6.  Seluruh tenaga dan kudrat ku hulurkan untuk meraka supaya Berjaya dalam pelajaran dan menjadi seorang manusia. Aku hanya mampu mengharapkan kejayaan meraka dalam UPSR 2011, terutamanya Larry Lihan yang aku tatang bagaikan minyak yang penuh. Semoga Berjaya dalam hidup dan memperolehi keputusan yang terbaik dalam semua matapelajaran kelak. Insya Allah.

Dalam masa 3 tahun berkhidmat sebagai Pendidik, aku telah bertukar sebanyak 3 kali. Mula-mula S.K Long Busang. Kemudian S.K Long Sepiling, Tinjar. Kemudian ke Pejabat Pelajaran Daerah Baram. Jawatan terakhir adalah Pegawai FasiLinus. Alhamdulillah. Bagi yang belum membuka mata dan pernah mencaci aku pada satu ketika dahulu, bukalah mata kalian. Aku sekarang berada di atas bukan kerana membodek. Tapi, aku berada di atas kerana niatku lillahitaala. Bukan untuk menjadi barua semata-mata.

Bagi meraka yang pernah melabelkan aku sebagai PEMALAS.. Aku harapkan, semoga semangat kerajinan engkau terus menerus di pertingkatkan. Insya Allah, orang PEMALAS yang engkau kutuki dulu akan berusaha lebih lagi menjadi PEMALAS yang engkau doakan dahulu. MALAS dalam erti kata MALAS untuk mengamalkan sifat MAZMUMAH. Hehe.. insya Allah.. Terima kasih atas caci-maki yang engkau lemparkan dahulu.. Sampai pekung di dada sendiri dibuka demi menjaja caci-maki engkau dahulu.  Aku menerimanya dengan hati terbuka. (Kalau benar aku malas, masakan orang lain tidak melihatnya?)

PAsti bersambung selepas ini.. insya Allah..

Jumaat, 22 Julai 2011

Family Trip 2011

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Lama dah tak update blog ini. Aku sibuk dengan perpindahan ke pejabat PPD Baram, Marudi.

~21 Julai 2011 --> sampai di Johor.. akan berada di 'seberang laut' selama 6 hari. Aktiviti family a.k.a Gayong Sarawak pun family.

~Satu pun xguna kalau sendiri xpandai nak fikir..

~rugi jika semuanya musnah kerana perasaan hasad dengki

Selasa, 5 Julai 2011

Tafsir Surah Al-Hujurat 9-12

Ayat 9. “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” Al-Hujuraat ayat 9
Sebab-sebab turun (asbabun nuzul):
Dilapurkan oleh Anas satu ketika Rasulullah (SAW) dijemput untuk melawat Abdullah bin Ubay, baginda menaiki keldainya dan diikuti oleh sekumpulan sahabat sambil berjalan. Apabila Rasulullah (SAW) menghampiri Abdullah bin Ubay beliau berada betul-betul di hadapan rombongan Rasulullah (SAW) sambil mencemuh “Jauhkan dirimu, demi Allah, bau untamu menyakitkan hidungku”, lalu salah seorang sahabat dari golongan Ansar menjawab “Demi Allah, bau unta Rasulullah (SAW) adalah lebih harum dari bau mu”. Maka pergaduhan tercetus dan turunlah ayat “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya.” (riwayat Muslim dan Imam Ahmad).
(Nota: Abdullah bin Ubay adalah ketua golongan munafik, dan bukanlah sesuatu yang aneh untuk golongan munafik dan musyrik menggunakan lafaz “demi Allah” di zaman Jahiliyah kerana mereka masih mengakui keesaan Allah sebagai Rabb yang berbeza cuma mereka syirik terhadap Allah dalam sembahan-sembahan mereka)
Pengajaran ayat:
Ayat ke-9 ini menekankan prinsip mendamaikan dua golongan Muslim yang bergaduh atau berperang.
Langkah pertama ialah kedua pihak yang berperang mesti menghentikan kekerasan ke atas satu sama lain. Siapa yang memulakan kekerasan tidak penting, apa yang penting perdamaian dan persefahaman harus segera dicapai.
Langkah kedua, jika satu pihak berkeras untuk berperang dan tidak mahukan penyelesaian maka pihak yang mahukan damai hendaklah disokong supaya pihak yang degil dapat ditundukkan kepada undang-undang dan ketetapan Allah (berdamai). Keutamaan menghentikan kekerasan sesama muslim adalah dari hadis Rasulullah (SAW):
“Bantulah saudaramu samada yang zalim atau dizalimi”. Seorang sahabat Anas r.a. terkejut lalu bertanya “Wahai Rasulullah, membantu yang dizalimi itu jelas tetapi bagaimana kami membantu mereka yang zalim?” Rasulullah (SAW) menjawab “Bantulah dia dengan menghentikannya dari menzalimi” (riwayat Bukhari dan Muslim)
Langkah ketiga, apabila pihak yang degil sudah berjaya ditundukkan, maka rundingan damai bolehlah segera dibuat untuk mencari penyelesaian kepada perselisihan dan mencapai kesefahaman semula.
Ayat 10. “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat..” Al-Hujuraat ayat 10
Sebab-sebab turun (asbabun nuzul):
Sama dengan ayat ke-9
Pengajaran ayat:
Ayat ke-10 ini adalah lanjutan kepada ayat ke-9. Ayat ini menegaskan bahawa orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara. Orang-orang yang beriman sedar bahawa konsep persaudaraan (brotherhood) dalam Islam itu penting dan adalah sesuatu yang ‘integral’ kepada kekuatan ummah. Ikatan persaudaraan dalam Islam haruslah diutamakan dan kedudukannya mestilah di atas ikatan-ikatan lainnya.
Ikatan persaudaraan dalam Islam adalah yang terbaik sifatnya yang merangkumi aspek kasih-sayang, tolong-menolong tanpa diskriminasi kelas, pangkat dan kedudukan juga tanpa tipu-menipu dan tindas-menindas.
Sabda Rasulullah (SAW) dalam beberapa buah hadis Baginda (SAW) mengenai persaudaraan:
Tolong menolong:

“Allah membantu hambaNya selama mana dia membantu saudaranya” (riwayat Muslim).
Dari Abu Musa Al-Asha’ri, Rasulullah (SAW) bersabda “Orang beriman itu ibarat sebuah bangunan, setiap satu menyokong yang lainnya” (riwayat Bukhari dan Muslim)
Kasih-sayang:
Dari Anas bin Malik, Rasulullah (SAW) bersabda “Tidak beriman (dengan iman yang sempurna) sesiapa di antara kamu sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya” (riwayat Bukhari dan Muslim).
Tidak tindas-menindas:
Dari Abu Hurairah, Rasulullah (SAW) bersabda “Sesiapa yang menipu kita adalah bukan di kalangan kita (muslim yang benar beriman)” (riwayat Muslim).
Tidak berlama-lama dalam perselisihan faham:

Dari Abu Ayub Al-Ansari bahawa Rasulullah (SAW) bersabda: “Tidak boleh seorang muslim itu memutuskan hubungan dengan saudaranya lebih dari tiga malam dengan berpaling daripadanya bila bertemu, sesungguhnya yang terbaik antara keduanya adalah yang dahulu memberi salam” (riwayat Bukhari dan Muslim).
Ayat 11. “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) nencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” Al-Hujuraat ayat 11

Sebab-sebab turun (asbabun nuzul):
Sebab turunnya bahagian awal ayat ini ialah bila sekumpulan sahabat dari bani Tamim mempersendakan Bilal, Salman dan Ammar yang kesemuanya adalah bekas hamba. Dalam ayat ini Allah (SWT) menegaskan kepada orang beriman bahawa di sisi Allah (SWT) Bilal, Salman dan Ammar adalah lebih mulia dari golongan yang mempersendakan mereka. Allah (SWT) tidak memandang asal keturunan mereka tapi pengorbanan mereka untuk agama-Nya.
Sebab turunnya bahagian “…dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk” dalam ayat ke-11 ini adalah sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadis yang dilapurkan oleh Abu Jubayrah ibn Ad-Dahhaak di mana satu ketika Rasulullah (SAW) pernah memanggil seorang sahabat dengan nama yang biasa beliau dipanggil, maka beberapa sahabat yang lain memberitahu Rasulullah (SAW) sebenarnya sahabat yang dipanggil itu tidak berapa menyukai panggilan tersebut. Maka bahagian ayat ini pun diturunkan tidak lama kemudian. Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud.
Pengajaran ayat:
Dalam ayat ke-11 ini Allah (SWT) menetapkan dua larangan dalam konsep persaudaraan dalam Islam.
1. Janganlah memandang rendah kerana sifat ini lahir dari perasaan riya’ dan ujub (bangga dan sombong serta menilai diri lebih tinggi dari orang lain dari sudut harta, pangkat, ilmu dan sebagainya). Namun begitu ada riya’ dan bangga diri yang dibenarkan iaitu bangga menganuti agama Islam dan mendokong segala prinsip dan syariat Islam dan berasa ujub (superior) dengan lengkap dan syumulnya Islam berbanding dengan agama yang lain, dan tidak merasa malu-malu atau rendah-diri mengenainya. Inilah bangga diri yang dibenarkan dan digalakkan.
2. Janganlah mengamalkan tabiat gemar mempersendakan orang lain. Termasuk empersendakan ialah menghina, memalukan, melekehkan, mengutuk, mencaci dan seumpamanya. Tabiat memannggil dengan panggilan yang buruk, ‘character assassination’ dan sebagainya sudah menjadi lumrah dalam suasana hidup zaman sekarang. Tidak mustahil kalau ianya berjaya dibuang dalam kehidupan sehari-hari maka tidak banyaklah benda yang hendak dicakap atau dituliskan.
Beberapa buah hadis Rasulullah (SAW) sebagai pesanan:

Dilapurkan oleh Saalim berkata ayahnya bahawa Nabi (SAW) bersabda “Sesiapa yang menutup aib saudara muslimnya maka Allah akan menutup aibnya di akhirat” (riwayat Tirmizi disahihkan oleh Al-Albani).
Dilapurkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah (SAW) “Seorang muslim itu ibarat cermin kepada yang lainnya, bila dia melihat sebarang kekotoran maka segera dia menyapunya” (riwayat Tirmizi dan Abu Daud).
Ayat 12. “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” Al-Hujuraat ayat 12
Sebab-sebab turun (asbabun nuzul):
Sebagai lanjutan kepada ayat ke-11
Pengajaran ayat:
Dalam ayat ke-12 ini Allah (SWT) menetapkan satu lagi larangan dalam konsep pembinaan persaudaraan dalam Islam. Dua larangan awal dalam ayat ke-11 adalah berbentuk zahir berbeza dengan sifat prasangka dan mengintip-intip dalam ayat ke-12 yang bersifat tersembunyi.
3. Ayat dimulakan dengan larangan Allah (SWT) terhadap sifat bersangka-sangka (dengan persangkaan buruk – su’ul dzan). Persaudaraan yang kukuh mustahil dapat dibentuk kalau wujudnya sikap bersangka-sangka buruk terhadap satu sama lain. Dari Abu Hurairah, Rasulullah (SAW) bersabda “Jauhilah bersangka-sangka kerana ianya satu penipuan dalam berkata-kata” (riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud). Syak wasangka yang dizahirkan dengan ucapan mudah tergelincir kepada fitnah dan mengumpat (ghibah). Dapatlah disimpulkan bahawa keburukan fitnah dan mengumpat (ghibah) itu sebenarnya adalah berakar umbi dari sifat-sifat syak-wasangka.

Seorang Islam yang beriman seharusnya tidak menzahirkan sebarang anngapan buruk terhadap saudaranya sebagaimana pesan sebuah hadis dari Rasulullah (SAW) yang dilapurkan oleh Abu Hurairah “Allah (SWT) tidak akan melihat niat buruk seseorang itu sehinggalah dia menyuarakannya atau melakukannya”. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Dilapurkan, berkata Umar Al-Khattab “Bila saudaramu berkata sesuatu yang mencurigakan, fikirkanlah tentang yang baik-baik sahaja dan engkau akan mendapat penjelasan yang baik-baik juga” (riwayat Ibnu Katsir dan Imam Malik)
Ayat ke-12 ini diakhiri dengan larangan mengumpat (ghibah, berbicara buruk) yang lahir dari perasaan syak-wasangka. Perbuatan ghibah ini adalah antara faktor utama yang meruntuhkan persaudaraan (ukhwah) sesama Islam. Rasulullah (SAW) pernah ditanya “Wahai Rasulullah, apa sebenarnya Ghibah itu?” Rasulullah (SAW) menjawab, “Iaitu berkata sesuatu tentang saudaramu yang dia tidak suka”, ditanya lagi “Bagaimana kalau ianya benar?” Rasulullah (SAW) menjawab “Sekiranya apa yang kau katakan itu benar engkau telah melakukan ghibah dan sekiranya tidak engkau telah melakukan fitnah”.
AlhamduliLlah, sekian saja tafsir ringkas untuk ayat 9-12 dari surah Al-Hujuurat, semoga ada manfaat untuk yang bertanya dan warga fikrah lainnya.
Sumber : Tafseer Soorah Al-Hujuraat, Abu Ameenah Bilal Philips,
Tawheed Publications, Riyadh.

KEMATIAN ITU PASTI!! [2025] - AKU MENULIS LAGI PADA 2026

    أسلام عليكم Assalamualaikum dan salam sejahtera.. ~Secara tepatnya, kali terakhir aku berjaya mencoret di sini adalah pada 22 November 2...