Cari Blog Ini

Khamis, 19 April 2012

Beratnya rasa bersyukur..

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua bloggers yang dirahmati Allah. Hari ini tepat 19 April 2012, membawa erti seribu makna kepada individu mengikut apa yang telah dilalui masing-masing. Allah telah mengurniakan rezeki mengikut apa yang telah diperuntukkan tanpa pilih kasih walaupun hakikatnya manusia tetap tidak akan bersyukur dengan segala nikmat yang telah dikurniakan kepadaNya.

~Selawat dan salam kepada junjungan besar, baginda Rasulullah s.a.w, yang dirindui setiap masa. Sesungguhnya hanya kematian sahaja yang dapat menemukan kita dengan junjungan besar kita andainya kita sentiasa berpegang kepada al-Quran, menuruti segala perintah Allah di dalamnya, dan sentiasa mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. Beribadat biar ikhlas kerana Allah. Dan sesungguhnya, jadikan kerja yang dilakukan sekarang ini, sebagai jalan mencari keredhaan Allah.

~Sedikit sedutan dari portal iluvislam untuk sedikit renungan buat kita yang tidak mudah mengucapkan syukur..


"...dan tidaklah diuji seseorang itu melainkan dengan kesanggupan..."
Satu ungkapan yang perlu sentiasa kita ingat bila diuji adalah kita bukan tuan dan kita juga bukan Tuhan.
Setiap kali diuji kita tidak berhak bertanya pada diri mahupun pada siapa sahaja kenapa kita dipilih untuk diuji. Hakikatnya itulah kehidupan. Tidak indah tanpa ujian. Sebagai contoh, bila tiba hari raya 3 ekor ayam daripada 10 ekor ayam dalam reban telah dipilih untuk disembelih. Ayam yang dipilih itu tidak berhak bertanya kenapa dia yang dipilih untuk disembelih, kenapa bukan ayam yang lain. Sebab dia bukan tuan. Hanya tuannya yang berhak membuat apa sahaja yang dikehendaki.
Sudah menjadi lumrah alam bila diuji kita akan mencari Tuhan. Sedangkan yang bukan islam pun akan sebut "Oh my God" dan perkataan-perkataan lain yang merujuk kepada "Oh Tuhan". Sebagai umat Islam kita akan memohon petunjuk daripada Allah S.W.T setiap kali kita ditimpa musibah dan kesakitan kerana hanya Dia yang memahami hati kita, hanya Dia yang sentiasa ada tidak kira siapapun kita, dimana kita berada.
Ingatlah, kita bukan pemilik. Sampai waktu dan ketika kita mesti memulangkan kembali apa yang dipinjamkan sementara untuk kita. Allah jualah pemilik segala yang diciptakanNya. Terkadang kita merasa kitalah yang paling hebat diuji. Selepas satu ujian, menyusul pula ujian lain yang lebih berat. Sedangkan orang lain lagi berat diuji, bertimpa-timpa. Kenapa kita memikirkan kaki kita yang tidak berkasut sedangkan ramai lagi yang tidak berkaki? Fikirkan kembali dosa dan kesalahan yang pernah kita buat disebalik ujian yang ditimpakan untuk kita.
Sentiasalah bersyukur atas rahmat dan ujian yang diberikan Allah. Fikirkan hikmah yang diaturkan Allah disebalik ujian yang ditimpakan buat kita. Sentiasa memohon diberikan hati yang kuat untuk menghadapi ujian tersebut sbb kita bukan manusia yang sempurna yang dapat menempuhi ujian itu dengan cara yang paling tenang.
"Ya Allah, dunia yang Engkau hamparkan ini indah, tetapi durinya sering menusuk. Nikmat yang Kau berikan takkan dapat untukku menghitungnya. Tetapi ya Allah, hambaMu ini sering alpa dan lena dek buaian mimpi yang tak sudah. Ya Allah, ujian yang Engkau berikan terasa begitu memeritkan, kadangkala ianya menguji kesabaran dan keimananku yang terkadang nipis, senipis kulit bawang. Ya Allah, jika ini ujian yang harus untukku lalui, bantulah aku. Agar aku tidak tersasar dari jalanMu. Agar aku bersyukur dengan ujianMu ini ya Allah"
Buat insan yang sedang diuji, bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama-sama kamu. Percayalah, Allah mendengar segala tangisan dan kesedihanmu itu. Ingatlah ujian Allah ini bukan satu penyiksaan, tetapi hakikatnya engkaulah insan yang terpilih. Bersyukurlah kerana diantara yang lain kita insan terpilih untuk diuji sedangkan orang lain langsung tidak tersenarai. Besarnya kasih sayang Allah pada kita. Engkaulah insan yang layak menerima rahmat dan keredhaanNya, sekiranya engkau sabar dan redha.

Selasa, 3 April 2012

April TAHUN 2012

Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua bloggers yang dirahmati Allah. Marah bukan beerti benci, marah kadangkala tandanya sayang yang mendalam. Adapun marah yang menunjukkan benci, adalah marah yang mengikut nafsu.

~Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Raja kepada segala raja. Raja yang menguasai hari pembalasan. Tuhan yang layak disembah. Dan tiada tuhan melainkan Allah jua. Selawat dan salam buat junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.aw.. Ucapan setinggi penghargaan tidak mampu untuk menandingi pengorbanan baginda kepada umat Islam. Kalam Allah dialun melalui lidah baginda.

~3 April 2012. Beerti, ini sudah menjengah ke bulan 4 dalam kalender masehi. Suku tahun sudah dilalui. Pengalaman membezakan kita pada ketika ini. Adapun guru yang berada di pedalaman, menikmati keperitan berjuang. Berjuanglah dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan dunia. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang tersurat dan tersirat dalam hati manusia dan apa yang diperlakukannya tanpa tertinggal sedikit pun. Kuatkan hati, kuatkan iman dan tetapkan pendirian. Berjuang memang susah.. Dan jangan mudah mendabik dada setelah berjuang. Perjuangan kita masih belum selesai sehingga ajal menjemput kita pulang ke rahmatullah...

~Bulan April ini juga bula yang terkenal dalam sejarah lipatan seorang guru. Bulan ini, ramai guru di pedalaman akan mencuba nasib untuk berpindah. Bulan eg-tukar. Dan ketahuilah, semuanya adalah kehendak Allah jua. Rezeki dari Allah juga. Andainya dapat berpindah, itu tandanya doa kita di dengari. Andainya tidak berjaya, jangan dimaki mereka yang menguruskannya. Bukankah kita hanya mencuba dan Allah yang tentukan? Berserah kepada Allah dan usahakan sehingga berjaya. Dan yang paling menghairankan aku, kalau dapat pindah, sudah semestinya tiada ucapan terima kasih pun kepada mereka yang menjayakan perpindahan kita tadi. Ini salah satu budaya tidak mensyukuri nikmat Allah..Kalau dah dapat berpindah nanti, ingat-ingatlah untuk berterima kasih.

~Bagi yang suka memaki, yang suka menghuru-harakan... beringatlah. dunia ini bulat. Ada masa kita di atas, dan ada masa kita di bawah. Makilah semahu mana pun. Ucapan terima kasih diucapkan kerana berjaya memberi saham kepada orang yang di maki tadi secara percuma. Kalau difikirkan balik, SIAPA YANG KITA MAKI? KALAU MANUSIA YANG KITA MAKI, SIAPA YANG MENCIPTAKAN MANUSIA ITU? SUDAH SEMESTINYA YANG MENCIPTAKAN MANUSIA ITU LEBIH BURUK DARI MANUSIA YANG KITA MAKI KERANA TELAH MENCIPTAKAN MANUSIA SEPERTI ITU.

~Balik-balik fikirkanlah. Allah telah menciptakan kita (manusia). Hendak dilemparkan kepada siapa kemarahan kita ? Balik-balik, bersabar lebih baik kerana itu adalah ujian dan dugaan dari Allah.

~Hati teringin nak balik ke Kuching.. Nak berjumpa dengan ibunda dan ayahanda.......... rindu sekali

Khamis, 29 Mac 2012

Detik pengakhiran Mac 2012

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua bloggers.. Diharapkan semua memperolehi hidayah dari Allah untuk terus berada dalam jalan yang lurus...

~Hari ini dah 29.03.2012. Beerti ada lagi 3 hari yang perlu kita semua lalui untuk menghabis bulan Mac 2012. Apa yang telah berlaku sepanjang Januari hingga Mac, sudah tidak dapat diubah.. Maka, setidaknya.. dalam tempoh masa itu, Allah telah memberikan kita peluang untuk beramal ibadah, menurut segala perintah Nya dan meninggalkan segala laranganNya.. Adakah kita mematuhinya? Tepuk dada, tanya iman.

~Aku pun terfikir, bukan mudah untuk update blog ini. Yalah, dengan kekangan kerja, anak dan rumahtangga, sedikit sebanyak merencat keinginan untuk mencoret kata-kata. Tapi, kalau keinginan kuat, maka segalanya akan dapat kita buat. Bak kata pepatah Melayu, " hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih". Kalau hendak, tak boleh juga kita menidakkan keinginan kita. Aku mengharapkan, agar Allah memberikan aku kekuatan supaya terus kekal seperti sekarang.. Biarpun beban tugas menjadi kekangan, keluarga tetap menjadi keutamaan. Aku seorang insan yang lemah. Seorang ketua keluarga, seorang imam kepada isteri dan anak-anakku. Sebagai ketua, sudah menjadi kepastian, memberikan contoh yang terbaik untuk anak-anakku supaya sentiasa patuh dan mentaati Allah setiap masa. Bukan mudah, tapi biarlah kita memohon pertunjuk dari Allah agar diberi kekuatan dalam mendidik anak-anak.

~Hmm.. mengeluh seketika.. Malam tadi , tidurkan bagai tak cukup. Entah di mana silapnya. Bila isteri mengejutkan aku untuk bersolat subuh, aku terasa macam baru tidur saja. Masakan tidur begitu sekejap? Mungkin aku perlukan rehat.. Rehatkan minda, rehatkan badan. Minggu lepas sahaja, sampai hari ahad bekerja. Bukannya susah sangat pun, tapi yalah.. otak perlukan rehat juga..

~Silat... alahai.. bila lagi aku nak balik bersilat ni?

Selasa, 27 Mac 2012

Biarlah berhemah, biarlah berbudi bahasa

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua bloggers yang dihormati sekalian. Syukur alhamdulillah, dengan limpah dan kurniaan Nya, aku diberikan peluang sekali lagi untuk mencoretkan kata-kata dalam blog aku. Adalah diingatkan, jika tidak suka dengan gaya penceritaanku, please.. tiada paksaan untuk anda membacanya..

~Fuh~ tersangatlah pening kepala sekarang. Mungkin tekanan darah meningkat. Bebanan kerja, dengan pelbagai karenah.. memberikan aku pengalaman terbaik dalam menguji tahap kesabaran aku sebagai orang Islam. Ternyata, Allah memudahkan segala urusan-urusan aku untuk hari ini.

~Budi bahasa, biarlah diterapkan dalam kehidupan seharian. Dalam menjalani tugas sebagai seorang guru, pelbagai dugaan bakal kita tempuhi. Dan adakalanya, kita terlepas pandang dalam memiliki satu ilmu yang paling tidak kurang pentingnya dalam etika profesion kita iaitu berbudi bahasa. Kalaulah kita berbudi bahasa, sudah pasti kita akan disambut dengan penuh kehormatan. Seelok-eloknya, jangan mudah meletakkan kemarahan sebagai tunjang dalam kehidupan.

~Amalkan dalam kehidupan. Memang kadang-kadang masalah kita ini agak berat. Tapi, dengan mengherdik orang lain untuk medapatkan hak kita, sudah pasti merencatkan lagi perhubungan kita dengan pegawai yang berkenaan. Kalaulah kita meminta pertolongan, sudah pasti kita akan mendapat pertolongan yang sepatutnya jika diminta dengan berbudi bahasa. Lebih-lebih lagi jika jawatan kita masih belum dipastikan dalam perkhidmatan. Kita hendak bekerja lama. Bukannya untuk sehari dua hari. Tapi, kemungkinan sampai tamat perkhidmatan. Jadi, gunakanlah bahasa yang baik untuk tujuan yang mendesak.

~Memanglah tak dinafikan, agak payah bergerak tanpa duit.. Aku pun pernah juga mengalami nasib yang sama. Masuk Januari, April baru dapat gaji. 4 bulan tak bergaji. Pinjam sana sini. Malu memang malulah, tapi bila difikirkan lagi, apa yang kita khuatirkan? Bila gaji dah keluar, duit habis bayar hutang sahaja? Fikir lagi, kan hutang itu dikira duit dari bulan-bulan gaji terdahulu juga kan? Di mana salah silapnya corak berfikir kita? Renungkan.. berhutang bukan jalan terbaik, tapi jika keperluan mendesak, sudah pastinya kita meminjam dahulu untuk memudahkan kita melakukan kerja. Kalau dah dapat gaji, bayarlah kesemuanya.

Nak pegi Long Busang kena jalan 1 hari 1 malam direct
~Nak senang dengan cepat itulah masalah kita. Jangan fikir susah kita sahaja. Pernah kah kita keluar dari zon selesa, ke zon kesengsaraan? Renungkan, gaji guru di Indonesia, walaupun terletak di pedalaman (Long Nawang), gaji seorang Kepala Guru (Guru Besar) cuma 3 juta rupiah. Tukar balik ke dalam duit Malaysia, RM 1k saja. Bandingkan dengan gaji guru biasa di pedalaman 3, RM4k. Kalau dibandingkan perjalanan, hampir sama saja dari Samarinda hendak ke Long Nawang kena bertukar 3 jenis kenderaan (darat, air, udara), tiada pula elaun pedalaman seperti kita di Malaysia. (Nak naik kapal terbang pun kena rasuah, siapa yang bayar lebih tinggi, dapatlah penerbangan twin otter). Tetapi, di atas sendatnya keperluan pekerjaan, di terima juga kerana kesempitan hidup.

~ini kan pula kita dari Long Lapok nak ke Miri.. (suatu ketika dahulu, aku juga ulang alik Miri - Long Lapok daa..).. Tambangnya RM 40. Elaun pedalaman RM 500. Belanja, biarlah serupa dengan pedapatan. Ada lagi yang lebih susah dari itu. Yang perlu sewa satu kereta macam di Lio Mato, Long Makabar, di Baram.. Di Belaga, Lusong Laku, Long Busang.. Di Daro, Pulau Bruit,. Di Kuching , Telok Melano, Ulu Bemban. Semuanya perlukan ongkos.. Di situlah letaknya kebijaksanaan kita sebagai guru dalam mentadbir urus kewangan diri. Ini pula nak mengajar anak-anak tentang ekonomi..

Dari Jambatan Di Long Lapok
~Alahai.. begitu rendahnya mutu akhlak kita jika mudah melatah.. Begitu rendahnya kita bila nafsu amarah kita mendahului akal kita.. Gunakan akal. Waras bila berbicara.. Biarlah berakal, kaya dengan budi bahasa.. Dan sentiasa tenang menghadapi segala dugaan. Dan bila tiba masalah melanda, ingatlah.,... Allah sentiasa bersama kita...insya Allah..

Jumaat, 23 Mac 2012

Imbasan memori.. 2009

Assalamualaikum... teringat sewaktu di pedalaman Sarawak dahulu, suatu ketika di Belaga.. aku memaparkan sedutan akhbar untuk tatapan di blog aku. Rupa-rupanya, 1 tahun kemudian, aku pula berada di tempat diceritakan. DI MARUDI!!

Hebatnya kuasa Allah..Once berada di Belaga, sekarang di Baram. .. rentetan kenangan di Belaga.. thanks Belaga.. i've been there for my life...

Jumaat 23. Mac 2012

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua bloggers yang aktif mahupun yang sekadar mencuri pandangan melihat ke arah monitor untuk membaca blog aku untuk mencari kesalahanku dan terus "print screen" lalu dihantar kepada pihak berkenaan untuk tindakan. Semoga Allah merahmati tindakan kalian. Aku dahului dengan ucapan "aku maafkan". Tapi, adakah Allah akan memaafkan kau? Sebab Allah berfirman melalui lidah kekasihNya, Muhammad s.a.w, "orang yang menutup aib saudaranya di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di akhirat". Orang sebegini akan dibukakan segala aibnya kerana terlalu banyak mengaibkan orang lain.




~Alhamdulillah.. sinar ketenangan sudah semakin aku temui. Alhamdulillah.. kembali semula kepada apa yang dicari selama ini. Kebahagiaan senang diungkap, namun terlalu sukar untuk dilaksanakan dalam hidup. Terlalu ramai yang "bahagia" dalam konteks duniawi. Namun kekurangan "bahagia" dari segi perilakunya. Kekurangan bahagia dalam erti kata sebenar. Mempunyai pelbagai keperluan di dunia. Namun hati tetap kosong. Begitulah yang aku hadapi sejak sebulan lepas. Mencari kebahagian yang paling aku idamkan, hanyalah dengan meluangkan "masa" dalam hidupku (yang sepatutnya diluangkan senantiasa) dalam mengingati Allah di dalam hati, diucap dengan lidah, dan dilakukan dengan amalan.

~Lama sudah aku tidak bangun untuk berjumpa dengan Nya tatkala manusia sedang tidur.. Aku merasakan sejak menjawat jawatan di pejabat , menyukarkan aku untuk bangun pada sebelah malamnya. Ya Allah.. adakah pekerjaan yang aku lakukan sedang ini, memudaratkan cintaku pada Mu? Astaghfirullah.. Ya Allah, ampunilah, kasihanilah dan maafkanlah Ya Allah.

~Laman muka buku (Facebook) aku buka setiap hari untuk mencari hiburan. Hiburan dalam bentuk apa ya? adakah semata-mata untuk mencuci mata yang sedia ada rabun? Kadang-kadang terfikir mengapa perlu banyak aib manusia kita sebarkan dalam wadah seperti ini? Adakalanya, aku terfikir, setiap sesuatu kita buat di dunia, adakah terlalu jijik di mata manusia? Beertinya juga, manusia sentiasa inginkan kemenangan biarpun caranya salah!

~Ada sejenis manusia yang sentiasa terletak dalam kategori "keldai" (episod keldai lagi). Setia pada tuan, tapi pemalas. Bila ada habuan, kerjanya seolah-olah benar hakikatnya hanyalah "abu". Mengapa ya manusia tidak berfikir akan tindak tanduk akan bersangkut paut pada "hablu minnasnya" (hubungan sesama manusia)? Manusia seperti sentiasa mencari kesalahan orang lain untuk menguatkan dirinya. Banyak dah aku temui. Perasaan hasad dengki itu menjadi sebahagian diri. Orang membina perpaduan, si anu tu pula buat fitnah dan macam-macam lagi. Ayoyo..

~Ke agaknya arah tujuan dalam hidupnya? Aku tidak pernah mendoakan sesiapa untuk keburukan. Alhamdulillah. Jika diperlakukan seperti mana pun, aku tidak putus mendoakan kesejahteraan padanya. Allah Maha Mengetahui apa yang tersirat di dalam hatiku. ...

~ Ke mana arah yang harus aku lalui,.. adakah masih di sini..? Perit tak terhingga.. Aku mengharap padaMu Allah, tunjukkanlah aku jalan menuju cahaya..sesal tak terhingga.. kerdilnya aku disisiMu..

~Kes terbaru aku baca dalam akbar, seorang gadis berusia 15 tahun, melarikan diri dari rumah dengan membuat aksi penculikan.. Nauzubillah.. aku terfikir apakah salahnya ibu bapa tersebut sehingga diperlakukan anaknya sedemikian rupa? Ya Allah.. bagaimana Muhammad Khalid Hafizi seusainya dia meningkat remaja kelak? Aku takut aku tidak akan mendidik Khalid seperti yang dirancangkan... Kita hanya mampu merancang, tapi Allah sudah tentukan. Walaubagaimanapun, tugas seorang ABIE tetap aku lakukan dengan berhati-hati supaya dirahmati Allah jua..

~Dari segi kehidupan sebagai seorang guru? Ya, aku masih lagi seorang guru. Anak murid aku bertebaran di serata muka bumi Allah. Alhamdulillah.. (bukan sekadar anak murid di kelas oh, aku ada anak murid silat juak). Semoga semuanya sukses selalu dan sentiasa dilimpahi rahmat Allah. Bagi anak muridku yang bakal menimang anak, pesanan aku, "jagalah anak ya.. ya anugerah Allah..amanah Allah".

~Guru silat, memang asam garam akan bergaduh sesama sendiri, tapi hakikatnya hati masih bertaut. Bergaduh macam manapun, hatinya tetap sayu melihat keadaan saudaranya jika berlaku apa-apa. Tapi, janganlah sampai jatuh menjatuh. Janganlah sampai menggadai iman untuk jawatan yang tak seberapa itu. Kalau inginkan perpaduan, kesatuan dan sebagainya, carilah di jalan yang tengah. Bukan di kiri atau kanan. Kalau susah nak bersatu, kembalilah menjunjung al-Quran dan as-sunnah. Teringat pula akan peperangan di antara Saidina Ali r.a dan Muawiyah.. Sudah berperang dan ramailah orang Islam gugur.. penyelesaiannya.. satu perdamaian dilakukan. Dalam keadaan sekarang yang sedang berperang politik, gi mana ya nak selesaikan percakaran?

~Dan aku dapat rasakan, yang bergaduh itu anak-anak murid, yang tua masih lagi bersahabat walaupun berlainan pertubuhan. Perpaduan apa lagi nak dicanangkan? Kita dah bersatu dalam satu agama yakni Islam. Apa lagi?

~Aku dah tak ambik kisah sangat apa yang berlaku di luar sana jika melibatkan pertubuhan silat. Aku hanya mengerti perpaduan yang paling aku idam-idamkan adalah perpaduan ummah. Jangan canang agama untuk pertubuhan. Aku hormati semua guru-guru gayong. Semuanya mempunyai ilmu biarpun bengkung di anugerah. Biarpun orang kata, ilham menyusun zahir semula. Tapi, itu ilmu Allah juga kan? Sapa berani kata dia cipta ? Kalau bukan Allah punya ilmu, kita tak diangkat seperti mana kita sekarang. Sedarlah..

~Sebab itu aku mahukan perpaduan Gayong di Sarawak tidak diganggu gugat. Aku tak mahu ada yang bawa pertubuhan lagi yang berlesenkan gayong untuk menjalani aktiviti di Sarawak. Alasan senang sahaja, biarlah jalannya satu sahaja. Kereta yang lalu-lalang itu lain cerita. Biarlah Gayong Malaysia sahaja di Sarawak. Dan biarlah orang Sarawak mengendalikannya. Ada juga waris orang Sarawak yang menjadi pembela kepada bangsanya. Tak semua orang Sarawak duduk atas pokok. Itu dogma orang yang bodoh sahaja.

~Dan jika mengaktifkan gayong lain selain Gayong Malaysia, sila berhadapan dengan Pak Haji Hanif dulu...minta izin. wokeh?

~Tutup cerita silat.. kita kembali ke dunia yang nyata. Anak aku dah membesar.. Berat sekarang dah mencecah 6.4kg. hehe.. syukur alhamdulillah.. Khalid dan memanjang sebanyak 12 cm sejak sebulan lepas. Dah nak pandai berbual-bual.. =)

Selasa, 20 Mac 2012

"________________________________________ "

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Tak tahu hendak diletakkan apa sebagai tajuk post ini. Setakat ini, fikiran aku kelabu. Tak tahu hendak ditulis apa sebab kekurangan idea. Dah hampir memasuki bulan April 2012. Tak lama lagi menuju ke Mei. Macam-ai macam aktiviti dah dilaksanakan. Namun, hati masih belum ketemui 'rahsia' atau 'kunci' kepada maksud mimpi.

~Kosongnya diri tidak dihiasi IMAN dan TAQWA.. begitu jauhnya diri dari Allah.. menguatkan lagi kelemahan pada diri. Bila hati tidak mendampingi alunan ayat-ayat cinta, maka beginilah jadinya.. Jika hati tidak "bersama-sama" ketika menyembahNYa..terasa kosong dalam diri. Menguatkan hati dengan zikrullah pun agak payah. Ya Allah, lindungilah aku, sayangilah aku, ampunilah aku dan maafkanlah aku...

~Nafsu beraja, akal dihamba. Iman terpenjara, .. Ya Allah..bantulah aku pada saat ini. Aku memerlukan pertolonganMu untuk membebaskan hati dari cengekaman nafsu..

~Bermonolog untuk menghilangkan kegusaran dalam hati.. gusar memikirkan kenapa hati begitu keras untuk menerima pelbagai kebaikan. Hmmm~

~Tiada satu kerja yang dilakukan terasa nikmatnya sebelum ini.. Hmm~

~Esok bagaikan tiada bagiku.. tiada sinar harapan lagi

KEMATIAN ITU PASTI!! [2025] - AKU MENULIS LAGI PADA 2026

    أسلام عليكم Assalamualaikum dan salam sejahtera.. ~Secara tepatnya, kali terakhir aku berjaya mencoret di sini adalah pada 22 November 2...