أسلام عليكم
~2 Bulan masa yang sangat panjang untuk menjana idea, meluahkan perasaan yang membungkam di dalam hati, dinisbahkan dalam perkataan dicatitkan dalam blog ini. Cuma sekarang ini, hati tidak telus untuk berbicara kerana pelbagai hati perlu dijaga. Hadam dan ingat.
~Macam-macam karenah manusia termasuk aku dalam memainkan peranan dalam pementasan dunia ini. Sekali lagi diingatkan bahawa, dunia ini hanyalah pinjaman. Akhirat kan kekal juga. Sebab itu, alim ulama zaman dahulu menitik beratkan talkin dan mengajak bergotong-royong dalam memberikan khidmat bakti kepada masyarakat dalam bab pengurusan jenazah. Talkin itu diibaratkan peringatan kepada mereka yang hidup yang turut menghantar jenazah ke tempat persemadian yang terakhir. Ini membantu memberi peringatan kepada manusia. Lahiriyah manusia ini adalah lalai. Maka hendaklah selalu diberikan peringatan supaya tidak sentiasa sesat.
~Hidup manusia begini umpama lalang. Sukar berpendirian teguh dan sentiasa berbolah-balik hatinya. Bila terasa "kuasa" terancam dan kedudukan bakal hilang, mulalah mengayuh bahtera ke jalan bertentangan semata-mata menyelamatkan maruah yang telah rabak oleh kebejatan ulah sendiri. Kadang-kadang, kita hanya melihat sahaja perbuatan ini dan tidak mampu nak menegur kerana ramainya pendukung kepada mazhab lalang ini. Sukarnya mengukur kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kerana istilah kesetiaan sudah tidak wujud dalam dunia yang penuh dengan ustaz palsu. Semua mentafsir ayat al-Quran mengikut nafsu sendiri maka jadinya pendusta agama yang bertopengkan kebenaran yang sejati.
~Jalan kesetiaan pada zaman ini berliku-liku. Kadang-kadang kebenaran juga terlalu samar dan ralit. Oleh itu, orang lebih suka memilih popular berbanding kebenaran. Ini tiada kaitan dengan politik semasa kerana ini adalah catitan dari diri aku sendiri yang bergelumang dengan suasana berburuk sangka menjadi hujan kehidupan.
~Perit menanggung ketirisan dalam suasana real-politik kehidupan. Dulu bukan main lemah lembut dalam berbicara, namun sesudah berjawatan, ego naik hingga ke rongga mata. Kalau sampai sudah ubun-ubun barangkali, kita yang rendah ini pun dah tak nampak lagi. Sukar meletakkan antara hubungan kerabat dengan etika kerja. 8.00 pagi hingga 5.00 petang, ada waktu kerja. Bermula Isnin hingga Jumaat. Lebih dari itu, kira tambahan masa kerja. Budaya ini mungkin tak sama bagi setiap semua orang. Tapi, bagi yang berkeluarga ianya perlu diterapkan supaya kita tak jadi hamba kerja dan lupa keluarga.
~Hati pun dah semun lantaran"cinta akan dunia". Sebab itu kadang-kadang aku mengambil sikap berdiam diri.Bukan kerana benci atau tewas, tetapi merancang strategi untuk mengatasi kemelut yang melanda dalam hidup.
~Asalnya macam-macam hendak ditulis, namun seperti biasa, keterbatasan dalam menjana idea yang sesuai tanpa melibatkan hati dan perasaan menyebabkan idea yang datang sirna oleh masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan