Assalamualaikum dan salam Sejahtera;
~Kadang-kadang kita ini merasakan masalah orang, Adalah masalah mereka. Dan paling-paling pun, bolehlah kita ambil mudah sebab bukan masalah kita pun. Sedangkan Rasulullah s.a.w ajar kita untuk sayang kepada saudara kita. Ambil tahu tentang mereka. Allah arahkan perdamaian antara dua orang islam. Cari jalan perdamaian jika bertelegah.
~Demi Allah, bukan mencari simpati. Bukan mencari publisiti murahan. Bukan nak buat 'content' bagi raih perhatian. Tapi, sekadar perkongsian dari sudut lelaki marhen macam aku. Seorang guru biasa, yang sentiasa mencari Redha Allah dalam kehidupan. Penceritaan pihak pertama mencerminkan kendiri, perasaan dan juga emosi aku dalam menerobos alam kehidupan ini. Mungkin bermanfaat kepada orang lain bila tiba masanya.
~BEBAN~
~Menubuh, mengasas dan mengembangkan satu seni yang menjadi sinonim kepada orang Melayu terutamanya di Semenanjung Malaysia, yakni SILAT; memang menjadi satu tugas dan tanggungjawab yang perlu dipikul aku kerana amanah yang telah diberikan oleh guru. Silat memang sinonim dengan hidup aku. Aku menjadikannya sebagai rutin dan silat ini diibaratkan sebagai sebahagian lain dalam hidup aku. Pendek kata, silat dah diibarat macam nyawa kedua aku. Mungkin dari segi psikologi, berdampingan dengan ilmu silat dah diibarat macam rutin harian.
~Aku meyakini setiap dari tindak tanduk dalam persilatan aku sebagai pentas dakwah dan tarbiyyah kepada murid-murid aku. Dan semestinya, setiap tindak tanduk dalam persilatan, lebih menjurus kepada BEKALAN dan AMALAN di alam sana. Aku yakin, setiap ilmu yang aku curahkan dari tahun 2000 sehingga sekarang dalam persilatan, akan dimanfaat sebaik-baiknya oleh semua anak murid aku.
~Tempoh 23 tahun bukanlah terlalu lama berbanding dengan orang lain. Masih ramai lagi guru-guru tua yang telah mencurahkan khidmat bakti kepada Masyarakat untuk menyebarkan dan mengembangkan mana-mana aliran persilatan. Segala sumbangan, ditambahkan lagi dengan pengurusan pertubuhan, memang sinonim dalam hidup aku. Pendek kata, aku terbiasa mengurus dan mentadbir SSG di negeri Sarawak.
~Oleh itu, masa banyak aku korbankan demi persilatan ini. Ya, bukan sejam atau 2 jam, malahan seluruh dari hidup aku memang berfokus kepada Pembangunan silat, pembentukan sahsiah anak-anak murid dan juga kelancaran pentadbiran. 24 jam! Buka mata, seusai ibadah, teruskan dengan pemfokusan kepada Silat. Anak-anak aku membesar di dalam gelanggang.
~2008 ~ sejak tertubuhnya PERTUBUHAN SILAT SENI GAYONG MALAYSIA SARAWAK, aku SETIA dengan USAHA aku untuk membangunkan Silat Seni Gayong. Aku tidak pernah melobi untuk jawatan tertinggi. Aku dengan SETIAUSAHA memang sinonim. Tak pernah mengeluh, teruskan berkhidmat. Menongkah arus, badai dan ombak BOBROK manusia terutamanya orang silat sendiri. Diasing dipulau oleh rakan-rakan seperjuangan, namun aku terus kekal dengan USAHA untuk bantu anak-anak Gayong di Sarawak mendapatkan yang ilmu yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara. 2008 tu kira macam HALAL-lah.. aku dah buka gelanggang sejak 2003 lagi.
~1998 - aku mula menapak dalam persilatan. Ikut aliran Silat Sarawak secara bergelanggang dan rasmi. Namun, Langkah persilatan sebenarnya dah bermula awal sejak 1990 lagi. Tapi, belajar aliran Silat Sarawak bermula tahun 1998. Pada Ketika ini, mak aku memang MELARANG untuk belajar silat. Mak tak suka aku belajar silat atas alasan akan menyalahgunakan silat. Aku mintak sungguh-sungguh untuk belajar. Puas memujuk, jawapan tetap tidak. Namun, tahu-tahu dah ada baju Silat yang mak tolong buatkan. Terima kasih mak.
~Mak support dalam bangkangan. Lepas ya, mak tak pernah larang. Tapi mak sentiasa beri nasihat. Gunakan silat untuk kebaikan. Mak terus menyokong. Itulah tonggak kekuatan aku dalam bidang persilatan. Sampai ... dalam saat mak kurang Sihat... aku masih lagi serius bersilat...
~Bila tahu mak ditimpa masalah kesihatan yang sangat serius.. barulah aku Terasa BEBAN!! Ya beban rupanya yang aku pikul menyebabkan aku hilang saat-saat yang berharga. Saat menjadi seorang anak.
~Lantas, pada saat itu.. aku ambil Keputusan untuk BEREHAT dari SILAT. SEKETIKA atau SELAMA-LAMANYA aku tidak pasti.
~MASA~
~Aku perlukan masa untuk bertenang. Perlukan masa untuk berkhidmat kepada mak aku. Aku perlukan masa untuk aku korbankan kepada insan yang paling banyak menyokong, meneguh dan membangunkan aku dalam hidup ini.
~Persoalannya.. 'rumah' yang aku bina berpuluh tahun jadi berantakan setelah kerehatan yang aku dambakan..
~Bak kata Isteriku, "Organisasi ini tanpa kamu, diibaratkan rumah yang tak ada tiang seri"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan