Rabu, 27 Januari 2010

Catatan 27/01/2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua bloggers. Syukur Alhamdulillah kerana dengan limpah dan karunia Nya jua, dapatlah aku menitipkan kembali sebuah karangan yang bertajuk, “Memoir Seorang Guru”… Bukan senang hendak menjadi seorang penulis. Ianya memerlukan ketelitian dan kemahiran mengatur bahasa yang indah supaya pembaca tidak merasakan kebosanan semasa membacanya. Mungkin takdir aku, blog aku kurang dilawati oleh pembaca yang lain.. Kekurangan idea, kekeringan idea kadang-kadang membuat kau tidak dapat hendak menitip kata-kata semangat dalam blog ini.



Jam sekarang menunjujan pukul 5.46 petang. Beerti masa untuk aku bersukan dan berekreasi. Tetapi malangnya, hujan turun dengan lebatnya di Long Busang ini. Apa nak buat.. terpaksalah memerah otak menghasilkan satu hasilan karya yang buruk. Hmm.. terperap dalam bilik beerti aku harus melakukan senaman sendiri. Mesti mengeluarkan peluh supaya badan kekal sihat. Kalau tidak, terperaplah dalam bilik nanti 24 jam.. sebabnya?? Demam. Ni pun dah sakit-sakit tekak dan selesema. Nak buat macam mana. Hari-hari hujan di Long Busang. Malamnya sudah pasti akan hujan. Tapi, kalau diambil dari sudut positifnya, hujan itu adalah rahmat Allah kepada penduduk Long Busang. Dan mungkin menjadi rahmat kepada aku sendiri. Sebab tidak perlu mengotorkan diri dengan selut bermain bola tampar.

Kehidupan di sini.. Kalau diikutkan rasa bosan, memangla bosan. Semua kemudahan tak ada. Kecuali elektrik. Talian Telefon jangan haraplah. Langsung tidak ada. Tapi, itu adalah kelebihannya. Kita tak bazirkan duit untuk menelefon dan juga hikmah yang paling besar, perasaan rindu dapat disemai dengan sebaiknya. Bayangkan, 2 minggu tidak dengar suara ibu tercinta, perasaan itu membuak-buak di dada. Kalau dengan isteri, boleh menguatkan lagi kekuatan cinta yang telahterpatri. Semoga dengan ini, perhubungan ini bisa menjadi murni dari segi kekalutan. Insya Allah.

Kali ini, tidak ada topik yang khusus buat semua tetapi aku hendak kupaskan sedikit isu yang berkaitan dengan menghina institusi raja melayu dan seluruhnya. Kepada yang suka menghina tu, tolonglah berhentikan segala bentuk hinaan kamu kepada raja kami. Kenapalah kamu ini semua suka menghina manusia lain ?? Hentikan sikap kurang ajar dan kembalilah kepada hakikat bahawa kita memerlukan institusi beraja demi menjaga kedaulatan undang-undang. Yang menghina ni mesti gagal dalam sejarah. Suka ambil jalan tengah. Haa.. sekarang dah kena cekup dengan polis. Sapa yang susah ?? Diri sendiri bukan? So, berawas ketika mengeluarkan penyataan. Silap-silap berakhir di penjara.

Sebab itu nabi s.a.w menganjurkan kepada berfikir dulu sebelum mengeluarkan penyataan. Amalan seperti ini mungkin sudah tidak termasuk dalam kamus peribadi seseorang manusia yang biadap. Sudah sememangnya, hilang pertimbangan dalam membuat sesuatu penyataan. Telalu mengikut nafsu dan emosi. Untuk guru-guru sekalian, janganlah beremosi dalam mengajar. Ajarlah sebaik-baiknya. Kerja yang Allah amanahkan untuk kita ini sudah menjadi sesuatu pekerjaan yang mulia dan mempunyai pegangan saham yang tinggi di akhirat. So, jangan merosakan ekuiti saham kita supaya tidak tersungkur pulak di pintu syurga.
Pentingnya menjaga adab dalam Islam. Kerana Islam sendiri adalah agama yang lengkap dan mempunyai peraturan berdasarkan kepada 2 tonggak utama iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Merujuk kepada Al-Quran sebagai contohnya, manusia disuruh berbuat, meninggalkan kejahatan demi kemasyalatan ummah. Bila berbuat baik, semua manusia akan merasakan kebahagiaan. Manusia sukakan kepada keindahan dan itu adalah fitrah manusia. Meninggalkan kejahatan beerti memastikan semua larangan Allah kita tinggalkan. Mengutuk dan menghina orang yang telah meninggalkan kita adalah ditegah sama sekali. Bahkan, Rasulullah pernah bersabda, `Barang siapa yang menjaga aib saudaranya, maka Allah akan menjaga aibnya di akhirat kelak‘. Nah.. bukankah itu anjuran agama Islam. Mengajak dan menghormati insan lain.

Dan untuk pengetahuan semua, kita ini teramatlah lemah dalam membuat pengadilan. Walau tinggi mana ijazah Kedoktoran kita dalam undang-undang sekali mana pun, tidak akan kita dapat membuat keputusan yang paling adil melainkan keputusan Allah juga. Benda yang jahat macam semut, semua orang nampak, yang baik sebesar gajah pun tak nampak jika hati dipenuhi dengan kejahatan dan kemungkaran. So, cermin-cerminkanlah diri sendiri dulu sebelum menilai orang lain.
Mungkin ada rahmatnya hujan ini. Idea datang mencurah-curah bagaikan hujan turun mencurah-curah memenuhi air sungai di Sungai Balui dan juga Sungai Busang. Semoga dengan ini, semua manusia beroleh manfaat dari hasil pembacaan.

Seorang guru, lebih tepat lagi boleh digelar sebagai penerus legasi dakwah Rasulullah s.a.w, kerana seorang guru lebih dekat kepada anak-anak murid. Seorang doktor boleh merawat pesakit, tetapi seorang doktor juga bermula dari perjuangan seorang guru mendidik doktor tersebut menjadi seorang seorang manusia yang bergelar doktor. Seorang peguam petah berbicara pada hari ini dan memenangi kes. Kisah kejayaan seorang peguam juga bermula dari seorang guru. Kapur yang digunakan menjadi saksi kepada sorotan kejayaan seorang peguam. Mana bisa seorang peguam terus menjadi peguam jika bukan tidak kerana hasil titik peluh seorang guru memastikan peguam tersebut pandai menulis dan membaca ABC.. tetapi, sekarang, profession ini semakin diprofesionalkan menyebabkan semuanya menjadi serba tidak kena. Guru semakin kurang produktif lantaran kerja yang banyak. Guru perlu membuat acuan yang banyak. Murid-murid pula semakin agresif. Macam-macamlah yang berlaku. Terutamanya sekolah di bandar-bandar. Kena cubit, terus masuk mahkamah. I challange you in court ! Ungkapan yang jadi mainan ibu bapa.

Disuruh mendidik anak, katanya sibuk mencari rezeki. Bila diajar, melenting bagaikan hendak mati. Silap-silap anak, guru pula ditundingnya jari. Sedangkan, semuanya bermula dari rumah. Rumah ibarat sekolah yang paling efisien sekali dalam mendidik anak-anak. Bak kata pepatah Melayu, `Rumahku, syurgaku..” Elemen penerapan kerohanian di rumah perlu diperkukuhkan supaya murid-murid ini sentiasa memperolehi ilmu tambahan sejak dari rumah lagi.

“Berguru kepalang ajar, bagaikan bunga kembang tak jadi..” Berawaslah.. mind your words. Kerana, bila keredhaan seorang guru sudah tiada, maka jangan haraplah beroleh kejayaan. Andainya Berjaya sekali mana pun, pasti akan jatuh juga.

Isnin, 25 Januari 2010

Catatan 25/01/2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera aku ucapkan kepada semua.. Salam takziah aku ucapkan kepada keluarga al-marhum DYMM Sultan Iskandar.. semoga Allah merahmati dan memberkati segala amalan ketika hidupnya di dunia fana ini.

Selawat dan salam ke atas nabi junjungan, nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarga baginda. Walau berkali baginda dicemuh dan dihina, baginda tetap disanjungi dan dimuliakan. Tidak tercemar sedikit pun hasil penghinaan dan juga segala bentuk kejian dari zaman baginda sehingga sekarang, kemuliaan dan keagungan insan terpilih ini. Andainya manusia sekarang semakin berani menghina baginda, tidak tercela sedikit pun kemuliaan baginda dan semoga yang menghina Rasulullah s.a.w secara terang-terangan akan diazab Allah di dunia lagi sehingga lah ke neraka kelak. (panas sebab ada laman web terang-terangan menghina pujaan hatiku..)

Tidak tahu nak buat apa sekarang. Baru lepas perhimpunan. Selepas menyiapkan minit-minit mesyuarat yang lepas. Alhamdulillah. Semuanya dah siap. Sekarang, ada 10 minit sebelum aku masuk kelas. Ha.. lega sikit hari ini. Segala yang dirancang semuanya berjalan dengan lancar.

Hari ini, minggu gaji. Maka, kebanyakan guru akan mengambil kesempatan untuk melunaskan semua bayaran-bayaran yang telah tertunggak selama beberapa minggu. Begitu juga dengan guru di pedalaman-pedalaman. Semua akan ambil kesempatan pada hujung minggu untuk membeli barangan di pasar yang berdekatan. Perjalanan yang jauh akan menjadi berbaloi kerana semuanya bisa terlunas nanti. Aku pulak, tidak akan keluar untuk 3 minggu terahir sebelum cuti tahun baru Cina kelak. Malas nak menempuhi perjalanan yang jauh itu. Lagipun alang-alang jugak. Semuanya kena pakai duit. Berjimat cermat. Itu amalan Rasulullah.

Lagipun, bekalan stok makanan masih cukup untuk tiga minggu lagi. Buat apa nak bazirkan duit semata-mata untuk keseronokan. Sekali-sekala, bolehla. Selalu, tak boleh jugak. Sebab, sekarang aku dah pun bergelar suami..ketua rumahtangga.. memerlukan pelbagai duit untuk kemudahan isteri tercinta. Kerana dia masih lagi belajar di Institut Perguruan dan masih memerlukan banyak belanja untuk dididik menjadi guru terlatih. Harapan aku, agar dia beroleh keputusan cemerlang kelak.


Tahun ini sahaja, 2 kematian telah berlaku di kampung ini. Pertama kali berlaku 2 minggu lepas, dan semalam berlaku satu lagi kematian. Kedua-duanya melibatkan orang yang masih muda. Menunjukan ajal tidak mengenal usia. Tak kira masih muda, mahupun sudah tua, ia pasti menjemput kita ke alam lain. Semua agama mempercayai ada alam kematian. Begitu juga dengan Islam ini. Bahkan agama Islam lebih mementingkan alam kematian daripada alam hidup ini. Sesuai dengan sabda nabi s.a.w, beribadat seolah-olah esok kamu akan mati.

Ini tidak beerti kita mesti meninggalkan dunia dan segala isi-isinya terus. Tetapi, ambilah dunia sekadar saja. Sebab, mati sudah menjadi bukti, dunia tidak akan kekal. Bayangkan, jarak usia manusia begitu sekejap sahaja. Jarak dari azan kepada solat begitu dekat. Sewaktu kita dilahirkan, kita diazankan ditelinga. Dan setelah kita mati, kita disembahyangkan. Bukankah itu petunjuk yang jelas??
Merokok.. merupakan satu isu yang penuh konterversi. Ramai guru juga merokok. Tapi, aku bukan tergolong dalam golongan yang merokok. Sebab, aku tidak dididik untuk merokok dari rumah lagi. Ayahku bukan seorang perokok. Ada orang mati bukan disebabkan rokok. Ada yang mati sebab merokok. Bagi aku, walaubagaimanapun merokok atau tidak, tetap salah merokok kerana fatwa jelas mengatakan ianya tidak boleh berpandukan al-Quran iaitu `janganlah kamu mencampakan diri kamu je jalan binasa‘.. So, kalau sudah ketahuan bahwa merokok boleh merosakan diri, maka sudah jelas ianya tidak boleh.
Hmm..berapa ramailah orang mengetahui dan mengamalkan di dunia ini...kasihan kepada saudara-saudara kita Palestin. Semoga kemenangan berpihak kepada kita. Amin...
p/s: merapu ntah apa-apa ntah..

Ahad, 24 Januari 2010

Catatan 21/01/2010- APa maKnaNya HiDUp?

Assalamulaikum dan salam sejahtera kepada semua bloggers yang setia menanti kehadiran post baru dalam blog ini. Semoga beroleh manfaat dari hasil titipan aku yang seringkali mendatangkan keresahan kepada diriku kerana bimbang keilmiahannya berkurangan dan terus hilang lantas kabur.. Perkongsian idea amatlah dialu-alukan. Jangan lupa tinggalkan komen jika sudi..

Teringin sekali aku membaca luahan hati isteriku terhadap segala apa yang telah berlaku dari awal perkenalan kami, sehingga sekarang menjadi suami isteri yang sah disisi agama. Bagaimana perasaannya ketika aku melafazkan akad dengan sekali lafaz.. Ingin mengetahui titipan dari jari manisnya yang sedang menyarungi tanda perkahwinan kami. Seperti mana isteri-isteri yang solehah yang lain. Menitipkan kata-kata indah untuk suaminya. Ingin sekali…

Isteriku seringkali suka untuk membaca titipan aku pulak.. Hari-hari dia menanti agar titipan dari kejauhan bias terpampang di skrin laptopnya.. Agar terbias rindu katanya.. menguatkan semangat dan memotivasi dirinya agar kuat meneruskan kehidupan yang penuh dengan dugaan ini. Semoga Allah sentiasa merahmati dan menjagai dirimu Humairaku..

Bercerita pasal motivasi, aku kehabisan stok untuk memotivasikan diri petang tadi. Dihentam perasaan rindu yang membara. Yang tidak tertanggung kepada Ibundaku, Sa’ adiah Binti Salleh dan juga ayahdanda, Uthman Bin Hj. Ramli.. serta anak-anak saudara aku. Huhu.. Macam manalah Nabil tu bersekolah kan? Hehe..mesti lucu. Isteriku kata, Nabil rajin belajar di sekolah. Tak sempat plak nak Tanya, masih guna pampers ke? Hehe.. Semua dah besar.. anak saudara yang paling tua, Nur Fadzlin dah pun berusia 13 tahun. Bayangkan.. betapa tuanya dah aku. Sebab ketika aku pertama kali menjadi bapa saudara ketika berusia 13 tahun dahulu. Wow! 13 tahun dah berlalu. Tanpa kita sedari, usia beranjak meninggalkan kita. Memori terpahat di minda. Semuanya indah-indah belaka. Membuatkan hati resah seketika. Astaghfirullah..
Anak saudara aku seorang lagi, Faiqa, asyik cari aku di rumah.. Kesiannya.. rindulah pada semuanya. Tapi apakan daya… Aku sekarang sedang menjalankan tanggungjawab aku sebagai Khalifah di muka bumi Allah. Di bumi terbiar ini…..


Aku terus ambik external HD, terus carik-carik video lagu yang aku sedut dari youtube dulu. Banyak jugak. Semuanya mengisahkan lagu perjuangan. And ada satu lagu yang betul menyentuh hatiku, bagaikan hendak pecah dada aku mengenangkan perjuangan lagu dalam lagu tersebut. Salah satu dari clip dari video tersebut berkata “Darah nok dalam badannya, darah pejuang juak” (Darah dalam badan dia, darah pejuang juga).. lagu theme untuk cerita Rosli Dhoby. Baharulah aku bersemangat kembali kerana aku di sini adalah kerana untuk mengajar anak-anak bangsa aku mengenal erti kemerdekaan dan bagaimana memanfaatkan perjuangan pejuang tanah air dahulu agar tidak kembali dijajah oleh bangsa pengkhianat!! ALLAHUAKBAR!!

Syukurlah..ku bertemu kembali dengan semangat yang hilang itu…

Catatan 19/01/2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua bloggers. Sesungguhnya yang benar akan kekal hingga ke akhir hayat, yang batil pasti terbongkar. Itulah janji Allah kepada semua makhluknya di muka bumi ini. Perkongsian komen dan juga apa-apa saja pekara yang berkaitan dengan diskusi amatlah dialu-alukan. Semoga dengannya kita beroleh pengetahuan yang bermanfaat kepada semua bloggers lain.

Hari ini, 19/01/2010 bersamaan dengan 2 Safar 1431H. Hari ini genaplah 3 minggu aku berada di S.K Long Busang. Meniti hari yang penuh dugaan dan juga perjalanan yang amatlah meresahkan hati. Hari ini jugalah, genap sebulan usia ikatan pernikahan aku dengan isteriku tercinta. 5 minggu berkahwin dan di dalamnya, 3 minggu berjauhan. Berjauhan bukan beerti tidak sayang. Tetapi, inilah tugas dan hakikat yang perlu semua lalui. Bak kata pepatah melayu, sayang-sayang bini,tinggal-tinggalkanlah. Maksudnya di situ, bila berjauhan seperti ini, ikatan perkahwinan itu sendiri akan menjadi teguh dan memberi inspirasi kesetiaan.

Blog ini, dari sebuah blog yang menceritakan pengalaman guru baru, kepada perjalanan kehidupan seorang guru yang baru melangsungkan perkahwinannya. Bukan jiwang andainya aku mencintai isteriku, tapi mencintai yang halal adalah satu kebaikan. Tetapi janganlah sehingga mengabaikan tugas dan tanggungjawab kita sebagai seorang khalifah di muka bumi Allah ini. Tidak dilupa juga, menjadi dae‘ Allah di bumi terbiar ini. Menjadi niat dan kewajiban aku ketika mula hendak mengajar di sini, adalah untuk berdakwah kepada penduduk setempat tentang keindahan Islam yang aku anuti ini. Alhamdulillah, bila kita mengajar anak-anak kecil ini, secara tidak langsung aku telah mengajar peribadi yang baik kepada semua. Semoga kebaikan ini akan berkekalan.Insya Allah..

Bagi guru-guru lepasan KPLI lepasan Januari 2009, bukan senang bagi meraka ini menghadapi situasi baru dalam kehidupan. Tetapi, ingatlah.. Kekuatan hati dan takwa menjadi kekuatan untuk kalian menghadapi segala apa yang berlaku. Gaji memang agak lambat sikit nak keluar. Tapi, sabarlah.. Allah tidak menjadikan sesuatu sia-sia. Tetapi, hikmah di sebalik dan setiapnya adalah yang terbaik bagi kita. (Menasihati diriku sendiri juga, kerana kadang kala tersirna oleh kerinduan yang mendalam).

Bukan niat ingin mengupas perkembangan politik di negara kita. Tapi, kadang kala perkembangan pendidikan di negara kita bergerak selari dengan keadaan politik di negara kita. Isu pembakaran gereja, aku sebagai warga pendidik, secara peribadinya menolak dengan sekeras-kerasnya hal ini kerana Islam menganjurkan kepada musyawarah. Aktiviti yang tidak bermoral ini sedikit sebanyak mengganggu kredibiliti guru-guru di pedalaman. Kerana, kebanyakan pedalaman Sarawak dan Sabah dihuni oleh penduduk beragama Kristian. Secara tidak langsungnya, penduduk-penduduk kampung akan berburuk sangka kepada guru-guru beragama Islam terutamanya yang berasal dari Semenanjung Malaysia. Jadi, elakan daripada melakukan yang bodoh. Bermesyuaratlah. Semoga Allah merahmati kita.

Demam melanda diriku...huhu..susah betul kalau demam. Semua kerja jadi tak betul. Tekak sakit, hidung tersumbat. Yang paling penting, tak selesa. Mana ada demam yang selesa kan? Huhu.. aku mengharapkan demam ni adalah satu maghfirah kepada semua dosa-dosa yang aku tidak ketahui. Cukuplah Allah sebagai pelindungku..

Terkadang aku terfikir sendiri, kadang-kadang kita melukakan hati orang lain tanpa kita sedari. Bila kita tersedar, agaklah susah kita hendak memohon kemaafan. Tapi, kadang-kadang kemaafan ini lebih manis daripada manisan yang terdapat dalam dunia ini.

Hmm.. Demam dan sakit perut. Itu yang aku alami pada hari ini. Menyebabkan perut aku kejang. Muntah-muntah sepanjang-panjang malam. Hmm.. ketika sakit begini, barulah bebanan kerja terasa. Sampai begitu sekali kita bekerja.

20/01/10

Elektrik ada hanya untuk beberapa jam sahaja. Dikesempatan itu, aku terus melangkah ke makmal komputer untuk uploadkan post ini.

`BLOCKED BY WEBSENSE` ...

Haha..laman blog aku dah kena block oleh KPM. Maka, aku tidak boleh buka blog aku dari server sekolah lagi. Sebabnya adalah `uncategorized‘. Mana-manalah.. yang pentingnya adalah, semua manusia mendapat manfaat hasil dari membaca titipan ini. Aku tetap aku.

Leganya di dalam hati setelah membaca tulisan isteri yang tercinta. Semoga Allah merahmati dia yang berada di kejauhan sana, tetapi sentiasa dekat di hati. Semuanya berada dalam kesihatan yang baik. Syukurlah. Alhamdulillah. Sesungguhnya, bercinta selepas berkahwin itu lebih indah….

Khamis, 14 Januari 2010

Awal tahun??

Salam kepada semua pembaca budiman,. syukur dan puji-pujian hanya kepada Allah.. rabbul Izzah..yang telah menciptakan segala yang ada di langit dan bumi.. alhamdulillah.. syukur kehadrat Allah kerana telah memberikan aku peluang untuk mencurahkan idea kepada semua.. andai ilmu dari aku bermanfaat kepada kalian, gunakanlah.. dan sebarkanlah.. andainya tidak elok, ada bagusnya dielakan penggunaan.

Isu demi isu aku kupaskan.. sebagai guru aku sentiasa didugai dengan pelabagai ujian dan rintangan. samada bersabar atau tidak, itu yang menjadi pembeza kepada semua manusia yang lain. Dugaan terberat bagi seorang guru adalah berjauhan dengan kelauarga. Itu memang satu hakikat. tak boleh nak ubah. Baru minggu lepas aku ke Kapit untuk membeli beberapa barang keperluan. Pergi hari Sabtu, baliknya Ahad. Pada ketika nak check-in, aku menegur salah seorang daripada my best friend sewakti di matrik dulu. Namanya Emirat. Sekarang, Emi(nama panggilan dia) mengajar di S.K Nanga Telawan. Kasihan.. terkenang sewaktu aku menjadi guru baru pada tahun lepas. melihat keadaan dia, aku mengerti.. bukan senang hendak menjadi seorang guru baru.. Emi baru ditempatkan di sekolah tersebut awal tahun ini.

Aku bawalah Emi ni berjalan, mengelilingi Kapit. Tak sampai setengah jam, berhenti berehat di depan Terminal ekspress. Aku mengimbas kembali ketika aku mula bersahabat dengan Emi ni. Dia ketika itu adalah salah seorang daripada pendiri PSSGM KML pada ketika itu. Aku Pengerusi pertamanya.. ini termasuklah, Kamarul Ariffin, Ali Fainur Zakira, Emirat dan seorang lagi teman dari Sabah yang aku sudah lupa namanya. Memori mengimbau kembali.. datang sedikit demi sedikit. Aku rasa, pada ketika itulah kali pertama aku berjauhan (bermastautin) dari keluarga. ya, ketika menuntut di Kolej Matrikulasi Labuan di Kampung Merinding, Jalan OKK Daud (betul ke). Perit dan payah untuk aku menyesuaikan diri sewaktu pertama di sana. Tetapi, setelah berkenalan dengan Kamarul Ariffin, Indera, Dzulfikhar dan Ali Fainur, semuanya terasa telah dibuang ketepi.. Alhamdulillah.. berjaya juga aku menamatkan pelajaran di sana sebelum meneruskan pengajian di UNIMAS.

Berbalik dengan cerita Emirat, dia sedang menyesuaikan diri di sana. Yang mampu aku katakan padanya, " Sabar Mie, aku faham perasaan itu.." Sedih, tapi itu hakikat.. nak tunggu gaji keluar pulak satu pasal. Tapi, dah keluar nanti, taklah jadi bebanan lagi. Makan apa yang ada.

Semoga guru-guru baru lain yang mendapat tempat di pedalaman Sarawak dan sabah bersabar dan meneruskan perjuangan.. kerana perjuangan ini tidak akan selesai selagi nyawa dikandung badan. Insya Allah.. haruman syurga sudah menanti kita.........

p/s: lama sudah tidak berbasa basi...

Ahad, 3 Januari 2010

Berakhirlah detik keindahan..bermulalah detik kepayahan..

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Kepada semua, aku ucapkan selamat kembali bertugas..selamat menempuh kembali alam kehidupan yang penuh dengan pancaroba.. Semoga Allah memberkati kalian dengan limpahan kasih sayangNya yang tidak bertepi.. Semoga tahun lepas membawa seribu satu makna dalam kehidupan kita.. Kepada guru-guru yang baru memulakan zaman mengajarnya, sila mengajar dengan penuh keikhlasan.. berilah sumbangan yang ikhlas.. Mengajar dengan penuh kasih sayang. Kerana Allah suka kita berkasih sayang sesama manusia.

Buat isteriku,, Dayang Khalizah Binti Awang Batu.. Peliharalah maruahmu sebagai wanita yang solehah.. Jaga iman, jaga amal, jaga ibadah..jaga hati.. Jangan biarkan dunia mengabui pandangan matamu..

Berpisahnya kita pada hari ini, di atas tugas kita.. baru 2 minggu bergelar suami isteri, kita sudah dipisahkan oleh lautan dan juga gunung-ganang.. Insya Allah.. hanya ikatan itu sahaja yang dapat menyatukan kita kembali.. Ikatan kerana Allah..bukan nya nafsu..

Pada hari ini, kita berpisah atas tanggungjawab dan tugas masing-masing.. Sehingga segalanya akan menjadi biasa bagi kita. Semoga Allah merahmati dirimu, wahai humairaku.

Biar apa kata orang, hati kita hendaklah sentiasa berpadu.. Mengingati kebesaran Allah pada ketika kita diijabkabulkan pada hari itu. Allah Maha PEmurah lagi Maha Penyayang.. Hanya pada Dia kita sandarkan harapan.. Dan akhirnya, harapan kita telah tercapai.. Membina masjid indah di dunia.

Ya Allah.. andainya perpisahan ini adalah pepisahan yang Engkau redhai.. maka berikanlah kami kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi dugaan ini.

Malam ni, aku akan berangkat pulang ke Long Busang..

Anda pasti mahu membaca ini

Related Posts with Thumbnails