Ahad, 29 Ogos 2010

Sedikit tazkirah...


Cuba kita dongak ke atas, sudah pstinya kita akan melihat langit. LAngit sentiasa berwarna biru jika hari cerah dan bewarna gelap jika malam atau cuaca mendung. Tapi, terkesankah kita dengan ciptaan Allah yang Maha Mulia ini. Langit diciptakan serupa sahaja. Walau di mana kita berada, langit tetap macam itu. Konsisten dan tidak pernah bertukar menjadi warna purple ka atau lain-lain. Begitu indahnya penciptaan langit.


Langit dicipta tidak bertiang. Ya. Di mana tiangnya. Sedangkan hendak meletakkan sesuatu di atas memerlukan tiang atau tali hendak menggangtungnya. Di mana talinya? Adakah kita pernah terfikir bahawa setiap satu ciptaan Allah ini memberi satu kajian ilmiah yang cukup mendalam. Tapi, berapa ramai orang Islam sendiri berfikir akan kepentingan ini? Sehingga orang barat berebut mengkaji al-quran. Kita hanya berbangga memilikinya tapi adakah kita berusaha untuk mengkajinya?

Langit terbentang luas, saujana mata memandang. Maha Suci Allah.. Renung-renungkan seketika. Daripada terus terlena.

Jumaat, 27 Ogos 2010

Hati seumpama batu?




Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca dan bloggers. Selamat menjalani ibadah puasa ke 17 pada hari ini. Bersempena dengan Nuzul Al-Quran ini, bacalah selaras dengan perintah Allah pada surah pertama al-Quran diturunkan kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. Selawat dan salam ke atas baginda dan keluarga baginda.

~Hati seumpama batu kekerasannya. Kalau hati keras seperti batu, lembutlah dengan dengan 3 pekara, pertama: carilah ketika engkau membaca al-Quran, jika tidak keduanya cari di dalam engkau bersolat. Dan akhirnya, carilah engkau di dalam mengingati mati. Jika pada ketiga-tiganya engkau tidak menemuinya, maka bermohonlah kepada Allah s.w.t hati yang baru lantaran hati mu sudah mati. (Pesanan Imam Al-Ghazali)

~KAlau benar hati keras seperti batu, renungilah ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 74 :"Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal diantara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan."
Sedangkan batu itu sendiri mempunyai aliran air yang keluar daripadanya seperti mata air, inikan pula hati manusia. Aduhai hati, engkau boleh jadi sekeras-keras batu, malahan lebih. Mengapakah ianya berlaku sedangkan kita sentiasa hidup dalam kebesaran Nya? Malam dan siang. Bumi berputar pada paksinya... Ya Allah..Ya tuhanku.. Tidak kira apa berlaku padaku... Miskin atau kaya, sakit atau sihat, yang penting adalah keredhaan Mu tuhanku..

Dah jelas dan nyata Allah firmankan kepada kita tentang hati, membuat perumpamaan terhadapnya terhadap mata air, lantaran batu yang keras menjadi kecut dengan kekuasaan Allah, apatah lagi hati kita yang berada dalam jasad yang 70% adalah terdiri daripada air.. Maha suci Allah daripada segala apa yang mereka syirikkan..

~So..berusahalah mendidik hati, agar dapat merajai nafsu..


Khamis, 26 Ogos 2010

16 Ramadhan 1431 H

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua bloggers. Sekarang sudah masuk ramadhan yang ke 16. Sudahkah kita berpuasa mengikut kehendak syariat? dan ingatlah, puasa ini terus untuk Allah tanpa perantara.

~Semangat kemerdekaan kian membara. Ada beberapa hari lagi sebelum hari kemerdekaan. Tetapi, merdekakah remaja kita sekarang ini?

~Ya- Allah, ampunila segala dosa yang aku lakukan..

Selasa, 24 Ogos 2010

Kau MenCaTaT aPa UnTuk RaMaDhaN ke 14?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.. menitipkan kata-kata sebelum memerah keringat mengajar anak bangsa. Bermuhasabah sebelum menjalankan mujahadah yang berat. Mencari keredhaan Allah dalam mengajar anak bangsa. Ayuh..mari kita berselawat keatas baginda Rasulullah s.a.w, "Allahumma soli ala Muhammad wa ala ali Muhammad".

~Di kedinginan pagi, terasa berat mata hendak menunaikan solat subuh. Aku terus ambil tuala, dan terus mandi. BAru padan muka dengan nafsu. Dah kesejukkan. Lepas tu, solat subuh dan terus berkata-kata dengan Allah di dalam solat. Dan selepas itu, membaca firman-firmanNya yang tiada cacat cela itu.

~Hari ini dah masuk puasa yang ke 14. Malam ini, terawih akan berlangsung untuk kali ke 15. Alhamdulillah. Masih kuat lagi kaki ini melangkah ke masjid setiap malam.

~Andainya esok adalah hari terakhir untuk aku hidup di atas muka bumi ini, sudah pastinya aku diazab dikubur lantaran dosa yang menggunung tinggi. Dosa dengan mata, dosa dengan hati, dosa dengan tangan, dosa dengan kaki dan dosa dengan mulut ni. Aduh..sadisnya. Takut dengan ancaman-ancaman Allah terhadap mereka yang melakukan dosa.

~Hari raya tak lama lagi akan menjelang. Janganlah sebab nak cuti, pelajaran anak-anak diabaikan. Insya Allah, tahun ini bermakna untuk aku sebab aku akan merayakan Hari raya dengan isteri tercinta. Insya Allah

~Menempa hati untuk dijadikan pedangkan yang tajam bagi membantu akal menentang NAFSU dan SYAITAN.. Tapi, hati terlalu keras hendak ditempa kecuali gunakan api INGATKAN MATI. Semoga ramadhan ini membawa seribu kenangan yang manis yang membolehkan syurga dikecepai. Insya Allah

~Selamat menunaikan ibadah puasa dan selamat maju jaya~~

Ahad, 22 Ogos 2010

oo EG - TukaR.. bilalah kau nak BerTukaR~

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua bloggers...

~Catatan pada hari ketiga belas ramadhan 1431 H. Semalam ada ceramah cara menjawap soalan peperiksaan UPSR yang diadakan disekolah.. Alhamdulillah.. berjaya. Semalam juga, aku masak Laksa Sarawak untuk aku Nurhajizul dan Azlan. Oh ya, dah ada cikgu baru@permulaan datang berkhidmat di sini.

~Isteriku pula semakin selesa berada di Long Sepiling. Semua bagus-bagus saja deh. Semua kelengkapan ada. Telefon, internet. Dekat jugaklah dengan Marudi. Alhamdulillah.

~Diimbau kembali catatan-catatan yang lama dahulu, aku tak sedar, aku dah berkhidmat lama jugak di sini...

~Mengharapkan ramadhan kali ini memberi seribu satu kenangan terakhir di Long Busang. Insya Allah...

~Esok hari Isnin.. sekolah akan bermula lagi untuk another 2 weeks. Lepas tu cuti 2 minggu (insya Allah) dan akan bersekolah terus UPSR.

~2 Oktober 2010 akan ke Selangor untuk Perdana Gayong. Insya Allah

~23-24 Oktober 2010 untuk majlis Penyampaian Sandang PSSGM Sarawak

~Lepas tu cuti sekolah 20 November 2010 sampai awal tahun 2011. Semoga beroleh nikmat sihat sehingga ke hari itu.

~Makluman untuk guru semua, EPGO (Sistem Pertukaran Guru Secara Online) akan dibuka pada 1 September 2010 sehingga 15 September 2010.. So, kalau nak mintak pindah, bolehla isi. Untuk guru-guru baru, sabar dulu. Pastikan perkhidmatan kita masuk 3 tahun. Baru dapat bak mintak pindah. lol..

~Selamat memasuki fasa ramadhan yang kedua...

Khamis, 19 Ogos 2010

Catatan 9 RamADHAn ~

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua bloggers. Kepada yang beragama Islam, selamat menjalani ibadah puasa untuk tahun 1431H. Dan andainya, andai ini adalah ramadhan terakhir bagi kita, pastikan ianya ramadhan yang akan mengekang kita dari terbakar oleh NERAKA lantaran kejahilan kita selama ini. Gunakan kesempatan ini untuk memperbaiki diri, bermuhasabah diri daripada segala kealpaan, bermunajat pada sebelah malamnya, merintih memohon keampunan dan kasih saying Allah taala dan laksanakan ibadah-ibadah sunat seperti bertaddarus, beriktikaf di rumah-rumah Allah dan juga berterawih secara berjemaah. Semoga ramadhan al-Karim ini menjadi medan pembersihan diri daripada PENJAJAHAN HATI oleh SYAITAN DAN NAFSU.

~Setiap kesulitan pasti ada jalan keluar darinya. Jadi carilah jalan penyelesaian masalah-masalah hati yang penuh dengan perasaan DENGKI. Berubahlah kerana perubahan akan memangkin jalan menuju ke syurga. Dengarlah wahai hati…

~Sesungguh aku mengkagumi SALLAHUDDIN AL-AYUBI.. Seorang pemerintah yang penuh rasa rendah diri. Biarpun dunia di tapak kakinya, tapi beliau tetap dengan sikap merendah diri. Cemburunya aku terhadap keperibadian beliau. Walaupun dunia ditangannya, tetap meninggalkan dunia tanpa sesen duit untuk dipusakakan kepada anak-anaknya. Bila lagi aku hendak menjadi sepertinya.? Dan mampukah aku menjadi sepertinya?

~Hujan adalah bukti rahmat Allah kepada semua makhluknya. Kalau hujan itu turun bukan pada masanya, beerti ada lagi makhluk Allah lebih memerlukan hujan ini lebih daripada manusia. Sebaliknya, bersyukurlah dengan rahmat Allah ini. Jangan mengeluh tetapi berusahalah mengambil iktibar dari rahamt Allah.

~Dah 9 Ramadhan berlalu. Di manakah tingkatan puasa kita sekarang? Puasa orang awamkah, puasa para alimin kah, atau puasa para tabiin? Sudahkah kita tinggalkan amalan mengumpat, mengadu domba kita? Kalau belum, beerti puasa kita masih belum dapat melatih diri kita menghindari daripada memakan daging SAUDARA kita. Mendiamkan diri, banyakkan berzikrullah adalah baik daripada bercakap benda yang sia-sia. Cubalah banyak bertindak daripada banyak bercakap. Allah menjadikan 2 hidung supaya lebih banyak menghela nikmat-nikmat Allah, 2 mata supaya banyak melihat dan mengamati kejadian alam, 2 tangan dan kaki untuk mempercepatkan diri mengerjakan amalan ibadah kepada Allah, otak kepada 3 bahagian yang besar dengan jutaan sel-sel menghubungi diantara satu sama lain supaya sentiasa berfikir akan kejadian yang indah ini, tetapi Cuma 1 hati dan juga satu mulut.. Mengapa begitu sekali ciptaanNya yang Maha Berkuasa? Fikirkanlah, 1 mulut supaya kurangkan bercakap, banyak berfikir. 1 hati supaya sentiasa hati itu hanya diserahkan kepada Allah dalam ibadah.

~Aduhai susahnya hendak bermujahadah. Hanya orang yang benar-benar memahami hakikat keindahan syurga dan keperitan neraka sahaja yang mampu mengamati perjalanan yang sukar itu. Pengakhiran jalan mujahadah adalah SYURGA nan abadi.

Rabu, 18 Ogos 2010

Perpisahan?

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

~Mengungkapkan perpisahan adalah satu pekara yang amat sukar bagi setiap insan. Perpisahana adalah sesuatu yang amat menyakitkan. Dan perpiasahn itu juga adalah sesuatu yang memang akan berlaku. Yang mengiringi perpisahan itu adalah kesedihan. Yang menjadi teman adalah kesabaran. Menjadi tunjang adalah keimana. Kuatkan hati dalam menghadapi perpisahan.

~Mengapa aku titipkan topik PERPISAHAN? Hari, 17 Ogos 2010, isteri aku bakal menuju ke tempat mencurah baktinya yang pertama iaitu S.K Long Sepiling. Mungkin dia akan mengalami pengalaman seperti mana pengalaman yang telah aku lalui 20 bulan yang lalu. Insya Allah, dia akan tabah menghadapinya.

~Aku tak pernah gentar untuk mati syahid. Bahkan, isteri aku boleh berbangga dan redha atas kesyahidan aku.

~Aku mengharapkan Allah mengurniakan kebaikkan ke atas isteri ku. Keselamatan dan kekuatan fizikal dan mental dalam menghadapi hari-hari mendatang ditempat baru. Semoga dengan ini, dia akan terdidik menjadi wanita solehah.

Jumaat, 13 Ogos 2010

catatan 3 ramadhan

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua... Alhamdulillah..masuk ke saat ini, dah 3 hari umat islam berpuasa di bulan ramadhan al-mubarak ini. Kampung Long Busang berbuka pada jam 6.42 petang. Kira masuk sekali dalam Zon 3 bahagian Tatau, Suai, Belaga, Pandan, Sebauh, Bintulu. Alhamdulillah. Walaupun keadaan tidak berapa selesa untuk berpuasa kerana sekarang adalah musim 'menuntong' (membakar ladang) bagi penduduk sini. Tujuannya untuk menyuburkan tanah bagi penanaman padi huma. Alhamdulillah..dapat juga ditempuhi dengan redha dan sabar yang berpanjangan...

Alhamdulillah juga..rezeki yang Allah kurniakan pada aku dan adik adalah sejenis kuih yang dibuat sendiri. DONUT.. ayoyo..nikmat betul donat ni setelah makan-makan pembuka puasa. Alhamdulillah.. Walaupun tidak dilawati dan tidak seramai yang lain, tapi nikmat dan kesyukuran itu berlainan dengan keadaan yang sangat banyak tapi hakikatnya tidak menyukai di antara satu sama lain. Alhamdulillah.. Hidup jangan berpuak-puak. Tapi, kalau boleh hidup dalam aman damai.. Dan jangan lupa, kalau ada kejahilan melanda, asingkan diri jika sudah mencegah.

Alhamdulillah, rezeki dan nikmat yang Allah berikan pada aku. Alhamdulillah... Tidak puas untuk mengucap syukur kepada Allah..

Jum terawih kawan-kawan..meramaikan jemaah d rumah Allah. Nasib baik ada masjid di kampung ni. Kalau tidak, solat bersendirian la jawapannya

~Kelak abg molah DONUT k adeng~

Bermuhasabah diri..


Assalamualaikum dan salam sejahtera.. kepada semua pembaca yang BIJAKSANA.. Maksud bijaksana memang akan disinonimkan dengan kepandaian seseorang. Mengapa dipanggil BIJAKSANA, bukan pula dipanggil BIJAKSINI? Ini adalah kerana manusia yang BIJAK adalah manusia yang mengharap kehidupan hanya di akhirat sana. Bukannya dunia di sini. Dunia hanya pinjaman dan akhirat juga kekal selamanya. Sebab itulah dipanggil BIJAKSANA. Bijak merangka perjalanan ke akhirat juga..

Mari menghayati terjemahan al-Quran ini:

[11]
Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan selesailah ajal mereka. Oleh itu, (Kami tidak menyegerakan azab yang dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami itu meraba-raba dalam kesesatannya.
[12]
Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.

Surah Yunus : 11&12

Dalam segala keadaan, kita hendaklah bermohon kepada Allah, meminta pertolongan dan bantuan. Supaya kita sentiasa beringat kita adalah hamba Allah. Bukannya ketika susah sahaja meminta bantuan kepadaNya, tetapi dalam segala hal, meletakkan Allah sebagai pelindung diri daripada segala-apa dugaanNya.

Mengapa di berikan ujian dan dugaan? Ujian dan dugaan merupakan wardah untuk menentukan siapa yang layak menerima anugerah tertinggi iaitu syurga nan abadi. Kalau berjaya menempuhi segala kesusahan dan dugaan yang Allah jalankan ke atas tanpa keluhan dan penuh kesabaran, maka ganjaran pahala akan diberikan kepada kita. Ganjaran pahala ini umpama kredit untuk kita menempah tiket ke syurga. Semakin banyak kredit, semaki banyak pula ganjaran. Dan sebaliknya. Dan mahar (tiket) ke syurga bukanlah murah. Terlalu mahal buat kita.

Kalau dibuat kerana semata-mata mendapat keredhaan Allah, maka segala benda yang kita buat adalah yang terbaik. Redha Allahlah yang menentukan sama ada timbang tara kita akan menjadi berat kepada kebaikkan atau tidak. Berdoalah sentiasa untuk mendapat keredhaan Allah. Bukan mudah hendak mendapatkannya. Terlalu mahal mahar hendak dibayar untuk mendapat kasih sayang Allah kalau kita sentiasa dalam keadaan leka.

Mencintai Allah bermakna kita mencintai kesusahan. Susahnya hendak melaksanakan ibadah kerana nafsu sentiasa berkeinginan untuk senang. Subhanallah.. Kesukaran melawan nafsu kita, membuatkan kita haruslah bermujahadah. Kita perlu berusaha melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t. Bukan senang hendak melakukan ibadah-ibadah sunat. Bukan senang naik pangkat. PAngkat dalam agama ISlam adalah darjat keimanan. Hendak jadi BOS lagi senang. Tapi, bukan senang nak jadi orang SOLEH. Ianya merupakan idaman semua manusia. Tetapi, selagi mana nafsu bergayut pada hati, selagi itulah kita tidak akan mencapai maksud SOLEH.

Alangkah susahnya hendak menjadi soleh. Sukarnya hendak menjaga IMAN. Hendaklah kita bersusah payah menempuhi kehidupan ini bagi mencapai maksud SOleh sebenar-benarnya. Jangan sentiasa hendak menuruti nafsu sahaja. Berusahalah mendapat hidayah. Dan apabila HIDAYAH mengetuk pintu hati..jangan biarkan ianya berlalu begitu sahaja. Gapaikannya.

Alangkah susahnya hendak menjadi soleh.... Bukan soleh pada sebutan. Soleh dan segala perbuatan dan hati turut serta. Walaupun susah hendak bermujahadah, kita teruskan juga demi Allah. Perbaiki diri sendiri. Banyakkan muhasabah dan banyakkan mengingati mati.

Malam tadi GENSET tutup awal dari yang sepatutnya. Dalam keadaan gelap gulita, aku teringat bahawa dunia ini hanya sementara. Kuburlah destinasi yang gelap. Dan Rasulullah s.a.w pernah bersabda, "Kubur itu gelap, terangi ia dengan solat malam". Aku termanggu. Apakah nasib aku diakhirat kelak. Apakah nasib ku dikubur. Berseorangan dan gelap. Mengapakah aku tidak mencari sinaran kegelapan itu. Kenapa aku tidak mencemburui ahli-ahli Syurga yang lain? Sedangkan aku sendiri sentiasa merindui syahid....

Ya Allah..bantulah aku melawan nafsuku...

~Surah tadi aku buka, ketika aku mengharapkan Allah membantu aku dalam bermujahadah.. Aku terbaca terjemahan itu dan membuat hatiku menjadi luluh..di manakah diri aku sekarang?~

Selasa, 10 Ogos 2010

Sehari sudah berlalu.. Puasa Menghampiri..


Assalamualaikum dan salam sejahtera..

~Ramadan kian menghampiri.. pintu rahmat sedang dibuka.. pintu pengampunan kian dibuka untuk hamba-hamba Allah yang ingin membuang segala dosa. MEncari pengampunan..

~Berita terkini : Isteri aku bakal memulakan perjalanan sebagai GURU PERMULAAN @ BARU.. Beliau akan mengajar di kawasan pedalaman kategori 1. Beliau akan mengajar di S.K Long Sepiling.

~Kalau kau ditempat aku, apakah perasaan mu? Berjauhan dengan isteri. Entah bila boleh bertemu lagi. Internet belom tentu ada. Dahla ramadan ini adalah ramadan pertama untuk aku dan dia sebagai suami isteri. Kalau dulu, bolehla berINTERNET.. Sekarang..belum tentu.

~Semoga Allah mengurniakan kesabaran kepada aku dan isteri.

~Agaknya..aku akan ke sana jugak barangkali. Tapi, alang-alang jugak. Sebab perkhidmatan aku bakal mencecah 3 tahun di Long Busang ini. Tahun depan dah boleh mintak pindah. Itu ikut keperluan dan keselesaan.

~Aku hanya berserah kepada Allah taala menentukan perjalanan kami berdua. Ya Allah, Engkau lebih mengetahui apa yang tersirat di hati. Lantaran dikejauhan ini, segala benda menjadi tidak sempurna dan hilang sebegitu sahaja. Tapi, Kau kekalkanlah rasa cinta di hati ini untuk ISTERIKU...

~Kepada isteriku, jarak bukan beerti jauh. Tapi, jarak adalah satu keindahan. Indahnya sebab perlu bersabar. BEtapa dimuliakan orang yang bersabar. Mulut mudah mengatakan sabar..tapi bukan hati dan perilaku.

~PErjalanAn HiDuP SeoRAng Guru Baru bermuLA~

p/s: Dear, tulislah cerita tentang sekolahmu.. ceritakan kepada DuNIa akan PeriHal Sekolahmu~

Isnin, 9 Ogos 2010

2 hari sebelum menuju ramadan.


Assalamualaikum dan salam Sya'aban..

~Debaran ramadan.. Ahlan wa sahlan ya ramadan..

~Apakah persiapan kita dalam mengharungi penghulu segala bulan ini? Apakah kita sudah bersedia dengan segala keperluan kita menghadapi bulan yang mulia ini?

~Adakah kita sudah membersihkan zahir dan batin?

~Adakah kita bersedia menahan diri dari makan minum dan segala apa yang boleh membatalkan puasa?

~Adakah kita akan mendapat maghfirah dengan hanya melaksanakan puasa sedangkan solat tidak dilakukan?

~Marilah sama-sama kita beristighfar.. Berselawat, Bertahmid, bertahlil dan bertakbir.. Memuji Allah senantiasa..

~Dan jangan lupa, meminta kemaafan kepada semua yang mengenali.. Maafkan daku.. maafkanlah di atas ketidak warasan dalam pemikiranku

~Semoga kita dapat menghayati erti kata PUASA dalam ramadhan ini..

Sekian. Salam

Ahad, 8 Ogos 2010

Ramadhan kembali lagi.. di mana kita ketika ini?


Assalamualaikum dan salam sejahtera.. kepada yang merasakan bahawa Islam adalah agamanya, maka bermuhasabahlah kita.. Di mana letaknya keimanan kita ketika ini..? Adakah masih di takuk yang sama? Atau sudah ketinggalan di belakang? Atau sudah maju? Kalau sudah maju, adakah ianya IKHLAS?

~Menangislah selalu...nasib kita belum tentu.. apakah dalam petunjuk atau sebaliknya. Kita hendaklah bersangka baik kepada Allah. Tetapi, dalam masa yang sama, hendaklah kita sentiasa bermuhasabah, memperbaiki diri. Supaya tidak timbul perasaan riak dan takbur..

~Ramadhan adalah bulan membersihkan diri. Bulan mempertingkatkan amalan dan keimanan kepada Allah. Bulan bermunajat. Bulan amalan sunat menjadi pahal berlipat ganda. Penghulu segala bulan. Ya Rabbi.. Ya mussowir.. semoga ramadhan ini adalah ramadhan terbaik daripada sebelum ini.

~Andainya ini ramadhan terakhir dariku... Ku harap ianya akan menjadi ramadhan yang terbaik dalam hidupku. Biarlah hati aku lena dipangkuan illahi.. Biarlah aku beroleh cinta Allah yang aku idamkan selama ini.

~Dan andainya perlu nyawa aku ditarik balik, aku redha. tapi, biarlah aku merasai kenikmatan ramadhan ini.. Biarlah untuk sekali sahaja. Ku merindui.. Belaian kekasih abadi..

~Luluh airmataku.. mengenangkan segalanya...

Jumaat, 6 Ogos 2010

Abie, Ummie dan...

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca sekalian.

~Andainya bercinta.. mesti dimulai dengan ikatan PERKAHWINAN... Kenapa perlu diulangi kesilapan yang sama? Mencintai ikatan yang belum ada TARAF disisi agama Islam? Mengaku diri ISLAM tetapi masih melakukan maksiat dengan terang-terangan?? KAHWIN dulu, baru sentuh-sentuh. Dah kawin nanti, pasti hari-hari sentuh. Sehingga setiap satu nak sentuh. Sapa nak marah? Dapat pahala adalah..


~Bila dah kawen lain pulak mak dara oi.. Dah kawin nanti, puncak CINTA ialah.. ANAK.. Ya.. setiap pasangan yang berkahwin menginginkan anak. Seperti aku dengan isteri aku, mengharapkan Allah menganugerahkan anak-anak soleh dan solehah
agar dapat menjadi penerus legasi DAKWAH agama ALLAH di muka bumi. Aku menginginkan anak aku seorang pejuang
FISABILILLAH..yang sentiasa merindui syahid.




~Jangan mudah merelakan diri (terutamanya wanita) 'dibelai' terlalu awal tanpa IKATAN YANG HALAL.. JAngan.. !! Harga diri wanita terlalu mahal.. Serahkan segala-galanya hanya pada ALLAH s.w.t





~ Buat isteriku.. sabarlah menjalani kehidupan ini. Sesungguhnya, Allah merahmati setiap harimu dengan apa yang engkau tanggungi sekarang ini. Redhalah setiap satu yang Allah uji ke atasmu.. Jangan mudah mengalah. Kalahkan setiap dugaan dengan IMAN yang unggul.


~UMMIE kepada anak-anakku.. tabahkan hatimu. Kuatkan semangatmu. Biarpun kita berjauhan, IKATAN yang HALAL lagi membawa rahmah ini sentiasa KUKUH terjalin. Pelihara dirimu dan maruahmu sebagai ISTERI YANG SOLEHAH. Hiasai bibirmu dengan ZIKRULLAH. Penuhi hari-harimu dengan membaca Qalamullah. Jangan biarkan hari-harimu berlalu dengan tanggunganmu tidak dialunan ASMA' ALLAH. Semoga, SIDIA sentiasa lena dengan ZAT ALLAH dari kepagi sehingga ke malam.

~Jangan dibiarkan dirimu seperti meraka yang melata. Dirimu adalah sesuci air yang mengalir. Tiada nodanya. Engkau tiada 2 atau 3. Engkaulah permata hatiku. Permata yang aku cari selama ini. Permaisuri hati yang bertakhta dihatiku. Engkau bak belian yang berkilau ditengah-tengah kaca-kaca yang melata. Kehadiranmu menjadi isteriku merupakan satu AMANAH dan satu ANUGERAH.. Engkau menyambutku ketika aku gagal dalam kehidupan pada satu ketika dahulu. Pada ketika semua membenci aku lantaran KEJAHILANKU.. Tetapi engkau terus menerus disisiku, menjadi teman, menjadi sahabat. menjadi tunangan.. terus menjadi ISTERIKU.. Ketika meraka yang lain mengata, engkau hanya bersahaja.. Itulah dirimu..


~Selama 8 bulan usia pernikahan kita, engkau sabar melayan karenah aku yang serba tak kena. Engkau memahami diriku sehinggakan tiada ruang dihatiku untuk insan yang lain. Aku berdiri di sini, sebagai pemimpin dirimu. Humairaku.. Ketika meraka membenci akan aku, engkau tetap teguh disisiku. Kini, aku telah berjaya dalam hidupku setelah melalui kegagalan yang amat memeritkan..

~Hati pilu mengenangkan dikau yang menghadapi segalanya berseorangan~

Khamis, 5 Ogos 2010

Hidayah~


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca budiman.. Untuk tatapan isteri yang tercinta.. Tapak tangan gatal, orang tua-tua dulu kata ada rezeki masuk. Tapi, aku ni gatal tapak tangan sebab nak mencoretkan perasaan aku yang berada jauh dari insan-insan tersayang. Kekuatan hujjah terletak pada fakta. Kekuatan Dato’ Laksamana Hang Tuah terletak pada huruf ‘T”. So, kekuatan para alim ulama’? Jawapannya adalah kerendahan hati.

Syukur adalah perkataan yang mudah diungkapkan. Tetapi hendak menghayati erti syukur memang agak payah. Sukar bagi insan menghayati makna syukur. Termasuklah aku yang lemah ini. Aku seharusnya bersyukur ke hadrat Allah dengan segala apa yang telah dikurniakan kepada aku selama 26 tahun menghirup udara milik Allah ini. Selama 26 tahun, aku seringkali diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan yang tidak tertanggung untuk aku hadapi pada pandangan aku. Lantaran itu, aku bermuhasabah diri sebentar. Mengenangkan setiap satu nikmat yang Allah taala telah kurniakan pada aku.

Rezeki yang Allah curahkan kepada aku terlalu banyaknya. Aku sahaja yan tidak mampu untuk mensyukurinya. Masih juga aku ingkar kepada-Nya tanpa aku sedari. Kadang-kadang kita tidak terperasan bahawa dalam ketaatan kita kepada Allah adalah menderhakaiNya. Bukan niat hendak meragui kasih sayang Allah yang tidak dapat diragui, tulisan ini adalah untuk muhasabah diri. Jangan biarkan hati selalu senang dalam kemewahan dan nikmat dunia. Mencintai Allah bermakna mencintai kesusahan.

Aku ketemui sinar itu pada ketika itu. Pada ketika aku dilanda seribu kegusaran. Pada waktu aku dihimpit dengan masalah dunia yang entah bila akan ada kesudahannya. Pada waktu dan ketika itu, aku tersedar dari lamunan yang panjang. Lamunan yang amat menyenangkan nafsu. Tidak terlintas akan tiba perasaan itu. Bila ianya hadir, betapa indahnya hidup ketika itu. Hidup dalam syariat. Hidup dalam lindungan nur illahi. Indah terasa. Walau seketika. Semua masa dihabiskan dengan menyembah Dia.

Indah tidak terkata. Melenakan nafsu seketika. Membuai iman yang lama terbiar. Menyuburi takwa yang telah kehausan pada ketika itu. Sunggu indah pada ketika itu. Ketika hati di pimpin Illahi. Dalam segala hal, aku hanya ada Allah. Sehinggakan aku sakit tenat di rumah, masih dijaga Allah. Sehinggakan sakit itu adalah nikmat yang aku redha ke atasnya. Tiada cinta yang paling indah ketika itu melainkan cinta kepada Allah. Seakan-akan hidup dalam belaian Allah..

Barulah aku sedar mengapa abid mengasingkan diri daripada orang ramai. Abid menghabiskan masa hanya untuk beruzlah kepada Allah. Kerana, cinta Allah begitu membahagiakan hati. Bila tidak makan pun, hati tetap senang. Kerana rezeki datang dari Allah. Bila mana tidak ada duit, tidak beerti tidak ada rezeki. Dari segi mana, tetap ada rezeki pada ketika itu. Kadang-kadang, tangis senda bila berhadapan dengan Dia.

Hidayah datang memberi seribu erti. Berlalu tanpa disedari. Kehidupan manusia memang sebegitu. Kadang-kadang kita ingat, adakalanya kita lupa. Membersihkan hati yang kian tidak terjaga. Mungkin selepas ini, dapatlah hati dibersihkan. Kedatangan Ramadhan bakal menjadi pemangkin kepada perubahan hati. Aku ingin kembali ke masa itu. Namun persediaan Ramadhan ku ini tidak seperti ramadhan sebelum-sebelum ini. Tahun ini, aku dibebani oleh tugasan duniawi.. Memastikan semua pelajar aku berjaya dalam UPSR. Bukan tugas yang mudah, tapi kalau aku tukarkan tugas ini menjadi tugas kepada Allah, sudah semestinya aku akan beroleh keredhaan Allah. Kerana aku lakukan tugas ini adalah kerana untuk mendapatkan keredhaan Allah. Bukan sekadar hendak memajukan sekolah dan beroleh anugerah-anugerah.

Perasaan riak boleh membunuh segala usaha aku. Bagaiamanakah caranya hendak memastikan setiap satu pekara yang dilakukan tidak mendatangkan keriakkan dihati sanubari aku? Allah.. setiap manusia suka dipuji. Caranya: merendahkan diri.. rendahkan diri dihadapan Allah. Biarlah perasaan berhamba kepada Allah itu sentiasa ada dihati kita. Supaya kita sentiasa di mana kita berada. Benar kata pujangga, di mana bumi dipijak, disitu jugalah langit dijunjung.

Aku ingin mencari kekuatan iman. Kerana aku adalah pemimpin kepada isteriku. Dengan iman, aku akan mendidik sebuah keluarga yang sakinah mawaddah wa rahmah. Dengan iman, aku pimpin isteri dan anak-anakku menuju kepada keredhaan Allah. Ya –Allah..kuatkan hati. Untuk terus mencari hidayah Mu.

 Pejuangan belum berakhir 

MeRaPU LagI..


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua.. Khas tatapan kepada peminat setia blog ini, isteri tercinta, Dayang Khalizah Binti Awang Batu. Yang sentiasa mengikuti perkembangan blog ini. Semoga dengan sedikit perkongsian ilmu dari blog ini, maka semua kita beroleh manfaat darinya.

~ Topik hari ini: Aku MErapU LaGi..

~Perasan kah kita bahawa semakin kita mendedahkan aib manusia, semakin teruk gejala-gejala sosial akan berlaku? Seolah-olah bagaikan ‘kudis buta, semakin digaru terasa sedap, semakin digaru semakin berjangkit’. Ya.. saban hari kes anak luar nikah, buang anak, dan yang sewaktu dengannya dipaparkan di media masa. Dengan penyebaran berita ini, adakah ianya semakin berkurangan??

~Media bersifat memberi info dan juga media bertujuan untuk memberi faedah kepada golongan tertentu. Media massa juga memberi suapan berita yang MENARIK. Dan juga, sedikit sebanyak kesedaran boleh timbul. Masalahnya, adakah MASALAH ini selesai?

~Mengapa pekara seperti ini berlaku? Mungkin kebanyakkan kita akan menunding jari di antara satu sama lain. Ibu bapa menunding jari kepada guru. Guru akan menunding jari pula kepada media. Dan yang sewaktu dengannya. BERHENTI menunding!! Pandang pada cermin, itulah biasan diri kita. Kita tetap kita. Semua bertanggungjawab ke atas diri masing-masing. Dan ungkapan paling mudah, ‘Kubur kita lain-lain’.

~Sebelum masuk ke alam kubur, apakah persediaan kita pula? Adakah kita bersedia untuk disiksa oleh Malaikat-malaikat Allah? Adakah kita mampu menjawab semua persoalan yang bakal dikemukan oleh Malaikat-malaikatNya? Kalaulah di dunia, kita semua mampu menjawab dengan merujuk ke buku-buku atau pakar rujuk. Kalau di akhirat? Kita bersendirian. Tiada isteri, suami, anak, ibu, ayah dan sahabat.

~Masalah seperti ini bermula dari ketahanan diri remaja. Bagaimanakah asuhan ketika usia mudanya. Kerana rata-rata masalah sosial ini berlaku kepada remaja berumur 15 – 23 tahun. Semuanya pelajar yang masih bersekolah atau yang masih menjadi mahasiswa dan mahasiswi.

~Semua ingin bercinta. Disebabkan rasa cinta, kita menjadi leka. Bagaimanakah kita melakukan ibadah kepada Allah dalam masa yang sama kita menderhakaiNya? Bagaimanakah boleh kita menggumpul 2 pekara dalam satu masa. Jahat dan baik bersatu di dalam hati? Kalau kita masih melakukan maksiat kepada Allah, beerti solat kita masih belum cukup sempurna. Sedangkan para wali-wali Allah sehingga akhir nyawa mencari kesempurnaan solat.

~Usia remaja adalah usia EMAS bagi semua manusia. Di sana, kita akan mengenali pelbagai ragam dan karenah manusia. Macam-macam yang bakal kita tempuhi. Pelbagai.. kalau aku tulis semua keseronokkan dunia ini, memang tak habis sampai subuh esok. Bosan pulak nanti baca.

~Aib manusia ini adalah sesuatu yang patut kita tidak sebarkan. Patut dijadikan pengajaran hanya pada diri. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda, “ Allah akan menutupi aib engkau di Yaumul Mahsyar jika engkau menutupi aib manusia di bumi”.

~Aku yang meraPu..KebosaNan…~

Isnin, 2 Ogos 2010

Tirakat Perjuangan

Inginku nyatakan wahai tuhan..
Bukankah keranaMu ku berada di atas semua ini..
Hidup berada di dunia yang penuh keasinganan.
Hidup yang meresahi tabir kehidupan,

Dan aku mengharapkan ini adalah satu dugaan,
Nikmat dan ujian,
Nikmat melatih rasa sabar,
Dan nikmat melatih rasa syukur.

Wahai tuhanku,
Kalau bukan keranaMu, untuk apa ku lakukan semua ini.
Setiap kali ku menghadapMu ku ulangkan sumpah dan janji
Hidup mati adalah untukMu,

Sudilah rasanya menemaniku
Yang bersendirian ini wahai Tuhanku..
Menempuhi kehidupan yang sukar,
Agar terbina sebuah masyarakat madani,
Hasilan dari karya dan nukilan insan kerdil sepertiku..

Ahad, 1 Ogos 2010

Alahai..aku dok meleter lagi..(Tengah panas dalam panas).

Assalamualaikum dan salam sejahtera.. Salam dari kejauhan. Membawa seribu persoalan. Mengungkap kata-kata. Mengalunkan suara hati. Berlari jari menari di papan kekunci ini.

Telinga agak sensitif dengan bunyi-bunyi yang entah mengapa mengganggu tidur yang lena. Suara itu sungguh menyakitkan telinga dan merosakan hati. Kerana pabila terdengar suara itu, mulut sentiasa mencaci. Otak akan ligat berputar. Macam-macam.

Tengah hari yang sungguh mengasyikkan. Panas dan tidak selesa. Generator sekolah sudah tidak berfungsi 24 jam seperti sebelum ini. Alasannya, kontrak masih belom diperbaharui. Inilah buktinya. Rakyat didahulukan. Pencapaian diutamakan. 1 Malaysia yang jadi sebutan ramai.

Tapi, kalau difikirkan dari sudut positifnya, kita akan mengenali satu elemen penting dalam hidup seorang guru, PENGORBANAN. ‘Berkorban apa saja, harta ataupun nyawa. Itulah kasih mesra’. Memang senang menyanyikan lagu Allahyarham Tn Sri P. Ramlee ni. Tapi, berapa ramai yang dapat menjalani kehidupan yang mengorbankan diri.? Biasa hidup mewah di Bandar, sekarang semuanya seakan-akan seperti tiada gunanya. Televisyen besar pun tak ada gunanya. Ada komputer paling canggih pun tak ada gunannya. So, belajarlah memahami erti pengorbanan. Genset 14.5 jam sehari pun tak apalah. Janji ada kemudahan tersebut. Kalau tak ada, lagilah sengsara.

Kepada cikgu yang berusaha untuk UPSR, diucapkan selamat Berjaya. Tapi ingatlah, Allah berfirman, “ Aku tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah nasib mereka sendiri”. Kita cuba sedaya upaya, sekarang terletaklah pada murid kita hendak Berjaya atau tidak. So, bertenang dan jangan terlalu GELOJOH mengajar budak sehingga budak boleh jadi tertekan. Lain yang diajar nanti, lain pulak yang budak buat. Kalau ditanya nanti, TAKUT BUAT SALAH. NANTI CIKGU PUKUL. ~ahaha~

PSikologi budak pun kena belajar. Sebab itu kita belajar pedagogi. Perkembangan otak juga ada grafnya. So, ajar budak bangun awal dan solat subuh. Selepas solat subuh, tekankan kepada pelajaran yang banyak menghafal seperti Sains. Pada jam 8-10 pagi, banyakkan budak-budak menjawap soalan matematik. Selepas jam 10, digalakkan pelajaran yang menyeronokan seperti kuiz Bahasa Melayu & Bahasa Inggeris. Jangan tekan sahaja. Nanti budak jadi tak tentu hala. Pandai jadi kurang pandai. Yang tak pandai terus jadi KEPANDAIAN. CIkgu pulak semakin KEPANDAIAN dalam bab KEMARAHAN. (Sebab budak makin bebal lor)

Kalau murid Berjaya itu, beerti dia telah berusaha. Kembali kepada tugas guru. Guru adalah pemudah cara. Bukan PENYUSAH ORANG. Mana tidak susah? Dalam keadaan yang sungguh tidak selesa dan panas seperti ini, budak dipaksa mendengar leteran kita. Masuk ka pelajaran kalau disumbat macam sumbat peha ayam ke mulut tanpa mengunyah. Sebab itu orang kata, jangan pandang orang sebelah mata. Tengok cikgu super duper senior. (Macam Cikgu Rashid-S.K (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hassan). Rilek jer. Pencapaian murid maintain jer cemerlang dalam subjek Sains. Kita pulak, sentiasa di paras hamper-hampir SPR. Ahaha~

Ertinya segala usaha kita ada batu penghalang. Batu penghalang kita adalah RIAK/TAKBUR/SOMBONG/EGO dan yang sewaktunya. Kita merasakan bahawa kita sahaja yang melakukan kerja. Wal hal semua guru melaksanakan tugasnya. Wei!! Ko Nampak ker orang buat kerja?? Tuhan nampaklah. Tengok lah nanti hasil dia. Ungkapan cikgu yang low-profile. Cikgu yang berusaha lebih diucapkan sekalung tahniah. Yang kurang bekerja tu, tutup mulut! Usahakan yang terbaik untuk anak murid anda. Mereka Berjaya nanti, kita tak akan dapat apa. Cuma KEPUASAN DIRI. Carilah kepuasan diri itu.

Pada saat dan ketika ini, teringat pulak dengan titipan berita Harian Metro semalam. Remaja Melayu sanggup mengelar tangan menulis nama kekasih sebagai bukti cinta. Ermm.. terfikir pulak yang orang tua pun macam tu jugak kan? Sanggup bekorban jiwa dan raga dan harta benda demi kekasih hati. Sampai sanggup mencurangi isteri demi perempuan simpanan. Sanggup berhutang sana-sini demi perempuan simpanan sampai anak bini tak diberi nafkah. Sama saja tu. Sama-sama mencampak diri ke arah kebinasaan.

Kalau suami ada perempuan lain diluar selain isteri yang sah, itu dinamakan MAKAN LUAR. Perempuan itu pulak digelar PEREMPUAN SIMPANAN (Buruk betul penggunaan BAHASA). Lelaki yang sebegitu dipanggil MATA KERANJANG. Nasib baik jumpa isteri penyabar. Kalau jumpa yang TAK SABAR-SABAR, alamat gigit jari jugaklah.

+__+ (Pandang pada langit, jangan sampai tak jejak bumi)


p/s: YAhOO!! Catatan Ke Seratus!!!

Bermula tarikh baru dalam diari seorang hamba Allah s.w.t


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Alhamdulillah.. Sudah pun 1 Ogos 2010 bersamaan 20 Sya'aban 1431 H. Semoga dengan perubahan tarikh ini manusia akan maju setapak daripada kemunduran semalam.

~Tinggal seminggu lebih saja lagi, bulan ramadhan akan mengetuk pintu dunia dengan segala rahmat dan keberkatan. Tinggal kita sahaja lagi memuliakan sambutan ramadahan dengan segala yang ada pada kita.

~Kata ulama, bulan ramadhan adalah bulan penyucian. Bulan di mana semua dosa diampun dan dibebaskan dari siksaan api neraka kepada semua ahli kubur.

~Aku pula merancang hendak melengkapkan amalan-amalan sunat seperti tahun-tahun lepas. Semua dirangka dengan begitu teliti supaya amalan-amalan sunat lain dapat dilaksanakan dengan jayanya. Selebihnya, biarla Allah menentukan. Kita hanya merancang yang terbaik dalam hidup kita. Dan cukuplah Allah sebagai penolong kita.

~Sudahkah saudara-saudari sekalian merancang aktiviti/amalan/ibadah khusus untuk Ramadan nanti? Kalau belum, rancanglah. Kalau sudah, cuba biasakan amalan itu dalam sepuluh hari terakhir di Sya'aban ini. Mana tahu, boleh jadi amalan harian sebelum dan selepas ramadan. Insya Allah.

~Seorang hamba Allah yang setia, tidak memerlukan mulut untuk menunjuk-nunjuk. Cukuplah dengan kekuatan SABAR yang Allah s.w.t kurniakan dalam hati nuraninya. Hamba Allah yang soleh akan senantiasa ditemani oleh Allah dalam segala hal. Seorang hamba Allah tidak memerlukan manusia untuk mencapai tujuannya. Dan seorang hamba Allah yang soleh, senantiasa tidak ada kawan di kalangan manusia kerana manusia zaman ini adalah manusia yang selalu mementingkan diri sendiri hatta orang soleh itu sendiri mementingkan diri sendiri dalam mencari keredhaan Allah pada seketika itu.

~Dalam kubur pun sorang-sorang. Mana ada kawan. Siapa kawan kita sanggup dikuburkan bersama-sama kita? Siapa yang dapat memberi pelindungan melainkan Allah jua.

~Dalam kubur mana ada kedai kopi..

~Dalam kubur mana ada anak bini..

~Erm...dalam kubur tak ada tempat mengumpatlah... hantu tak ada, malaikat menyiksa manusia yang ingkar adalah..

Sekian. Wassalam

Anda pasti mahu membaca ini

Related Posts with Thumbnails