Gambar kenang-kenangan sewaktu semangat Rosli Dhoby membara!! |
Assalamualaikum
dan salam sejahtera kepada semua bloggers yang dirahmati Allah. Semoga sentiasa
di dalam keberkatan hidup bersama keluarga masing-masing. Binalah keluarga yang
mawaddah sakinah wa rahmah. Di dalam nya, terletak syurga dunia yang jarang dirasai
di mana-mana jua. Semoga kehidupan ini dapat ditempuhi dengan amalan yang baik
dan diterima Allah jua di akhirat sana. Dengan izinNya, Insya Allah.
~ Dari
Abu Hurairah r.a, Nabi S.A.W. sabdanya: Sesiapa yang mengajak ke jalan
mengerjakan sesuatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak pahala
orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala itu
dari pahala-pahala mereka, dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak kejalan
mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah ia menanggung dosa sebanyak
dosa orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dosa itu
dan dosa-dosa mereka
~Bila masuk
bab mengajar, kita seringkali terlupa batasan guru-murid. Adakalanya, guru kita
langsung tidak dihormati. Menghormati lebih baik daripada mentaati membabi
buta. Hormatilah sekadar yang termampu. Setiap ilmu yang kita perolehi dari
seorang insan, maka layaklah 'dia' digelar guru. Apatah lagi mengajar kita dari
'kosong' ke 'sesuatu'. Sehingga ada murid yang sanggup menyindir guru, kerana
tidak sehaluan perjalanan. Pemikiran manusia berbeza-beza. oleh itu, amatlah
sukar untuk kita mentaati melainkan pekara keagamaan sahaja.
~Dalam
mengimbau kenangan lama, sebagai seorang warga pendidik bermula dari umur 16
tahun lagi. Mendidik murid yang hampir sebaya dalam Perguruan Seni Silat yang
berasal dari Kuching Sarawak, sedikit sebanyak memberikan inspirasi kepada aku
untuk menjadi GURU pada masa sekarang. Aku masih ingat lagi, gelaran yang
diberi kepada mereka seperti, Usup Kera (sebab permainan lebih mirip kepada
haiwan tersebut), E'e Panda Buluh, dan sebagainya. Alhamdulillah, kebanyakan
mereka sudah menjadi 'orang' walaupun ada beberapa yang jauh tersesat dalam
perjalanannya. Tapi, tak semuanya. Walaupun ada tidak 'sehaluan' dengan
pendirian aku, tapi jika bertemu muka, sudah semestinya aku disalami, dan
disapa dengan sebaiknya sebagai tanda penghormatan kepada aku. Bukan penghormatan
seperti itu yang aku inginkan. Sebaiknya, kita sentiasa menjaga ukhuwah dan
batasan dalam menjadi seorang guru dan seorang anak murid.
~Taklah
seperti dipuja dipuji, cukuplah tanda penghormatan yang boleh menyejukan hati.
Bukan hadiah cukuplah sekadar salam. Bukan sanjungan, cukuplah sekadar
senyuman. Cukuplah. Itu adalah penghormatan. Ada sesetengah murid, malahan
tidak mengaku bahawa dirinya adalah murid kepada guru. Alahai.. itu masalahnya.
Bagi yang berkenaan, IJAZAH tidak memberi apa-apa makna melainkan sekadar tanda
pencapaian sahaja. Rezeki yang Allah kurnia, tak semestinya akan terus
diberikan melainkan diberi juga dugaan. Allah Maha Adil. Dan Allah Maha
Mengetahui.
~Dalam Silat
Gayong, banyak golongan cerdik pandai. Banyak juga ahli falsafah dan juga
penyair yang fasih. Namun, banyaklah juga kelompok-kelompok besar dan kecil,
yang sering bertelingkah, tidak sefahaman dan kurang yakin dengan kemampuan
yang lain. Bahkan, mempersendakan ilmu setiap yang lain. Sedangkan hakikatnya,
kita hanya manusia. Selalu sahaja kurang. Oleh itu, yang kurang itu, kita
cukupkan. Tak perlulah bertelingkah. Tak perlulah berebut. Hormatilah guru-guru
kita. Sayangilah guru-guru kita. Jangan mudah menilai sesuatu yang tidak kita
ketahui asal usulnya.
~Mengenangkan
kembali kepada perjuangan mendirikan 'gayong' di bumi Sarawak. Pada mula 2003,
aku begitu obses dengan Allahyarham Dato' Meor Abdul Rahman (al-fatihah buat
beliau). Sehingga corak latihan yang dilakukan di Rumah Gayong Sarawak
(Gelanggang Rosli Dhoby), dibuat ala-ala tentera bagi memastikan kualiti
pesilat yang dilahirkan. Maklumlah, aku ini orang Sarawak. Tak samalah dengan
kepandaian jurulatih hebat-hebat di Semenanjung. Jadi, aku bercita-cita untuk
meneladani Allahyarham Dato'. Kebetulan aku di Universiti (Universiti lah
sangat), aku berkecimpung dengan kegiatan PALAPES (Pasukan Latihan Pegawai
Simpanan) Askar Wataniah. Aku amat menyanjungi Allahyarham Dato' Meor dan aku
cuba menerapkan latihan bercorakan latihan Allahyarham dengan latihan ketenteraan.
Itulah murid-murid di Rosli Dhoby memanggil latihan di situ sebagai A.S.K.A.R
(Azab Siksa Kau Akan Rasa). Musim cuti sekolah memanglah sentiasa dipenuhi
dengan Kem-kem Latihan seperti Kem Tahunan, Kem Motivasi dan sebagainya.
~Dari mana
datangnya duit mengadakan aktiviti ini? Ya Allah.. aku cuma pelajar universiti (universitilah
sangat). Masakan mempunyai duit sebegitu banyak kerana hanyalah pelajar.
Tapi, sebagai tanda kasihnya kepada adik-adikku dan demi survival Silat Gayong,
aku bahagikan sedikit dari duit elaun yang aku perolehi dari latihan
ketenteraan PALAPES untuk aku kongsikan kepada adik-adik Silat gayong pada
ketika itu. Cuba bayangkan, duit keahlian, duit naik bengkung, duit itu dan
itu. hampir semua aku yang keluarkan. Nak katakan sebagai mengungkit, sudah
semestinya tidak. Kerana, ini blog luahan hati.. Hehe.. sekadar perkongsian
untuk semua sahaja. Jadikan iktibar kepada semua anak gayong Sarawak yang 'tak
berani' untuk menyumbang.
~Antara
corak latihan yang aku terapkan, " berlari dengan tiang elektrik kayu
belian" sekeliling taman perumahan - untuk kekuatan bahu dan kaki. Tetapi
pengajaran yang tak nampak, kerjasama berpasukan. Side roll, fort roll -muntah
hijau pekara biasa. , "Squat Jump" kalau setakat 100 hanya
'gula-gula'. Tampar lalat, kalau 100, maaflah. Itu bukan mainan. Tak cukup!!.
Lari 2.4 km memang remeh, kerana biasanya murid aku berlari dari Rumah Gayong
ke Jambatan Merah Sungai Budak (jaraknya cuma - 17 km ) pegi
balik mesti hanya dalam masa 2.5 jam. Tumbuk garam dengan kerap. Murid
aku memang tak pandai bersilat, tapi alhamdulillah. Aku didik murid-murid ini
hormat kepada orang yang lebih tua. Setakat ini, tak pernah pula aku ajar murid
menyombongkan diri. Malahan sekurang-kurangnya didikan aku, dapatlah juga mereka
kenal dengan gayong walaupun aku cuma Cikgu gayong yang melukut ditepi gantang.
~Pernah aku
cuba terapkan corak latihan di Rosli Dhoby di gelanggang UNIMAS. Alahai.. semua
tak turun training lagi. Jadi aku ringankan sedikit beban latihan, ramai juga
yang mengelat. Sehingga ada yang cuba nak uji anak murid Rosli Dhoby dalam
" Silat Olahraga". Kesudahan, mengaduh sakit. Pada malam semua
nyenyak tidur di Kem Alapong, murid-murid Rosli Dhoby tengah menahan sakit
kerana latihan masih berjalan. Jalan itik 4 jam, siapa tak patah pinggang.
~Murid Rosli
Dhoby pula, sampai sekarang , masih menghormati semua abang-abang mereka di
UNIMAS. Hormat sampai menundukkan kepala jika bersua dan bersalaman. Memang
didikan seperti itu. Murid-murid terdidik untuk menerima apa sahaja dihadapan,
dan berusaha untuk mendapatkannya walaupun dikatakan mustahil.
Sekurang-kurangnya mencuba. Baru ada semangat pendekar. Ini, belum bertanding,
dah kalah bulu. Dah mengalah bagaikan 'pedang sudah patah'. Walhal, pedang
diasah pun belum. Alahai.. rendahnya semangat pendekar dalam diri. Lunturnya
semangat Gayong kerana kalah kepada keadaan.
~Alahai anak
Gayong.. bersilat bukan main gagah. Bila diuji, mulalah gelabah. Mulalah hilang
arah. Gagah nya kita bukan dikira betapa hebatnya kita bersilat. tapi, gagahnya
kita bila kita boleh menahan marah. gagahnya kita bila kita boleh mendidik
isteri dan anak kita dengan baik. Lelaki adalah imam, dan tugas imam adalah
membimbing makmum.
~Alahai..
hari itu, hari ini.. Aku anak gayong!!