بسم ألله ارحمن ارحيم
~Jangan salah nilai kerana bimbang terkeluar dari landasan. Bincang dengan ilmu bukan nafsu.
~Hangat topik yang ingin aku kongsikan pada hari ini. Ianya melibatkan pelbagai sentimen yang boleh menimbulkan persoalan dan prasangka. Ahli agama , ahli - ahli peperangan siber dan sewaktu dengannya akan mengambil kesempatan di atas artikel ini supaya menghalalkan dan mengharamkan satu polemik yang sangat rumit dan kompleks dari sisi agama. Tapi yang nyata, hukumnya telah terkandung di dalam al-Quran tanpa dakwa dakwi. Cuma prosedur dan cara yang akan memastikan kedudukan sebenar isu yang ingin aku kupaskan kali ini.
~Walaupun hangat dan bakal dihujani pelbagai persoalan, aku tetap menguatkan diri melihat pekara ini dalam perspektif ruang lingkup kehidupan dan pengalaman yang aku kutip dari orang yang aku kenali sama ada, keluarga, rakan-rakan perguruan dan masyarakat sekeliling.
~POLIGAMI ~ Takrif Dewan Bahasa Edisi Keempat: Amalan berkahwin lebih dari satu orang pada masa yang sama; berpoligami mengamalkan poligami, mempunyai lebih dari seorang isteri pada masa yang sama; sekiranya dikhuatiri sukar berlaku adil, janganlah~, kelak sukar dijawap diakhirat nanti.
~Begitulah isu yang akan aku kupaskan dengan pandangan individu. Jangan mudah melatah dengan isu ini biarpun isu ini terlalu sensitif bagi sesetengah masyarakat. Aku lebih suka mengupas hal ini dari perspektif yang lebih positif berbanding dengan stigma masyarakat kita yang suka mengutuk dan bertindak mengikut nafsu. Dalam hal ini, sukat ilmu dengan IMAN. Bukan sukat ILMU dengan nafsu. Letakkan kepentingan diri diluar batas waktu,
~Dalam hal ini, aku lebih suka untuk ambil sikap atas pagar. Kerana semuanya yang berlaku adalah kehendak Allah. Kita kembali dulu kepada konsep, "jodoh dan mati itu ketentuan Allah" Hak mutlak Allah. Dengan siapa jodoh perkahwinan kita di langsungkan atau bila saatnya kematian kita, semua sudah ditentukan dengan teliti oleh Allah yang Maha Bijaksana. Oleh itu, tolonglah bersikap terbuka dan janganlah mudah mengutuk dan mencerca serta menghina mereka yang mengamalkan satu sunnah yang paling kompleks untuk dilaksanakan.
~Pernah aku kupaskan topik ini beberapa tahun terdahulu, tetapi dalam ruang lingkup yang kecil kerana bimbang orang berkata bahawa aku sudah termasuk dalam orang yang INGIN mengamalkan poligami. Mungkin kadang-kala, seseorang lelaki pasti akan terfikir namun untuk melaksanakan tugas ini, sudah pasti kita akan merujuk beberapa faktor. Antaranya adalah, dari segi kewangan, segi emosi, dari segi keagamaan dan yang paling penting adalah dari segi MAMPU ATAU TIDAK BERLAKU ADIL. Itu yang menjadi persoalan kerana ADIL adalah satu perbuatan yang subjektif yang tidak mampu dinilai oleh insan yang lemah seperti kita. Setiap perlakuan kita akan dihitung dan setiap amanah yang kita culas lakukan akan dipertanggungjawab di YAUMUL Mahsyar kelak. Sedikit kecuaian akan menyebabkan kita akan mudah terjerobos ke dalam Neraka. So, sebelum melakukan tindakan untuk berpoligami, dapatkan nasihat yang terbaik dahulu. Dan nasihat yang terbaik adalah dari ALLAH jua dengan solat Isthikarah..
~Kalau lelaki sungguh mudah dan senang bila diajak berbicara berkaitan dengan poligami. Namun, bagi wanita inilah pekara sunnah Allah yang paling sukar diajak berbicara kerana ianya melibatkan hati dan perasaan. Bayangkan, bertahun "memiliki" hati dan perasaan suami, tiba-tiba, pada hari itu, cintanya yang dicurahkan sepenuhnya terpaksa dikongsi dengan orang lain. Suami terpaksa membahagikan cinta di antara beberapa wanita sehinggakan adakalanya ada pihak akan "terasa" kekurangan dalam meniti arus perkahwinan ini. Bukan mudah untuk bagi lelaki mahupun wanita bila mana hendak melakukan pekara sunnah ini. Adakalanya, kita terpaksa "berperang" dengan suasana yang tidak sihat seperti cercaan dari masyarakat yang pastinya akan memandang serong kepada jenis perkahwinan ini,. Mungkin dipihak lelaki akan dikatakan "tidak puas" , kejam, tidak sensitif dan pantang melihat gadis berdahi licin. Dipihak isteri pertama dikatakan, tidak mampu memberikan kepuasan, tidak mampu memberikan sepenuh kasih sayang sehingga suami cari lain.. Di pihak bakal isteri digelar sebagai PERAMPAS, tak jaga maruah dan yang paling sadis adalah SUNDAL.
~Bukannya mudah jika hendak melakukan sesuatu yang baik. Tapi, ramai pulak yang suka bercerai berai. Bergelumang dengan dosa-dosa seperti menyimpan perempuan diluar, mempunyai kekasih gelap tanpa pengetahuan suami, merungut ketidakcukupan rezeki, bergaul tanpa batas walaupun berstatus suami atau isteri orang, suka memandang kepada benda yang haram, mengumpat dan macam-macam lagi dosa yang selalu dilakukan tanpa disedari.
~Kadang-kadang kita perlu menyelami pelbagai faktor POLIGAMI ini berlaku. Untuk lebih selesa, bolehlah bertanya kepada mereka yang pakar dalam hal ini kerana aku sendiri tidak pernah mengalami POLIGAMI ini atas dasar aku memang masih tidak mampu untuk berlaku ADIL terhadap perasaan aku sendiri. Masakan dengan perasaan sendiri tidak mampu, apatah lagi dengan HATI MANUSIA LAIN?
~"Habis, kenapa kau ceritakan topik ini? Macam ada udang di sebalik batu.." Mungkin itu yang bermain dibenak pemikiran pembaca pada ketika ini. Aku cuma mampu tersenyum kerana apa yang berlaku dibenak fikiran itu kadang kala adalah tindakan refleks lantaran benci untuk berpoligami. Jawapan aku senang, sila lihat semula rangkap pertama dan kedua artikel aku di atas ini. Itu jawapannya.
~Untuk lelaki di luar yang ingin berpoligami, beberapa persoalan yang mungkin bermain di fikiran aku dan fikiran pembaca lain.
- Apakah tujuan berpoligami?
- Bagaimana kita menyukat keadilan dalam rumahtangga?
- Bagaimana dengan perasaan isteri pertama yang banyak membantu kita dipermulaan hidup satu ketika dahulu?
- Adakah dengan berpoligami akan mencetuskan semangat melakukan sunnah nabi?
- Kalau ya, bagaimana dengan sunnah nabi yang lain? mampukah dikerjakan setelah melakukan sunnah yang paling sukar?
- Adakah berpoligami akan meningkatkan status kita pada masyarakat?
~Fikirkan sejenak, setelah mendapat kekuatan untuk melakukan apa yang dihajati, kuatkan keyakinan dan tingkatkan lagi kefahaman berkaitan dengan Islam. Bukan mengambil pada permukaannya sahaja. bukan nak ambil yang sedap sahaja, tetapi membuang benda yang lain. Jangan abaikan faktor lain kerana ianya akan menyebabkan kita tersilap langkah dan menyesal.
~Jika pekara ini tidak berlaku kepada anak murid aku, kemungkinan aku sendiri masih lagi "terbuai" oleh kekhilafan ini. Di sini aku ingin menyatakan, berpoligami biarlah mengikut keadaan. Isteri masih sarat mengandung, kita sudah terhegeh-hegeh untuk memperisterikan orang lain. Bagaimana dengan perasaan isteri kita tadi? Sudahlah terkena "buatan" suami, tapi si suami tidak pula mampu untuk bertahan sehingga abis segala tempoh wiladah. Inikah yang dikatakan adil? Sekurang-kurangnya, jagalah hati isteri pertama. Walaupun mulutnya mengatakan "IZIN", tetapi sekurang-kurangnya kau fikirkan juga hatinya. Tenangkan gundah gulananya juga. Bukan sekadar nak damaikan hati kau yang sentiasa "bergelora". Fikir dan renungkan. Kalau kita nak kahwin kerana Allah, mesti juga melakukan yang sama dalam semua bab ya.
~Aku bukan menyanggah poligami, tetapi gunalah akal dengan sebaik-baik. Sukat pulak dengan IKHLAS. IKHLASkah kita memperisterikan orang lain? Sedangkan kita sendiri terbabit dalam melukai hati isteri kita. Begini kah cara sunnah nabi? Inilah faktor penyebab orang ramai tidak suka akan poligami.
~Isteri yang bakal dikahwini bukan "KULI" untuk menjaga keluarga. Hargailah kehadiran isteri kedua. Jangan sekadar berkahwin sebab nak dilihat berharta dan berstatus. Sedangkan isteri kedua tersiksa kerana terpaksa "bekerja" di rumah suami dan isteri pertama. Apa kau ingat perempuan ini tidak bernilai dan sekadar dikahwini untuk suka-suka sahaja? untuk dijadikan HAMBA dalam perkahwinan ciptaan kamu sahaja? Walaupun isteri kedua berasal dari kurang berkemampuan atau datang dari keluarga yang berantakan atau isteri kedua tidak mempunyai apa-apa sijil akademik atau kelayakan, ianya tetap isteri kita yang kita ambil dari belaan orang tua mereka. Janganlah lantaran dia berstatus KEDUA, kedudukannya sangat rendah dalam MAHLIGAI PERKAHWINAN. Lantaran nombor DUA dan tidak punyai apa-apa kau layani dia seperti persisnya seorang HAMBA. Fikirkanlah. Kau mengahwininya sebab apa? Kononnya agama, tapi apa sebenarnya keperluan mu?
~Aku seringkali mengutarakan bahawa perkahwinan ini bukan sekadar mengahwini perempuan bahkan kau turut mengahwini keluarga perempuan tersebut. Kau sanggup mengahwininya, maka terimalah keluarganya seadanya. Takkan bila keluarga perempuan bermasalah, kau hindari atas alasan tidak mahu masok campor. Gilakah apa perkahwninan yang kau bakal rancangkan ini. Lihat perspektif yang baik, membantu sesama Islam adalah digalakkan lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan keluarga. Takkan nak ambik perempuan sahaja, keluarga yang membelanya kau buang. Di mana sikap adil tersebut. Jagalah hati semua kalau nak berpoligami. Bukan main bantai ikut suka kau sahaja.
~Jangan perjudikan masa depan anak orang demi NAFSU diri kita. Ingat itu, apa yang datang dari Allah sangat-sangat indah aturannya. Disebabkan kita terlalu ghairah, sehingga kita seringkali terlupa bahawa dalam keghairahan Allah hadirkan ujian untuk menguji keyakinan kita.
~Aku menyokong berpoligami lillahitaala. Tapi, jagailah batasan dan aturan yang ditentukan. Bukan main redah tak tentu hala. Hujung-hujung, bukan pahala yang diraih, dosa pulak yang kau pikul menuju ke neraka. Kepada mereka yang sudah berjihad dalam POLIGAMI, aku ucapkan tahniah. Kepada yang belum, ingatilah pesan guru aku, "KALAU BELUM, JANGAN CUBA-CUBA!!!"
~ISTERI INI UMPAMA TONGKAT SI BUTA, BILA TIADA, KAU PASTI MERASA KEHILANGAN. HARGAI INSAN BERNAMA ISTERI!!