5 Mei 2010
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang budiman. Bertemu kembali dengan idea dan penemuan bahasa yang kurang puitisnya dalam blog aku. Walaupun kesibukkan kerja menghimpit masa-masa aku, tetapi dengan adanya semangat perjuangan dalam diri yang tidak luntur dek masalah hati, aku dapat jugalah menitipkan sepatah dua dalam blog aku. Dengan pengunjung yang baru sahaja mencecah angka 3000, blog yang seringkali dikaitkan dengan pembaca yang rata-ratanya adalah guru, tak kira guru baru atau yang masih lagi di dalam mencari erti kata guru sebenar.
Mungkin titipan kali sekadar hendak menceritakan jadual perjalanan ekspress yang menjadi nadi utama dalam pengangkutan ke Kampung Long Busang, Belaga ini. Mungkin jarak perjalanan dari Kuching yang aku akan terang.
Kalau anda hendak datang ke Long Busang dari Kuching atau dari mana-mana bandar selain daripada Sibu, anda hendaklah mengambil bas ke Bandar Sibu. Kalau dari Kuching, tempoh perjalanan bas adalah 7-8 jam sahaja. Sebaik-baiknya, ambillah bas pada waktu malam kerana ianya lebih selesa dan memudahkan sedikit perjalanan kita seterusnya. Kalau hendak beli tiket bas tu, pastikan destinansi yang anda kena bagitahu kepada petugas kaunter bas itu adalah Sibu Wharf supaya anda dapat terus ke Terminal Ekspress Sibu.
Jika ingin menyingkatkan perjalanan dari 8 jam ke 45 minit, anda juga boleh mengambil penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Jadual penerbangan boleh rujuk di www.malaysiaairlines.com.my dan www.airasia.com.my. Kalau menggunakan penerbangan, maka anda akan bermalam di Sibu untuk semalam dan akan berangkat ke Putai pada keesokkan harinya. Terpulang kepada pilihan anda.
Kalau anda mengambil bas pada 10.00 malam dari Kuching, berkemungkinan besar anda akan sampai ke Sibu Wharf pada jam 5.00 pagi. Di sini ada beberapa alternatif perjalanan hendak ke Putai iaitu destinasi sebelum ke Long Busang atau perhentian terakhir bot ekspres. Anda boleh mengambil ekspress pukul 5.45 pagi, 6.15 pagi dan paling lewat sekali adalah ekspres pukul 7.15 pagi. Ekspres-ekspres ini menuju ke Kapit. Di Kapit nanti, anda hendaklah ke terminal wharf Belaga untuk mengambil ekspres yang akan menuju ke Putai pada jam 11.00 pagi. Perlu diingatkan, hanya satu sahaja ekspres yang menuju ke Putai iaitu pada pukul 11.00 pagi.
Tetapi, ada alternatif lain yang boleh anda gunakan dari Terminal Sibu. Anda boleh mengambil ekspres dari Sibu terus ke Putai pada jam 8.00 pagi. Pastikan anda membeli tiket di kaunter yang betul kerana kalau salah pasti tidak dilayan oleh petugas kaunter ekspres. Ekspres ini biasanya digunakan oleh pekerja-pekerja yang berkerja di Jaya Tiasa di Putai. Jadi, jualan tiket dari ekspres ini agak laris tetapi anda tidak perlu berhimpit seperti ekspres yang anda ambil di Kapit.
Tempoh perjalanan dari Sibu ke Putai akan memakan masa selama 7 jam iaitu dari 8.00 pagi sehingga jam 3.30 petang. Ekspres ini akan singgah sekejap di Kapit selama 30 minit untuk mengambil penumpang dan akan meneruskan perjalanan setelah selesai di Kapit. Kesimpulannya, hanya dua sahaja ekspres yang akan menuju ke Putai iaitu dari Kapit jam 11.00 pagi dan 8.00 pagi dari Sibu.
Setelah sampai di Putai, anda akan meneruskan perjalanan ke Kampung Long Busang dengan menggunakan pacuan 4 roda. Kenderaan ini hendaklah anda tempah awal-awal kerana kalau tiada tempahan, maka anda akan bermalam di Putai. Oleh itu, tempahan kereta ini perlu dibuat sehari sebelum sampai ke Putai. Jarak perjalanan dari Putai ke Long Busang akan memakan masa selama kurang 4 jam sahaja. Anda akan menelusuri jalan balak yang digunakan oleh lori-lori balak yang besar untuk sampai ke kampung.
Setelah sampai di Long Busang, anda bolehlah menginap di rumah Ketua Kampung sebagai tetamu. Kemudahan seperti masjid juga disediakan. Jangan risau. Terdapat juga makanan halal kerana satu perempat penduduk di Long Busang adalah beragama Islam.
Jika hendak keluar dari ke bandar, anda mempunyai 2 pilihan sama ada hendak menggunakan ekspres pada pukul 4.30 pagi atau pada pukul 11.00 pagi. Kalau hendak menggunakan ekspres pada pukul 4.30 pagi, anda hendaklah bergerak pada waktu malam sebelumnya iaitu pada pukul 10.00 malam untuk sampai ke Putai. Dan kalau hendak mengambil ekspres pagi, bolehla bergerak pada jam 6.30 pagi dari kampung dan sampai ke Putai dalam pukul 10.30 pagi. Yang pastinya, ia memang meletihkan kepada mereka yang tidak biasa dengan perjalanan yang jauh seperti ini. Ini masih tidak sejauh di pedalaman Sarawak yang lain. Masih ada yang lebih jauh dari perjalanan ke Long Busang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan