Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca budiman.. Untuk tatapan isteri yang tercinta.. Tapak tangan gatal, orang tua-tua dulu kata ada rezeki masuk. Tapi, aku ni gatal tapak tangan sebab nak mencoretkan perasaan aku yang berada jauh dari insan-insan tersayang. Kekuatan hujjah terletak pada fakta. Kekuatan Dato’ Laksamana Hang Tuah terletak pada huruf ‘T”. So, kekuatan para alim ulama’? Jawapannya adalah kerendahan hati.
Syukur adalah perkataan yang mudah diungkapkan. Tetapi hendak menghayati erti syukur memang agak payah. Sukar bagi insan menghayati makna syukur. Termasuklah aku yang lemah ini. Aku seharusnya bersyukur ke hadrat Allah dengan segala apa yang telah dikurniakan kepada aku selama 26 tahun menghirup udara milik Allah ini. Selama 26 tahun, aku seringkali diuji dengan pelbagai ujian dan dugaan yang tidak tertanggung untuk aku hadapi pada pandangan aku. Lantaran itu, aku bermuhasabah diri sebentar. Mengenangkan setiap satu nikmat yang Allah taala telah kurniakan pada aku.
Rezeki yang Allah curahkan kepada aku terlalu banyaknya. Aku sahaja yan tidak mampu untuk mensyukurinya. Masih juga aku ingkar kepada-Nya tanpa aku sedari. Kadang-kadang kita tidak terperasan bahawa dalam ketaatan kita kepada Allah adalah menderhakaiNya. Bukan niat hendak meragui kasih sayang Allah yang tidak dapat diragui, tulisan ini adalah untuk muhasabah diri. Jangan biarkan hati selalu senang dalam kemewahan dan nikmat dunia. Mencintai Allah bermakna mencintai kesusahan.
Aku ketemui sinar itu pada ketika itu. Pada ketika aku dilanda seribu kegusaran. Pada waktu aku dihimpit dengan masalah dunia yang entah bila akan ada kesudahannya. Pada waktu dan ketika itu, aku tersedar dari lamunan yang panjang. Lamunan yang amat menyenangkan nafsu. Tidak terlintas akan tiba perasaan itu. Bila ianya hadir, betapa indahnya hidup ketika itu. Hidup dalam syariat. Hidup dalam lindungan nur illahi. Indah terasa. Walau seketika. Semua masa dihabiskan dengan menyembah Dia.
Indah tidak terkata. Melenakan nafsu seketika. Membuai iman yang lama terbiar. Menyuburi takwa yang telah kehausan pada ketika itu. Sunggu indah pada ketika itu. Ketika hati di pimpin Illahi. Dalam segala hal, aku hanya ada Allah. Sehinggakan aku sakit tenat di rumah, masih dijaga Allah. Sehinggakan sakit itu adalah nikmat yang aku redha ke atasnya. Tiada cinta yang paling indah ketika itu melainkan cinta kepada Allah. Seakan-akan hidup dalam belaian Allah..
Barulah aku sedar mengapa abid mengasingkan diri daripada orang ramai. Abid menghabiskan masa hanya untuk beruzlah kepada Allah. Kerana, cinta Allah begitu membahagiakan hati. Bila tidak makan pun, hati tetap senang. Kerana rezeki datang dari Allah. Bila mana tidak ada duit, tidak beerti tidak ada rezeki. Dari segi mana, tetap ada rezeki pada ketika itu. Kadang-kadang, tangis senda bila berhadapan dengan Dia.
Hidayah datang memberi seribu erti. Berlalu tanpa disedari. Kehidupan manusia memang sebegitu. Kadang-kadang kita ingat, adakalanya kita lupa. Membersihkan hati yang kian tidak terjaga. Mungkin selepas ini, dapatlah hati dibersihkan. Kedatangan Ramadhan bakal menjadi pemangkin kepada perubahan hati. Aku ingin kembali ke masa itu. Namun persediaan Ramadhan ku ini tidak seperti ramadhan sebelum-sebelum ini. Tahun ini, aku dibebani oleh tugasan duniawi.. Memastikan semua pelajar aku berjaya dalam UPSR. Bukan tugas yang mudah, tapi kalau aku tukarkan tugas ini menjadi tugas kepada Allah, sudah semestinya aku akan beroleh keredhaan Allah. Kerana aku lakukan tugas ini adalah kerana untuk mendapatkan keredhaan Allah. Bukan sekadar hendak memajukan sekolah dan beroleh anugerah-anugerah.
Perasaan riak boleh membunuh segala usaha aku. Bagaiamanakah caranya hendak memastikan setiap satu pekara yang dilakukan tidak mendatangkan keriakkan dihati sanubari aku? Allah.. setiap manusia suka dipuji. Caranya: merendahkan diri.. rendahkan diri dihadapan Allah. Biarlah perasaan berhamba kepada Allah itu sentiasa ada dihati kita. Supaya kita sentiasa di mana kita berada. Benar kata pujangga, di mana bumi dipijak, disitu jugalah langit dijunjung.
Aku ingin mencari kekuatan iman. Kerana aku adalah pemimpin kepada isteriku. Dengan iman, aku akan mendidik sebuah keluarga yang sakinah mawaddah wa rahmah. Dengan iman, aku pimpin isteri dan anak-anakku menuju kepada keredhaan Allah. Ya –Allah..kuatkan hati. Untuk terus mencari hidayah Mu.
Pejuangan belum berakhir
Tiada ulasan:
Catat Ulasan